SEPAHTU nak buat kenduri



Segala ujian, cabaran dan tekanan yang terbit sepanjang tempoh 13 minggu berada dalam Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM2013) berjaya dilalui dengan tabah.

Adakalanya moral mereka berada pada tahap rendah demi menzahirkan sebuah komedi.
Pun begitu, Sepahtu yang dianggotai Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep), Shahmira Muhamad (Shuib) dan Rahim Mat Ali (Rahim) akhirnya mampu menarik nafas lega apabila dinobat­kan sebagai juara musim ini sekali gus mengenepikan cabaran empat peserta lain pada pentas akhir yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Jumaat lalu.




Mereka meraih hadiah wang tunai lumayan berjumlah RM500,000 dan trofi manakala pesaing terdekat, Shiro yang dianggotai Shahrol Azizie Azmi (Shahrol) dan Mohd Hanaffi Razak (Ajak) memenangi tempat kedua dengan wang RM250,000.
Mengulas kemenangan hebat itu, Sepahtu memberitahu, menjelang minggu terakhir MLM2013, mereka mengambil pendekatan keluar bersama untuk mencari idea yang mampu menggeletek hati peminat.
“Kami perlukan sesuatu yang menarik membuatkan idea sering berubah-ubah. Untuk tema muzikal, idea asalnya adalah sketsa dalam wad, tapi kami rasa ia kurang menyengat dan buat perubahan pada saat akhir.

“Kami kecewa kerana gagal buat peminat terhibur pada minggu sebelumnya di Johor Bahru. Usaha kami tetap sama cuma kadangkala dalam pertandingan kadangkala ada turun dan naik. Tak sangka ia berlaku pada separuh akhir dan di tempat kami sendiri pula.

“Apapun kami anggap itu sebagai ‘wake-up’ call untuk buat yang terbaik. Alhamdulillah persembahan kami malam ini menjadi dan ramai yang berpuas hati,” ujar Jep.

Jep mengakui semangat mereka banyak ditiup oleh peminat. Bahkan ada di dalam kalangan peminat yang mengadakan majlis kenduri bagi mendoakan kemenangan Sepahtu.

“Memang terharu rasanya dan Insya-Allah Sepahtu bercadang untuk buat kenduri bagi meraikan peminat mereka. Kami akan cari masa yang sesuai,” katanya lagi.
Ditanya mengenai pembahagian wang dan kedudukan Rahim, Jep memberitahu segala-galanya sudah dimuktamadkan sejak awal lagi dan mereka tiada masalah dalam perkara ini.

“Wang akan dibahagikan sama rata dan kami belum merancang lagi untuk buat apa dengannya. Apa yang boleh dikatakan, kami akan menggunakannya untuk keselesaan keluarga.

“Sejak awal lagi kedudukan Rahim juga sudah jelas iaitu untuk projek MLM2013. Selebihnya kami tak tahu nak cakap. Dia sangat membantu Sepahtu sepanjang 13 minggu kami bersaing,” kata Shuib pula.

Rahim pula tidak berkecil hati andainya jodoh tidak panjang kelak bersama Sepahtu. Perkara ini sudah dijelaskan sejak awal oleh Jep dan Shuib.

“Saya kena sedia terima ke­nyataan. Yang penting, ini pencapaian terbaik saya sepanjang hayat,” katanya yang sabar apabila berdepan pelbagai kritikan sebelum ini.

Biarpun diakui memberi saingan hebat, Shiro akur di tempat kedua. Mereka lega kerana tekanan sepanjang 13 ming­gu dalam MLM 2013 sudah berakhir.

“Tak dinafikan perasaan kami sangat tertekan sepanjang persaingan. Syukur segala-galanya dah selesai. Kami sentiasa fikir positif untuk hiburkan peminat dan bukannya untuk bersaing sangat.

“Tahun lalu kami jadi pendatang baru dan berjaya dapat tempat ketiga. Sekarang tempat kedua. Ini bermakna kami sudah mencatat pencapaian lebih baik.

“Bagi kami, minggu yang paling sukar adalah minggu kesembilan MLM yang berlangsung di 1Utama kerana kami sukar fokus kepada persembahan,” kata Ajak.

Mengakui 13 minggu yang dilalui agak meletihkan, Shahrol akan bercuti seketika sebelum memulakan tugas sebagai penyampai Carta Fulamak Sinar mulai 15 Februari ini.

Bagaimanapun Ajak tidak dapat berbuat demikian kerana terbabit dengan penggambaran drama 13 episod berjudul Batu Giling arahan Opie Zami bermula Sabtu, 8 Februari lalu.

Bocey yang dianggotai Muhamad Fadzlie Mohd Nizam (Fard), Mohd Nasir Hamzah (Achey) dan Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan (Abam), tetap berpuashati menduduki tempat ketiga.

“Kami cuma nak hiburkan orang dan tak sasarkan kemenangan. Apa yang berlaku adalah satu keajaiban. Kalau ditawarkan peluang, kami nak masuk lagi dalam MLM musim depan.

“Kami sebenarnya bergerak bebas dan tak terikat dengan mana-mana stesen TV. Kami juga akan muncul dengan filem Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa yang akan ditayangkan tak lama lagi,” kata mereka.

Mengulas mengenai wang kemenangan, Bocey yang turut diangkat sebagai kumpulan terbaik final MLM 2013, akan mengagihkan sama rata antara mereka dan turut berhajat me­ngadakan majlis kenduri doa selamat buat peminat.

Tempat keempat dan kelima dimenangi Jambu (Zamatul Amri Zakaria & Yussry Edoo) dan Ahmad Nabil Ahmad yang masing-masing membawa pulang RM50,000 dan RM15,000.
MLM 2013 diadili juri tetap, Datuk Yusof Haslam, Luna Maya, Sheikh Haikel dan Nora Danish dengan kuota 70 peratus dan selebihnya berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Meneliti persembahan peserta pada malam final, tidak dinafikan kesemuanya ada kelebihan masing-masing. Tema yang ditetapkan adalah bebas dan muzikal, sekali gus memberikan kelebihan buat mereka mempamerkan kreativiti berlawak.

Tatkala semua finalis menonjolkan aksi jenaka yang selamba seperti biasa, persembahan Nabil pula berbeza kerana emosinya terusik gara-gara memohon maaf kepada Luna Maya. Minggu sebelumnya Nabil dikecam hebat oleh peminat kerana mempersendakan kisah hitam yang pernah berlaku ke atas Luna Maya.

Jadi pada malam itu, Nabil berucap dan menyanyi dalam nada sebak menyebabkan Luna Maya dan Nora Danish terharu.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, persaingan hebat ini menyaksikan Sepahtu mengutip undian 72 peratus, diikuti Shiro (69 peratus), Bocey (68 peratus), Jambu (65 peratus) dan Nabil (64 peratus).

“Usaha kami selama 13 ming­gu ternyata berjaya apabila ‘rating’ yang ditunjukkan oleh penonton amat menggalakkan. Kami sangat berpuas hati de­ngan kualiti jenaka yang ditunjukkan dan selepas ini akan teruskan pula dengan program Skool of Lawak,” katanya.
Previous Post Next Post