Sabri Yunus Budak nakal Kampung Landak



PERKATAAN nakal sememangnya cukup sinonim dengan selebriti ini. Sebelum bergelar orang seni ternyata sifat nakalnya itu membuatkan dirinya cukup dikenali.

Sejak kecil atau nama sebenarnya Mohd. Sabri Yunus ini gemar bercerita sehingga digelar penglipur lara.

Ada saja cerita karut yang direka oleh Sabri sehingga menarik minat rakan sebayanya untuk sama-sama mendengar apakah kesudahan cerita rekaannya itu. Bercerita tentang darah seni yang mengalir di dalam dirinya Sabri mengakui diwarisi daripada ayahnya.

Menurut Sabri, ayahnya merupakan seorang pengukir ketika zamannya dan sangat mahir mengukir cincin malahan kaca daripada botol minuman pun boleh diukirnya menjadi batu cincin.




Bagaimanapun cerita Sabri, minatnya di dalam bidang seni bermula dengan melukis. Apa sahaja yang boleh diconteng, dicontengnya.

"Seingat saya di hadapan rumah saya dipenuhi dengan pasir putih. Pagi-pagi selepas bangun tidur saya melukis di atas pasir itu dan kalau saya tidak suka saya padam (lukisan itu) dengan selipar. Waktu itu saya baru berusia empat ke lima tahun.

"Bukan itu sahaja, dinding almari lama saya juga saya conteng dengan apa sahaja yang terlintas di benak fikiran," katanya mengimbau kenangan.

Selain melukis Sabri juga suka membaca terutama novel dan di antara yang cukup diminati adalah novel Siti Nurbayah, Gagak Di Rimba dan Musafir.

"Ketika saya darjah dua dan tiga, saya dah baca novel. Abang saya selalu bawa pulang beberapa novel untuk saya baca.

"Bermula dari situlah saya pandai mereka-reka cerita sendiri. Seingat saya ramai kawan-kawan yang suka dengar cerita merapu saya terutama sekiranya kami berkumpul di wakaf.

"Memang cerita yang saya reka itu lebih berunsurkan lawak dan selalunya tidak tamat pada tempoh masa singkat. Paling kurang pun seminggu. Itu yang ramai kawan saya nak dengar sambungan cerita-cerita rekaan saya.

"Ketika darjah lima, ada cikgu tugaskan saya mencipta satu drama pentas untuk bertanding maka saya tidak lepaskan peluang itu. Drama yang saya buat sememangnya drama lawak, maklum sajalah rujukan saya ketika itu daripada hikayat watak Wak Sir.

"Drama pentas itu berjaya mendapat nombor satu... itupun sebab sekolah lain tidak hantar wakil," jelasnya sambil ketawa.

Ketika berada di dalam darjah enam, hasil-hasil karya lukisannya pula mula mendapat perhatian cikgu sehinggakan setiap hasil lukisannya telah dipamerkan di sekolah.

Juara pertandingan

Ketika berada di tingkatan satu pada 1974, Sabri telah memenangi tempat pertama di dalam pertandingan bakat sekolah selama dua tahun berturut-turut.

"Saya dapat juara pada pertandingan tersebut mungkin kerana saya menggunakan bakat saya sebagai pencerita dan melawak. Saya sampaikan cerita mengarut saya sedangkan orang lain semuanya menyanyi.

"Namun apa yang berlaku kepada saya pada tahun 1976 cukup berbeza. Ketika berada di tingkatan tiga, saya buang semua bakat yang ada dan mula berkawan dengan samseng iaitu seorang pelarian dari Thailand yang menetap di kampung saya.

"Saya menetap di Kampung Landak, Pengkalan Chepa, Kelantan. Kampung saya merupakan kampung yang majoritinya orang susah tetapi dikelilingi beberapa kawasan elit, ada maktab perguruan dan pelbagai lagi.

"Jadi kalau geng-geng saya nak pakai pakaian jenama maka mereka semua akan pecah masuk kawasan-kawasan elit tersebut.

"Saya memang akui tidak berani untuk mencuri sebab saya anak penghulu. Tetapi saya ada peranan penting sebagai jurujual yang mempromosikan barang-barang curi itu.

"Saya ada tiga gelaran ketika itu. Gelaran pertama ialah Cheleh (kecil) sebab saya ini bukan bertubuh besar. Gelaran kedua pula Puteh sebab kulit saya yang agak gelap dan gelaran yang paling terkenal adalah Mat Yie Landak sebab saya berasal dari Kampung Landak" ujarnya.

