Syafiq Kyle masih sendiri



MASIH mencari calon yang sesuai untuk dijadikan isteri.

KETIKA namanya hangat diperkatakan dengan seorang pelakon wanita yang cukup dikenali, lelaki bernama Syafiq Shamim Abdul Razak sebenarnya telah cuba untuk membersihkan segala kontroversi itu. Satu jawapan agak klise diberikan kepada para media. Hubungannya dengan Jue Aziz dijelaskan sebagai teman biasa sahaja. Tiada yang lebih daripada erti sahabat.

Ada juga benarnya, orang di sekeliling sepatutnya tidak menjadikan sekeping gambar itu sebagai satu bukti yang menunjukkan mereka sedang bercinta. Selidik dahulu sebelum memberikan spekulasi.

Kepada Hits, jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini yang dikenali dengan nama komersialnya, Syafiq Kyle memberitahu secara jujur bahawa gambar yang tersebar itu sebenarnya gambar lama.

“Tiada apa yang perlu diungkitkan. Gambar itu sudah berusia setahun. Memang betul saya ada keluar bersama Jue Aziz tetapi tidak bermakna kami sedang bercinta.




“Kami hanya berkawan. Perkenalan kami bermula selepas saya berkawan dengan pengurus peribadinya. Memang tidak dinafikan, saya selesa berkawan dengannya dan saya berkawan dengan semua orang.

“Rasanya, itu adalah pertemuan kali pertama kami untuk keluar makan. Bukan saya seorang sahaja, ada lagi rakan-rakan lain yang ikut. Kami juga bukannya berjumpa setiap hari dan tidak selalu berhubung," katanya yang sentiasa menjaga tertib sebagai seorang selebriti.

Mengikut apa yang dikatakan Syafiq, harapannya adalah agar para peminat tidak terus memberi pandangan negatif terhadap hubungannya dengan Jue Aziz.

Ketika ditebak persoalan mengenai gadis yang telah mencuri hatinya, jawab Syafiq, setakat ini dia masih solo.

“Jujur saya katakan, saya belum mempunyai teman wanita. Saya belum bersedia untuk memberi seratus peratus komitmen dalam hubungan cinta.

“Bagi saya, cinta itu masih tidak penting. Saya senang menjalani kehidupan solo dan umur saya juga masih muda. Banyak lagi benda yang perlu saya buat.

“Kalau cinta itu sekadar cinta monyet, baik tak payah. Memang cinta itu tidak perlu lagi bagi saya buat masa ini," ujar lelaki berusia 22 tahun ini.

Tetap dengan pendiriannya, Syafiq beranggapan kadangkala urusan cinta sebenarnya hanyalah akan menjejaskan impiannya untuk fokus bergelar penghibur sejati.

Terima jodoh keluarga

Mungkin masih terlalu awal untuk menentukan siapa yang bakal menjadi suri hatinya, Syafiq tidak menolak kemungkinan untuk menerima jodoh daripada pilihan keluarga.

Itu hanya kemahuan Syafiq sekiranya ingin menamatkan zaman bujangnya kelak. Tidak mustahil juga semua itu akan berlaku memandangkan dia belum bertemu dengan mana-mana gadis yang sesuai.

“Kalau ditakdirkan masih tidak mempunyai kekasih, rasanya saya lebih senang menyerahkan soal siapa bakal isteri kepada ibu bapa untuk membuat pilihan.

“Kadang-kadang, saya rasa pilihan keluarga ini ada baiknya, dengan syarat dia sesuai dengan citarasa saya.

“Tetapi semua itu hanya akan berlaku jika saya masih belum berkahwin pada usia yang sudah agak tua. Saya sendiri tidak menetapkan usia bila untuk berkahwin, tidak jadi masalah pun, " katanya.

Ditanya mengenai perempuan jenis yang mana menjadi pilihan, Syafiq awalnya agak keberatan untuk menjelaskannya. Biarlah dia menyimpan semua itu kerana soal cinta atau kahwin bukan perkara utama untuk difikirkan ketika ini.

“Jika saya ditakdirkan berkahwin dengan wanita berusia pun akan saya terima. Sebab itu, setiap kali ingin berkawan dengan mana-mana perempuan. Penting untuk saya kenal betul-betul hati budinya. bukan hanya memandang ke arah kecantikannya semata-mata.

“Lagipun, saya tidak memilih untuk berkawan dengan sesiapa sahaja," kata jejaka pemalu ini.

Diherdik pengarah

SUDAH menjadi asam garam seorang pelakon baru sepertinya yang masih hijau. Diherdik, dimaki dan dimarah oleh pengarah adalah perkara biasa. Pun begitu, Syafiq melihat semua itu sebagai satu pengajaran buatnya untuk terus mengumpul sebanyak mungkin pengalaman.

“Di lokasi, tidak kisah dengan apa yang pengarah nak saya buat, itu akan meninggikan tahap keyakinan saya.Ada juga pengarah yang menasihati saya supaya bertegas dengan setiap watak yang akan dibawa. Saya berterimakasih kepada mereka kerana nasihat-nasihat seperti ini yang akan meningkatkan mutu lakonan saya," kata Syafiq yang masih belum puas dengan lakonannya.

Ketika ditanya tahap kepuasan dalam kerjayanya, kata Syafiq, semuanya masih banyak yang perlu diperbaiki. Berdasarkan kepada segi pembawakan watak dalam lakonan, dia sedar bahawa dirinya banyak kekurangan sehingga hari ini.

“Saya tidak dapat lagi mengubah 50 peratus diri sendiri untuk membawakan sesuatu watak. Saya masih lagi dengan watak diri sendiri. Harapan saya memang agar dapat menghayati watak itu suatu hari nanti.

“Tetapi, watak yang paling saya suka ialah watak aksi kerana saya sudah menjalani latihan muay thai dan ingin mempraktikan apa yang saya sudah belajar itu," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq akan muncul dalam slot drama Tuan Rumah Pembantu Rumah dan Anugerah Terindah.

Memang dia sangat gembira apabila penerbit drama amat menyenanginya dan sehingga kini dia sering menerima pelbagai tawaran lakonan.

“Alhamdulillah, saya masih lagi baru dan banyak perkara yang perlu dipelajari. Terus terang, saya memang tidak dikenali tetapi tawaran lakonan ada saja yang datang.

“Dan saya ambil peluang tawaran berlakon itu dengan mengasah bakat saya untuk menjadi lebih baik dari semasa ke semasa, " tuturnya yang memulakan langkah dalam bidang lakonan sejak tiga tahun lepas.
Previous Post Next Post