BERSAMA Afgan mendendangkan lagu Salahkah.
KONSERT gabungan dua buah negara melibatkan persembahan artis Malaysia dan Indonesia memang sudah acap kali diadakan. Demi perpaduan selain ia mendapat sambutan menggalakkan baik daripada pihak artis mahupun peminat, konsert seumpama ini memang patut diadakan.
Membawa kelainan dalam persembahan sempena Malam Gala Cahaya Cinta Tanpa Sempadan, Datuk Rossa sememangnya seorang artis kelahiran negara seberang yang sentiasa dinantikan kemunculannya.
Auranya sebagai penghibur memang kuat. Namun, dalam persembahan yang berlangsung pada 14 Februari lalu di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, Rossa tampil menghadiahkan sebuah persembahan yang cukup istimewa buat peminatnya.
Memulakan persembahan dengan lagu Pudar, Rossa begitu mesra melayan peminatnya. Dia sempat bersalaman dan bergambar dengan para peminat semasa menyanyi lagu tersebut sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Terlalu Cinta, Tercipta Untukku, Hey Ladies dan Ku Menunggu.
Apa yang membanggakan, persembahan pada malam itu sebenarnya bertujuan mengumpul dana untuk disumbangkan kepada pertubuhan Cinta Tanpa Sempadan yang dikelolakan Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB).
Bagi memeriahkan lagi majlis yang dipenuhi dengan rasa kasih, Rossa turut menyampaikan beberapa lagu medley cinta iaitu Ayat-Ayat Cinta, I Knew I Loved You, To Love You More dan Thousand Years yang didedikasikan kepada anak lelakinya, Rizky Langit Ramadhan.
Persembahan pada malam itu bukan hanya dilakukan seorang. Diva Indonesia itu ditemani dua penyanyi lelaki yang tidak asing lagi. Seorang penyanyi muda kelahiran Indonesia iaitu Afgan dan seorang lagi Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah.
ROSSA dan Jamal berduet lagu Seri Langkat pada Malam Gala Konsert Cahaya Cinta Tanpa Sempadan.
Afgan yang mempunyai rupa kacak tampil pada set pembukaan persembahan dengan menyampaikan lima buah lagu iaitu Terima Kasih Cinta, Jodoh Pasti Bertemu, Bukan Cinta Biasa, Pesan Cinta dan Sadis.
Kehadirannya di atas pentas memang sangat dinantikan oleh penonton terutama para gadis. Bagai trauma melihat Afgan, penonton wanita terus menjerit memanggil-manggil nama Afgan ditambah lagi suaranya yang lunak.
Kemunculan Jamal Abdillah dengan mendendangkan lagu popularnya Kau Kekasih Awal Dan Akhir sekali lagi menggamatkan dewan.
Vokal mantap yang dimilikinya terus dialun dengan lagu berikutnya iaitu Ghazal Untuk Rabiah yang mendapat sorakan penonton.
Tidak ketinggalan juga masing-masing turut berduet bersama Rossa melalui lagu Seri Langkat dan Salahkah.
Turut hadir pada malam itu, tetamu kenamaan, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan isteri, Cik Puan Nur Bahiyah Akip.
Turut kelihatan, beberapa selebriti seperti Rita Rudaini, Intan Ladyana, Shah Iskandar dan Anzalna Nasir.
Capai sasaran
Dalam pada itu, selaku penganjur majlis, Pengerusi Eksekutif Airish Global Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Aizuddin Mohd. Ghazali berkata, matlamatnya untuk menjayakan misi kemanusiaan telah tercapai.
"Walaupun tiada sasaran kutipan untuk majlis ini. Dengan jumlah yang diperoleh, kami sangat berpuas hati.
"Diharap penganjuran makan malam sebegini akan dapat diperluaskan sekali gus dapat menjadi kempen kesedaran kepada masyarakat dalam menunjukkan keprihatinan terhadap golongan tidak bernasib baik.
"Kejayaan ini juga menaikkan semangat untuk terus membantu tanpa mengira bangsa dan agama pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas majlis.
Aizuddin juga yakin malam gala itu bukan saja untuk menghiburkan penonton yang hadir, malah turut menghiburkan ahli KBNAB di mana konsep berhibur sambil beramal yang telah dianjurkan dengan jayanya.
Sementara itu, Rossa pula bersyukur dengan kejayaan program itu dan mengakui akan melibatkan diri dengan lebih giat dalam program yang menjalinkan kerjasama dua negara iaitu Indonesia dan Malaysia.