Siti Nurhaliza pentaskan kisah hidup



BERSEDIA untuk mendedahkan ‘warna’ sebenar kisah hidupnya pada satu pementasan tidak lama lagi!

Malah penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza bersiap sedia untuk menyelak kembali perjalanan hidupnya yang belum diketahui khalayak selama ini.

Segala episod suka duka Siti pada zaman kanak-kanak hingga era kegemilangan sebagai anak seni semenjak 19 tahun lalu bakal dirangkumkan untuk tatapan umum.

Impian yang sudah dirancang itu bakal direalisasikan di dalam sebuah pementasan muzikal teater yang bakal berlangsung di Istana Budaya (IB).

Bersama pasukan Siti Nurhaliza Production (SNP), Siti akan membuat kejutan dengan menampilkan kelainan bagi membolehkan masyarakat lebih mengenalinya secara dekat.

"Paparan itu bukan berkaitan perjalanan hidup Siti semata-mata sebaliknya tentang kisah peribadi Siti.




"Mungkin peminat nak tahu ‘warna’ sebenar Siti dan perangai sebenar Siti yang macam mana," kata Siti yang turut mengharapkan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk merealisasikan impiannya itu.

Pementasan kisah hidup Siti itu diinspirasikan daripada kejayaan konsert amal Datuk Siti Nurhaliza Live in Concert - Where The Heart Is yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 dan 8 Februari lalu.

Pada konsert yang berlangsung selama dua hari berturut-turut itu, dia berkongsi tentang kehidupannya. Semuanya bertitik tolak tentang perjalanannya sebagai anak seni bermula dari KL ke KL (Kuala Lipis ke Kuala Lumpur).

Nyata paparan itu menarik minat khalayak yang menonton persembahan amal yang berlangsung selama dua jam itu dengan pilihan lagu-lagu yang berkaitan dengan kisah hidupnya seperti Jerat Percintaan, Kau Mawarku, Bukan Cinta Biasa, Kau Kekasihku, Seindah Biasa, Ku Mahu dan Pendirianku.

Tambahan pula dengan senda gurau secara spontan oleh Siti secara tidak langsung menjadikan konsert amal yang julung kali diadakan itu lebih bermakna.

Terus beramal

Mengulas lanjut Siti bersyukur apabila mendapat tahu sasarannya untuk mengutip dana untuk mengisi tabung Yayasan Nurjiwa berjalan lancar.

Pada hari terakhir konsert tersebut berlangsung, pihaknya berjaya mengutip lebih RM1 juta hasil belian tiket dan derma peribadi peminat.

Sememangnya berita tersebut cukup mengharukan Siti membuatkannya lebih teruja untuk mengumpul lebih banyak dana untuk golongan yang memerlukan pada masa depan.

"Sebelum ini ada sebuah konsert dibuat untuk Yayasan Nurjiwa tapi di dalam skala yang kecil. Melihat ada perkembangan positif untuk tujuan tersebut, itu yang timbulnya idea untuk konsert amal ini.

"Yang pasti usaha murni sebegini akan berterusan. Sebab bila ada dana, baru boleh bantu golongan yang memerlukan," katanya lagi.

Yayasan Nurjiwa ditubuhkan bersempena perkahwinannya dengan Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa pada 21 Ogos 2006. Tabung ini turut membantu pembangunan khususnya di dalam pembinaan serta baik pulih masjid dan surau. Selain itu, yayasan itu turut menyumbang bagi dana pendidikan pembangunan modal insan.

Terus aktif

Sementara itu ketika diminta mengulas tentang perancangan Yayasan Nurjiwa selain konsert Datuk Siti Nurhaliza Live in Concert - Where The Heart Is pada tahun ini, Khalid yang ditemui sebelum itu memberitahu pihaknya sedang merancang beberapa program termasuk acara walkathon dan mencari harta karun yang dianjurkan bersama syarikat kosmetik SimplySiti Sdn. Bhd. (SimplySiti).

"Dana yang dikutip melalui penyertaan orang ramai itu akan dimasukkan terus ke tabung. Kami memerlukan aktiviti supaya tabung sentiasa ada dana," katanya yang mengakui kerap didatangi pihak yang memerlukan bantuan tetapi terpaksa mengehadkan permintaan kerana kekurangan dana.

Sentiasa bersikap terbuka untuk membahagikan dana sedia ada kata Khalid, pihaknya juga memerlukan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk melancarkan siri bantuan kemasyarakatan yang dianjurkannya selama ini.
Previous Post Next Post