Shaheizy Sam, Liyana Jasmay rakam single Bangun



Walaupun lebih aktif dan dikenali ramai menerusi lakonan, kecintaan pelakon popular tanah air, Shaheizy Sam pada muzik tidak pernah pudar. Apatah lagi, muzik diakuinya cukup dekat di hati dan amat diminati.

Pernah membabitkan diri dalam muzik sebelum aktif berlakon dengan menubuhkan kumpulan sendiri, MOB sekitar 1999 lalu, Sam mengakui dia sangat berbesar hati apabila Nescafe memberi ruang padanya untuk mengetengahkan bakat nyanyian.


Sam berkata, projek bersama Nescafe untuk merakamkan single berjudul Bangun itu dinyanyikan secara duet bersama pelakon Liyana Jasmay adalah ciptaan komposer Audi Mok dan lirik pula hasil cetusan ilham daripada peminatnya yang dirakam pada tahun lalu.

“Saya sangat gembira dapat merakamkan lagu Bangun yang ini melodi dan liriknya sangat menarik. Apatah lagi, single Bangun itu lebih menjurus pada lagu yang ke arah memberi inspirasi dan pembakar semangat untuk mencapai kejayaan.




“Bagaimanapun, terima kasih tidak terhingga kepada kira-kira 50,000 peminat saya yang sudi menyumbangkan ilham mereka untuk lirik Bangun di laman sosial seperti Facebook, YouTube dan Twitter yang dibuka selama dua bulan,” katanya.


Mengulas mengenai kerjasama dengan Audi pula, bintang ternama berusia 32 tahun itu berkata, ia adalah pengalaman pertama kali­nya. Menurut Sam, sepanjang bekerja dengan Audi, dia seronok dan kembali membina keyakinan.

“Walaupun jiwa saya cukup dekat dengan muzik kerana minat mendalam, tetapi kebimbangan untuk merakamkan lagu memang ada. Apatah lagi, selama ini kalau saya bermain gitar dan menyanyi di set penggambaran pun hanya suka-suka.

“Jadi, bagi kerjasama de­ngan Audi ini, saya mula­nya bimbang juga tidak dapat melakukan yang terbaik. Namun, sikap Audi yang ber­sahaja dan banyak memberi galakan menjadi satu doro­ngan kepada saya. Begitu juga dengan Liyana.

“Saya langsung tidak berasa tekanan, malah diakui juga Audi memang komposer terbaik. Maka, tidak hairanlah apabila kebanyakan lagu ciptaannya cukup popular. Audi, pada saya adalah seorang komposer berbakat besar,” katanya.

Menyentuh pula soal album, Sam berkata, dia terbabit menyanyikan lagu Bangun itu sebagai memenuhi minat dan impiannya sebagai penyanyi. Ujarnya, bagaimanapun dia tidak pernah terfikir hingga ke tahap untuk merakamkan album.

Menurut pelakon Adnan Sempit ini lagi, pembabitan­nya merakam­kan lagu Bangun itu sebagai ‘pemanas badan’. Ia katanya lebih menjurus pada hadiah untuk peminat yang tak pernah jemu memberi sokongan.

Jelas Sam, selepas dia bergandingan dengan Yana Samsudin merakamkan lagu Begini Caranya untuk lagu tema filem kira-kira dua tahun lalu, memang ramai peminat memberikan sokongan kepadanya untuk kembali me­nyanyi.

Namun, katanya, keutamaan pada lakonan membuatkan dia cukup selesa. Apatah lagi, jadual yang padat membuatkan Sam hanya mampu memberi tumpuan­nya kepada lakonan.

Kini, harapannya supaya lagu Bangun menjadi karya malar segar.
Sementara itu, peluang kini dibuka kepada 20 orang peminat bertuah untuk bertemu dengan Sam pada maj­lis pelancaran single Bangun pada Rabu ini di Talent Lounge, Damansara Perdana. Apa yang perlu dilakukan adalah menjawab soalan kenapa anda perlu hadir ke majlis itu?

Jawapan boleh dihantar sebanyak mungkin ke alamat e-mel myNescafeCans@gmail.com sebelum jam 4 petang, esok (Selasa). Sila sertakan nama penuh, kad pengenalan dan nombor telefon untuk dihubungi semula oleh penganjur.
Previous Post Next Post