Dibesarkan dalam keluarga seni, maka tidak hairanlah apabila Sam kini sudah berjaya membuktikan bakat lakonannya serta berstatus artis popular. Bahkan, dia juga sudah dua kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.
Masih dicalonkan dalam senarai ‘Top 5’ kategori Pelakon Filem Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH 2013 (ABPBH 2013), Sam berkata, dia bersyukur tetapi soal kemenangan diserahkan pada peminat.
“Saya tidak meletak sebarang harapan untuk mempertahankan gelaran Bintang Paling Popular yang pernah dimenangi tahun lalu. Ini kerana, sama ada menang atau kalah seseorang calon itu semuanya bergantung pada undian peminat.
“Sudah berada pada tahap Top 5 pun saya amat bersyukur,” katanya memaklumkan kini lebih memberi tumpuan pada pemilihan karakter, skrip yang bagus dan pengarah yang akan bekerjasama dengannya dalam filem dibintangi.
Sam berkata, sudah tiba masanya dia kembali pada cara bekerja yang dulu dengan bersikap memilih dan memberi keutamaan pada karakter, skrip dan juga pengarah yang bakal bekerjasama dengannya.
Mengakui dia juga tidak kisah untuk bekerja dengan mana-mana syarikat produksi, Sam berkata apa yang diinginkan hanyalah hasil kerja yang bagus.
Mengenai hubungan rapat dengan pelakon jelita, Syatilla Melvin pula, Sam mengakui mereka memang berkawan rapat, tetapi belum ke tahap yang serius.
“Buat masa ini, apa yang boleh saya katakan kami memang berkawan tetapi bukanlah bercinta. Sekarang pun, saya belum terbuka hati untuk ada teman istimewa,” katanya.