Remy Ishak Kurang Selesa Cerita Kisah Peribadi



Pelakon yang bakal tampil menerusi filem 'Sejoli' pada 20 Februari ini, Remy Ishak menjelaskan dia berasa segan untuk mengulas mengenai hubungan peribadinya. Remy kini dikatakan sedang berteman rapat bersama anak perempuan kepada aktor Wan Hanafi Su, Budi Citawan.

"Hubungan saya bersama dia macam biasa. Kami berdua sama-sama sibuk bekerja. Sebenarnya saya malu bercakap mengenai perkara ini. Saya rasa segan. Jadi sebab itu saya kurang selesa untuk berkongsi," ujar Remy ketika ditemui sebelum majlis tayangan filem 'Sejoli' di Cathay Cineplex, Damansara pada Jumaat.

Bercakap mengenai peranan Remy dalam filem 'Sejoli', Remy memegang watak sebagai seorang anak orang kaya bernama Hardy. Remy menjelaskan filem ini adalah sebuah filem yang ringan, santai dan menghiburkan.




"Menerusi projek-projek sebelum ini, saya banyak membawakan watak serius. Tapi menerusi 'Sejoli', watak saya lebih ringan dan tidak terlalu serius. Isi filem ini lebih santai. Sejujurnya, saya lebih suka watak yang nampak matang, tetapi pada tahun lalu, saya banyak mengambil tawaran watak sebegitu. Apabila saya mendapat tawaran untuk membintangi 'Sejoli', saya terus ambil kerana ianya lebih relaks," tutur pelakon drama 'Nur Kasih' ini.

Sementara itu, Remy turut mengulas tentang kerjasamanya dengan Osman Ali. Ini kerana Remy dilihat seolah-olah tidak pernah menolak tawaran lakonan daripada pengarah berbakat terbabit.

"Saya rasakan ianya lebih kepada hubungan saya bersama Osman. Dari dulu lagi hubungan saya baik dengannya. Namun begitu, saya menerima sesuatu watak itu bukan kerana saya mahu balas jasa, tapi saya terima watak yang ditawarkan kerana saya rasakan itu adalah satu percubaan baru untuk saya. Apabila bekerja dengan Osman, saya percaya, watak yang ditawarkannya bukan kosong, mesti ada sesuatu di dalamnya," ujar Remy mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post