BENARLAH pepatah, kalau jodoh tak akan ke mana. Cinta itu akan hadir tanpa dipaksa. Apabila sudah bertemu jodoh dan cinta berbalas, pengakhirannya pasti untuk disatukan.
Penantian lapan tahun setelah pelbagai onak dan duri yang dilalui, wanita ini sudah tentu sedang menghitung hari bahagia.
Nampaknya dugaan, ujian dan kontroversi yang melanda perhubungan mereka selama ini tidak dapat memadamkan bara cinta di dalam hati masing-masing. Inilah namanya jodoh.
Seperti yang dimaklumkan kepada media oleh kekasihnya yang merupakan seorang pelakon, tarikh pernikahan adalah pada 30 Mei ini dan sehari selepas itu majlis resepsi pula akan diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di negeri kelahirannya, Pulau Pinang.
Tarikh itu bakal mengubah seluruh kehidupan pelakon Almy Nadia atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 28. Sekali gus dia berharap agar dapat memadam semua spekulasi sebelum ini.
Terkejut dengan pengumuman yang dibuat Fizz Fairuz itu, Almy Nadia sebenarnya mengakui sedang berada dalam debaran menanti saat disatukan.
"Selama ini ramai orang kata kami berteka-teki mengenai perhubungan kami. Sekarang semua dah tahu, jadi saya rasa bersyukur kerana Fizz sendiri keluarkan kenyataan mengenai tarikh perkahwinan kami.
"Gembira juga kerana akhirnya dia terbuka hati dan kotakan janjinya untuk memperisterikan saya.
"Paling penting apabila kedua-dua keluarga bersetuju untuk melihat kami di atas pelamin. Doa mereka nampaknya terkabul dan harap terus kekal sampai akhir hayat," katanya.
Bakal menerima wang hantaran sebanyak RM20,000, Almy memberitahu persiapan perkahwinan dilakukan secara bersama termasuk pengedaran kad, pelamin, konsep dan sebagainya.
"Majlis kami diadakan secara sederhana sahaja. Namun, sudah ada beberapa tajaan tetapi masih belum disenaraikan semua lagi.
"Saya tidak mahu ada yang berkecil hati jika tidak disebut, jika sudah ada senarai penuh saya akan beritahu," ujar Almy sambil memberitahu persiapan sudah siap 70 peratus.
Anak masih keutamaan
Berbicara mengenai tarikh perkahwinan yang dipilih itu, Almy memberitahu tarikh itu ditentukan memandangkan musim cuti sekolah, jadi senang untuk saudara mara datang ke majlis.
"Sebenarnya, kami ada memilih tarikh lain untuk berkahwin. Awalnya, tarikh yang kami pilih ialah pada 27 April iaitu tarikh hari kelahiran saya.
"Tetapi, memandangkan banyak lagi persediaan yang harus kami lakukan dengan perbincangan antara dua pihak, tarikh akhir kami ialah pada 30 Mei," jelasnya.
Dalam pada itu, Almy dan Fizz sebenarnya sudah mengikat tali pertunangan pada 22 Oktober lalu, namun dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Menjawab perkara itu, Almy hanya menganggap majlis itu sebagai acara keluarga yang tidak perlu digembar-gembur kepada semua pihak.
"Bukan sengaja merahsiakan pertunangan kami tetapi ia adalah permintaan kedua-dua keluarga agar tidak timbul perkara yang tidak diingini. Cukup sekadar majlis nikah dan bersanding untuk kedua-dua belah keluarga.
"Perkara seperti ini, ada orang suka ada juga yang tidak suka, sebab itu saya lebih selesa ia diumumkan selepas kad jemputan kahwin siap nanti," jelasnya yang akan mula bercuti bagi menguruskan perkahwinannya selepas tamat penggambaran drama Janji Jasli terbitan sebuah stesen televisyen swasta.
Mempunyai seorang anak angkat yang diberi nama Nur Afrina Darwisyah, 5, yang merupakan permata berharga bagi Almy.
Menurut Almy, anaknya masih menjadi keutamaan walaupun sudah berkahwin nanti. Lagipun, kata Almy, hubungan anak angkatnya dengan bakal suami adalah rapat malah memanggil Fizz dengan gelaran papa.
"Janji saya buat anak adalah menjaganya dengan baik. Walau apa pun yang berlaku, saya akan tetap bersamanya. Sekarang anak saya sudah bersekolah dan seronok melihat perkembangannya.
"Tambahan, anak saya sangat baik dengan Fizz yang sering menelefonnya untuk bertanya khabar," katanya.