JULIE dan anak perempuannya, Hani yang banyak membantu dirinya.
EMPAYAR Julie Dahlan bukan biasa-biasa. Produser itu pernah suatu ketika dahulu menerbitkan filem yang menjadi fenomena semasa antaranya Wira Angkasa (1987), Harry Boy (1991), Driving School (1990) dan terakhir Cinta Metropolitan (1996).
Harus diakui bakatnya lebih tertumpu untuk kerja di belakang tabir berbanding menjadi wajah pelaris filem. Namun begitu, filem-filem lakonannya seperti Si Badol (1979), Idola (2002) dan Cicakman 2: Planet Hitam (2008) meninggalkan memoir berharga kepada peminatnya.
Malah, suatu ketika dahulu personalitinya pernah dijadikan bahan sinikal dalam filem Pengantin Popular (1994) yang diarahkan oleh Erma Fatima menerusi watak khas yang dilakonkan oleh Allahyarham Azean Irdawati sehingga mengundang perdebatan hangat.
Sedikit terkilan dengan tindakan berkenaan, ujar Julie atau nama sebenarnya Junaidah Dahlan, 61, dia tidak kisah dijadikan bahan lawak.
“Saya tahu saya bukanlah begitu, jadi saya tidak kisah dijadikan bahan lawak atau dipandang sinis seperti dalam filem Pengantin Popular.
“Memang mulanya saya berkecil hati dengan Erma dan pernah bertikam lidah tapi lama-kelamaan saya sudah boleh melupakan perkara berkenaan dan sekarang kami sudah neutral.
“Walau hati marah tapi saya belajar untuk beralah, bukan bermakna saya mengalah tapi itu satu proses untuk mendidik,” katanya yang ditemui di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pembabitan Julie dalam dunia lakonan bermula dari bawah, pada usia 28 tahun dia mula berjinak-jinak sebagai pelakon tambahan namun bakatnya mendapat banyak kritikan berbanding pujian.
Sejak itu, ibu kepada pelakon Hani Nur Zara itu mula terbabit dalam kerja belakang tabir sebagai kru, penolong pengarah dan akhirnya mengarahkan sendiri filem Kad Cinta (1995).
Mengimbas kembali sumbangannya yang lain kepada industri hiburan, Julie pada dasarnya telah mencungkil nama-nama besar yang kini menjadi primadona filem-filem Melayu seperti Nasha Aziz, Vanidah Imran, Sofia Jane dan Erra Fazira.
“Saya yang rekrut Erra Fazira asalnya untuk berlakon filem terbitan saya, Putera (1995) tapi malangnya ketika itu dia sedang hangat bercinta dengan Awie dan Yusof Haslam pula mengikat Awie dengan kontrak tidak boleh berlakon filem lain selain syarikatnya.
(DARI kanan) Pansha, Yusof dan Freddie hadir menziarahi dan memberi sumbangan RM5,000 bagi menanggung kos rawatan yang ditanggung Julie.
“Maka, Erra pun menarik diri daripada filem Putera dan saya gantikan dengan Erma Fatima. Selepas itu saya bertemu pula dengan Nasha Aziz yang saya yakin potensinya boleh digilap dan mampu terbang tinggi.
“Bagi saya, cantik itu penting dan lakonan boleh digilap. Itu yang saya lihat pada diri Nasha, Sofia Jane, Vanidah Imran dan Erra Fazira,” tambahnya.
Julie mengakui antara kesemua filem terbitannya, Hanny (1993) lakonan Ruhil Amani, Maria Farida dan Hani Mohsin adalah filem paling tidak laku.
Bagaimanapun, filem itu sekurang-kurangnya memberikan pulangan lebih RM30,000 berbanding senarai filemnya yang lain.
“Saya tidak faham kenapa sekarang ramai yang cakap buat filem merugikan. Mungkin kalau tidak laku walau filem itu bagus kerana terlalu banyak filem di pasaran dan penonton ada banyak pilihan lain. Jadi, kita perlu melakukan sesuatu,” jelas Julie.
Baru-baru ini juga, atas sumbangan besar Julie kepada industri hiburan, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, N. Panchacharam atau lebih dikenali sebagai Pansha, Presiden PFM Datuk Yusof Haslam dan ahli jawatankuasa PFM, Datuk Freddie Fernandez meluangkan masa melawatnya yang kini sedang sakit.
Sumbangan RM5,000 dihulurkan untuk meringankan beban Julie yang terpaksa menanggung kos rawatan hemodialisis bernilai RM2,000 sebulan selain rawatan sampingan penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis dan masalah penglihatan.
Bercakap mengenai tahap kesihatannya, Julie memberitahu, dia sebelum ini pernah dikejarkan ke hospital sehingga saluran pernafasannya ditebuk untuk memudahkan rawatan dilakukan.
“Berpunca daripada kencing manis sekarang datang penyakit lain termasuk tekanan darah tinggi, buah pinggang dan masalah penglihatan.
“Mula-mula ditimpa musibah, saya rasa terpinggir tapi selepas dua tiga bulan saya kembali bersemangat. Saya mahu hidup dan akan tanggung semua ini,” ujarnya.
Sementara itu, Julie berharap agar pihak stesen televisyen memberi peluang kepadanya untuk menerbitkan produk di bawah saluran mereka.
Dengan dibantu oleh anaknya, Hani Nur Zara, beberapa buah drama milik Julie telah melalui proses pitching (sesi untuk menetapkan waktu siaran) di beberapa buah stesen televisyen sejak bulan September tahun lalu. Namun malangnya, belum ada sebarang jawapan.
Katanya: “Saya tidak mahu meminta-minta tapi saya ada kepakaran (menerbitkan produksi drama) untuk dijual. Saya memang ikut prosedur seperti orang lain, jadi besar harapan saya, pihak stesen TV memberi peluang kepada produk saya untuk disiarkan.”