Malam Raja Azura


Aksi membanggakan Raja Azura sebagai Permasiuri Laila Sari.

KISAH dongeng seorang permaisuri sihir yang mempunyai sebuah cermin sakti seringkali mengingatkan kita kepada cerita animasi Disney Snow White and The Seven Dwarfs yang diterbitkan pada 1937.

Namun jangan dilupa, masyarakat Melayu juga mempunyai kisah yang serupa menerusi watak Bidasari karya pengarah Jamil Sulong.

Seperti watak Snow White, Bidasari juga berdepan dengan kejahatan permaisuri sihir yang begitu mencemburui kecantikan yang dimilikinya.

Cuma naskah garapan Jamil sedikit berbeza apabila berkisah tentang Bidasari yang dijaga oleh saudagar Amir Abdullah yang tidak pernah mengetahui bahawa dia adalah anak angkat kepada pasangan keluarga bangsawan tersebut.




Sehinggalah pada suatu hari Bidasari yang berkembarkan seekor ikan diminta untuk membuat persembahan di istana yang menemukannya dengan Permaisuri Laila Sari yang kejam dan kemudiannya membuka pelbagai lembaran kisah hidupnya.

Diangkat ke Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur baru-baru ini, Bidasari menyaksikan transformasi menarik daripada layar perak ke pentas berprestij.

Nur Fathia diberi tanggungjawab memegang watak Bidasari, watak itu pernah digalas oleh seniwati Sarimah Ahmad ketika di layar perak.

Menepati kriteria Bidasari terutama dari sudut rupa paras yang cantik, Fathia dilihat masih lagi kekok dengan dunia pementasan teater sementelah ini kali pertama dia terlibat secara langsung di dalam pementasan.

Malah ada ketika Fathia gagal memberikan ‘jiwa’ kepada Bidasari ketika beraksi di atas pentas.

Biarpun dilihat kurang kelembutan dari aspek tarian dan reaksi lakonan, Fathia wajar menerima pujian kerana sekurang-kurangnya dia berusaha untuk memberikan yang terbaik sekalipun seluruh tenaga produksi kekurangan masa untuk menjalani latihan.

Apabila keadaan itu berlaku secara tidak sedar dia memberi ruang dan peluang buat Raja Azura untuk ‘mencuri’ sinar bintang Bidasari yang merupakan tonggak utama penceritaan.

Klise dengan watak antagonis memberikan kelebihan dan senjata buat Raja Azura atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Engku menyerlah dengan wataknya sebagai Permaisuri Laila Sari.

Sudah ‘masak’ dengan permainan berkarakter hitam, Raja Azura menambah nilai pujian ramai apabila mempamerkan aksi silat yang mengingatkan penonton pada siri drama popular sekitar tahun 90-an, Pendekar.

Pada usianya sekarang babak aksi tersebut dinanti-nantikan dan dipuji kerana bukan mudah menyajikan kemahiran seni mempertahankan diri sedemikian rupa.

Meskipun kesimpulan lebih terarah kepada ‘malam Raja Azura’, barisan pelakon lain juga wajar menerima pujian kerana masing-masing sama bertungkus-lumus memastikan pementasan itu berjalan lancar.

Selain Fathia dan Raja Azura, Bidasari turut dilakonkan Datuk Jalaludddin Hassan, Norsiah Yatim, Che Wan Silat, Fadhilah Mansor, Hairul Azreen dan Aiman Hakim.
Previous Post Next Post