Hercules: Antara mitos & wira sebenar



DRAMA dan filem berkaitan kisah Hercules sudah diterbitkan sejak tahun 1960-an lagi.

Sehingga kini, sudah beratus karya melibatkan drama, filem, animasi dan juga komik dihasilkan mengenai Hercules dalam pelbagai bentuk jalan cerita.

Terbaru, selepas Legend of Hercules yang menampilkan Kellan Lutz ditayangkan awal tahun lalu, sebuah lagi filem Hercules lakonan utama Dwayne Johnson sudah mula ditayangkan di pawagam bermula 24 Julai lalu.

Menariknya kali ini, filem arahan Brett Ratner diberi nafas baru dengan jalan cerita yang lebih mantap dan sarat dengan aksi pertarungan yang cukup mendebarkan.

Kali ini, filem ini dimulakan dengan kisah apabila lahirnya Hercules, anak kepada mitos dewa Zeus dan seorang wanita bernama Alcmene. Dia dikatakan separuh dewa dan separuh manusia yang menyebabkan dia memiliki kuasa yang luar biasa.

Kehandalannya diceritakan menerusi kisah 12 tugasan yang menjadikan nama perwira separa dewa itu digeruni di seluruh pelosok dunia.

Ditemani oleh sahabat-sahabatnya iaitu Amphiaraus (Ian McShane), Tydeus (Aksel Hennie), Autolycus (Rufus Sewell), Atalanta (Ingrid Bolse Berdal) dan Iolaus (Recee Ritchie), Hercules sanggup berlawan apa sahaja demi mendapatkan emas.

Namun di sebalik kemegahan nama Hercules, kematian mengejut isteri dan anak-anaknya membuatkan dia sering terganggu. Malah, Hercules juga didakwa telah melakukan pembunuhan kejam terhadap mereka.

Bagaimanapun, Hercules tidak dapat ‘melarikan diri’ buat selamanya.

Perang saudara di Thrace semakin menjadi-jadi dan memerlukan campur tangannya, lebih-lebih lagi apabila Ergenia (Rabecca Ferguson) yang merupakan anak kepada Lord Cotys (John Hurt) meminta pertolongan mereka untuk membebaskan kota Thrace daripada serangan Rhesus (Tobias Santelmann).

Adakah Hercules berjaya untuk mengalahkan Rhesus yang terkenal dengan bala tenteranya yang hebat dan siapakah sebenarnya bertanggungjawab membunuh ahli keluarganya dengan kejam?

Berlatarbelakangkan zaman Yunani, filem ini mempunyai jalan cerita yang agak berlainan, dan pada dengan aksi pertarungan yang cukup hebat dan mendebarkan.

Apatah lagi, jika sebelum ini kita biasa melihat Hercules berjuang seorang, namun kali ini dengan ada sahabat-sahabat yang mengikutinya membuatkan penonton akan disajikan dengan aksi yang cukup mengagumkan.

Lebih-lebih lagi apabila setiap seorang memiliki kehebatan masing-masing.

Bukan itu sahaja, suntikan komedi menerusi dua watak iaitu, iaitu Autolycus yang juga boleh meramal masa depan dan begitu ingin menikmati saat kematiannya dan si penglipur lara, Iolaus yang hebat bercerita membuatkan ada sahaja aksi mereka yang mencuit hati.



Lakonan mantap

Seperti biasa, Johnson sekali lagi berjaya mengemudi watak Hercules dengan baik dan dia tidak sedikit pun dibayangi hero-hero lain yang pernah menjayakan watak Hercules sebelum ini.

Apatah lagi dengan badan yang sasa dan aksi yang mantap membuatkan penonton akan terus setia menyaksikan filem ini di pawagam.

Namun dalam kehebatan jalan cerita, lakonan, filem ini sedikit terjejas dengan jalan cerita yang sedikit longgar. Apatah lagi dengan pemotongan beberapa babak membuatkan ia sedikit terjejas.

Bagaimanapun tidaklah sampai menjejaskan mood untuk menonton dan durasi filem yang tidak sampai dua jam itu barangkali cukup sesuai dengan keseluruhan jalan cerita.

Apa yang pasti, pada klimaks cerita ini, anda akan tertanya-tanya siapa sebenarnya yang jahat dan menjadi dalang kepada semua masalah.

Bagi mengetahui jawapannya jangan lupa menyaksikan filem Hercules di pawagam.


Previous Post Next Post