Angah Raja Lawak bersama sebahagian koleksi pakaian ROB.
SIAPA sangka bermula dengan kesukaran mencari pakaian dan seterusnya ke perbualan kosong mengenai perancangan masa depan, kini impian artis komedi terkenal, Angah Raja Lawak dan pengarah prolifik, Ismail Bob Hashim menubuhkan label jenama sendiri menjadi kenyataan.
Republic of Big atau ROB ditubuhkan oleh tiga individu iaitu Angah, Bob bersama seorang lagi rakan kongsi, Sahharudin Jamal.
ROB bukan sebarang jenama biasa sebaliknya menyediakan pakaian daripada mereka yang bersaiz S sehinggalah yang bersaiz XXXXXXL.
Menurut Angah, sebelum ini, dia sukar mendapatkan pakaian besar dan terpaksa menempah baju sehingga menyebabkan timbulnya idea mengeluarkan jenama sendiri.
"Selalu jika saya mencari baju, kalau ada pun mesti tidak banyak pilihan. Apatah lagi saya sering terbabit dalam penggambaran. Jadi takkanlah saya nak pakai baju sama sahaja.
"Lepas itu ada orang kata senang cari baju saiz besar di Bandung dan Vietnam, tapi bila kami pergi tak ada pun.
"Bila timbul masalah sebegitu saya selalu mengadu pada Bob. Dari situlah timbulnya angan-angan untuk mengeluarkan jenama sendiri yang mempunyai pilihan saiz yang lebih besar seterusnya mempunyai butik dan kilang sendiri. Alhamdulillah kini angan-angan itu mula menjadi kenyataan," ujar Angah ketika ditemui pada majlis pelancaran ROB dan majlis berbuka puasa yang diadakan di Saloma Bistro, baru-baru ini.
Majlis yang cukup meriah itu turut dihadiri rakan-rakan artis sebagai tanda sokongan mereka kepada Angah dan Bob. Antara artis yang kelihatan seperti Elly Mazlien, Shira dan suaminya Ijoi, Along Cham dan isterinya Zila, Fadzil Zahari, Cat Farish dan ramai lagi.
Biarpun baru empat bulan beroperasi, Bob berkata, ROB kini memiliki butik di Johor Bahru dan kilang sendiri di Botongtanjung, Bandung, Indonesia.
"Alhamdulillah, usaha dan penat lelah kami selama empat bulan ini mula menampakkan hasil. Saya juga berterima kasih kepada dua pereka fesyen, Ili Nabila Haris dan Zulhusmi Suahimi, yang banyak membantu kami mereka baju-baju yang eksklusif dan kami kini sudah memiliki sebanyak 45 rekaan," ujarnya.
Tiru Polo?
Sementara itu, ditebak media mengenai rekaan baju dan logo yang seakan-akan jenama terkenal, Polo, Bob mengakui rekaan ROB diinspirasikan daripada jenama itu.
Jelas Bob, dia berharap tidak ada pihak yang mempertikaikan tindakan mereka kerana mereka mempunyai sebab tersendiri memilih untuk menjadikan Polo sebagai inspirasi.
"Misi kami adalah untuk menjadi 'trend-setter' kepada jenama baju bersaiz besar dan soal rekaan hanya perkara kedua.
"Perkara utama yang menyebabkan kami menjadikan Polo sebagai sumber ilham adalah kerana material kain yang digunakan Polo sangat berkualiti dan kualiti kain yang digunakan ROB juga sama dengan Polo.
"Selain itu, bila kami ilhamkan rekaan daripada jenama terkenal, impian mereka yang berbadan besar untuk memakai baju berjenama tercapai," ujarnya.
Bob berkata, berkenaan nombor 99 yang ada pada sesetengah baju pula, 99 adalah sebuah nombor yang besar yang mewakili jenama ROB sendiri.
"Kalau kita kira, nombor sembilan adalah nombor yang terbesar. Contoh, 9+9 sama dengan 18. 1+8 jawapannya 9, jadi dalam turutan nombor, sembilan adalah yang terbesar.
"Mengenai jenama, pelanggan tidak perlu risau kerana kami sudah pun daftarkan jenama kami dan tidak timbul isu tiru meniru," jelas Bob.
ROB boleh didapati bermula dengan saiz S hingga XXXXXXL dengan harga serendah RM49.90 sehingga RM159.90. Selain butik di Johor Bahru, pelanggan juga ingin mendapatkan koleksi ROB menerusi online di www.rob.com.my.
Nafi merajuk
Dalam pada itu, Bob berkata, dia mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu daripada menghasilkan filem.
Bagaimanapun Bob berkata, keputusan itu dibuat bukan kerana merajuk sebaliknya kurang yakin dengan perkembangan industri perfileman kini.
"Setakat ini sudah 16 filem dihasilkan, dan saya rasa sudah tiba masanya saya mencari idea baru. Lagipun kutipan filem kita kini sangat menyedihkan.
"Bagaimanapun, mereka yang selalu mengikuti filem saya boleh menonton karya terakhir saya yang akan ditayangkan 7 Ogos depan iaitu Adnan Sempit Sawadikap," katanya yang akan memberi fokus sepenuhnya terhadap syarikat produksi miliknya bersama Angah iaitu Shapeway Entertainment menerbitkan drama-drama dan telefilem.