Kata Sabri lagi, kawasan kampungnya juga menjadi tumpuan para pelajar dari sekolah vokasional untuk menyewa rumah menyebabkan mereka turut menjadi sebahagian daripada penduduk kampung tersebut.

"Ada satu kisah disebabkan pelajar-pelajar vokasional itu berkawan baik dengan kami (budak kampung), ada sahaja masalah mereka, kami semua tolong. Ada sekali itu saya dan rakan-rakan masuk ke sekolah vokasional untuk bertumbuk. Sebenarnya saya bukannya berani sangat tapi disebabkan kawan ramai jadi dengan sendirinya saya jadi berani.

"Banyak kali juga saya bergaduh. Masa bergaduh

sayalah orang pertama yang buka baju, bukan sebab tunjuk berani tapi sebenarnya sebab cuaca panas," katanya ketawa.

Tidak tengok keputusan STPM

Selepas mendapat keputusan yang membanggakan ketika peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sabri layak untuk menyambung pelajarannya di dalam aliran sains tulen namun aliran tersebut nyata tidak sealiran dengan jiwanya.

"Saya langsung tidak berminat sehinggakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya cukup teruk. Saya dapat pangkat empat. Dua kali saya ambil SPM. Selepas SPM , saya pergi ke Singapura untuk bekerja kontrak. Ketika di sana saya gemar bergaduh malah saya dan rakan juga pernah cuba melakukan samun terhadap orang yang sedang berjudi di sana. Memang saya cukup nakal ketika itu.

"Saya kemudiannya ambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Semasa belajar saya cukup meminati matapelajaran sastera. Saya ingat lagi majalah Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat yang saya baca sampai hancur. Ketika itu saya cukup meminati tulisan Johan Jaafar (kini Datuk) yang selalu menulis tentang filem sehinggakan esei STPM pun saya tulis mengenai filem.

"Yang menariknya sampai sekarang saya tidak pernah lihat keputusan STPM saya. Saya belajar di sekolah swasta jadi banyak hutang yang tidak dilunaskan. Nak ambil keputusan hutang-hutang perlu dijelaskan jadi saya terus tidak tengok sehingga sekarang," ujarnya yang kemudiannya bekerja di Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) sebagai pelukis pada 1982.

Cerita Sabri tempoh tiga bulan pertama mula bekerja memang cukup perit kerana masih lagi tidak menerima gaji kerana masih di dalam tempoh percubaan. Nasib baik ayahnya membekalkan duit sebanyak RM170 dan dengan wang itulah digunakan untuk berbelanja secara berhemat sepanjang tempoh tersebut.

"Pada awal pekerjaan rezeki saya tersangat murah, makanan dari pagi sehingga petang memang kawan-kawan belanja.

"Mereka panggil saya untuk mendengar cerita merapu yang saya reka sama seperti di kampung saya dahulu. Jadi setiap kali selepas bercerita saya dapat makan percuma," katanya.

Mengimbau kali pertama dirinya terlibat dalam dunia hiburan Sabri memberitahu, semuanya bermula pada tahun 1984 apabila terlibat dengan pementasan teater Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman bersama rakannya, Wan Hanafi Su.

"Tetapi yang menaikkan nama saya tentunya sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada tahun 1987. Watak Wan Ismail Golok nyata melekat pada diri saya. Saya masih ingat pada satu hari saya ingin pulang ke rumah menaiki bas, ada dua orang budak tengok saya sambil ketawa. Saya marah dan bertanyakan apa masalah mereka? Kemudian mereka kata, ‘garang jugak Wan Ismail Golok ini.’

"Saya lupa yang saya ketika itu sudah bergelar seorang pelakon," katanya.

Benci bertukar suka

Bercerita mengenai perbezaan hidup selepas bergelar pelakon Sabri berkata, ramai orang kampung yang sebelum itu membenci dirinya kerana kenakalannya semasa kecil mulai menyukai dia.

"Perubahan bukanlah ketara sangat tapi semasa hari raya rumah saya penuh. Ada juga budak-budak kampung yang nak bergambar," kata Sabri lagi.

Selepas berhenti daripada DBP pada 1 Julai 1993, namanya semakin popular di arena seni sehingga memenangi beberapa anugerah antaranya Pelakon Lelaki Komedi TV Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2005, Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular (1993 sehingga 1996 dan 2000).

Selain berlakon Sabri kini bergelar pengarah drama. Selain mengarah kembali naskhah Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman ke dalam bentuk telemovie, drama pertama arahannya, Sanggul Beracun pernah diangkat Drama Terbaik Anugerah Skrin 2011 dan turut tercalon untuk Sichuan TV Festival Gold Panda Awards di China pada tahun lepas.
Previous Post Next Post