KOLABORASI sulungnya bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang menggegarkan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sekitar tiga tahun lalu masih segar dalam ingatan peminatnya. Tahun ini, sekali lagi artis serba boleh Stephen Rahman Hughes kembali ke pentas penuh prestij itu.
Bertemakan In the Mood for Love, hero teater muzikal Puteri Gunung Ledang the Musical itu bakal menyerikan lagi sambutan Hari Kekasih dengan lantunan lagu-lagu petikan daripada persembahan Broadway yang hebat seperti West Side Story dan Cats, serta seleksi lagu-lagu romantik malar segar seperti My Funny Valentine, L.O.V.E., Unchained Melody dan Luck Be a Lady.
Dipimpin oleh konduktor tersohor iaitu Julian Bigg, kemunculan kedua Stephen ke DFP tidak sekadar sebuah persembahan satu malam. Direncanakan untuk dua sesi persembahan, konsert itu akan berlangsung pada 8 Februari nanti, tepat pukul 8.30 malam manakala keesokan harinya, iaitu 9 Februari, satu lagi persembahan istimewa akan bermula pada pukul 3 petang di pentas yang sama.
Stephen merupakan seorang penari yang bertauliah lulusan Rambert School, London dan pernah memenangi Anugerah Jerwood untuk dramatari Hedo-scetic dan Anugerah Peter Darrell Choreographer untuk Stravinsky's Renard.
Stephen benar-benar mempunyai kecintaan terhadap muzikal dan tarian, dia juga seolah-olah lahir bersama bakat jazz yang semula jadi.
"Saya akan kembali lagi dengan sebuah konsert sehari sebelum sambutan Hari Kekasih. Untuk dua persembahan yang dirancang itu, saya akan banyak membawakan lagu-lagu berirama jazz. Konsert itu semuanya dalam sebuah orkestra dan saya benar-benar teruja," katanya yang baru-baru ini terlibat sebagai koreografer dan pengarah dalam sebuah muzikal terbitan Enfiniti Productions bertajuk Seussical Jr.
Berpangkalan di London, Stephen mula berlakon dalam teater muzikal West Side Story sebelum dipilih menjadi pelakon utama untuk teater muzikal Andrew Lloyd Webber bertajuk Bombay Dreams di West End, London. Beliau kemudian membintangi rancangan TV berjudul Dream Team dan juga salah sebuah rancangan paling popular di Britain iaitu Emmerdale.
Stephen juga salah seorang ahli kumpulan vokal Teatro dan telah menerima Piring Emas pertamanya di Britain. Album kumpulan itu menduduki tangga pertama di Afrika Selatan. Teatro juga pernah diundang menyanyi sempena Royal Variety Performance untuk Ratu Elizabeth II.
Cukup dikenali sebagai Tuah di sisi Datin Seri Tiara Jacquelina, Stephen pernah membintangi filem epik bertajuk Hikayat Merong Mahawangsa, sebelum melahirkan sebuah album perdana dalam bahasa Melayu pada tahun 2011.
Deretan pengalaman di pentas konsert mahupun muzikal menjadi satu kelebihan buat Stephen untuk menghanyutkan penonton dalam emosi cinta menerusi Stephen Rahman - In the Mood for Love minggu depan.
Maklumat tiket-tiket yang berharga RM90 hingga RM220 boleh dilayari menerusi laman web www.mpo.com.my atau e-mel ke dfp_boxoffice@petronas.com.my.
Selain konsert romantis Stephen, MPO juga akan mempersembahkan konsert bertemakan Disney's Pixar in Concert pada bulan Jun nanti. Konsert itu bakal melakar sejarah buat MPO yang buat pertama kalinya akan memainkan muzik mengiringi sedutan filem Pixar seperti Toy Story dan Finding Nemo.