Asfan Shah mula dikenali selepas single pertamanya, Terhenti Di Sini menjadi lagu tema drama Nora Elena. Adegan seorang gadis yang cuba menjejaki bekas kekasih yang ditinggalkannya.
Setelah hampir tiga tahun membabitkan diri dalam bidang seni suara, nama Asfan Shah sebagai salah seorang penyanyi lelaki tempatan dilihat semakin kukuh apabila tiga daripada empat single yang dilancarkan mendapat tempat di hati peminat muzik tanah air.
Terbaharu, single keempatnya, Alasan Untuk Bahagia, hasil ciptaan sepenuhnya oleh Asfan sendiri mula menjadi siulan sejak ia mula dimainkan radio tempatan pada penghujung tahun lalu.
Terdahulu, sebelum mendapat perhatian pendengar radio, video muzik lagu berkenaan terlebih dahulu dilancarkan pada awal November 2013 agar pengisahan bait liriknya dapat digambarkan kepada umum.
Mula dimuat naik ke laman YouTube pada 2 November lalu, video muzik berkenaan mendapat sambutan hangat peminat setia Asfan yang mengikuti perkembangannya.
Mencecah bilangan tontonan sebanyak 29,372 kali, diakui, jalan ceritanya begitu asyik untuk ditonton ditambah pula dengan iringan alunan lagu balada yang sememangnya menjadi kekuatan jejaka berusia 30 tahun itu.
Walau bagaimanapun, kisah kesedihan seorang pemuda yang ditinggalkan kekasihnya seperti mana yang cuba disampaikan oleh pengarah, Khaidir Shahri dirasakan kurang umphhh apabila perasaan sedih itu tidak dapat dihayati sedalamnya.
Namun, pujian harus diberikan kepada Asfan yang melakonkan sendiri watak jejaka malang itu kerana secara konsisten menampakkan kekecewaan yang dihadapinya dengan raut wajahnya yang hampa, tetapi tidak keterlaluan.
Pun begitu, secara keseluruhannya, drama yang dipaparkan menerusi muzik video terbabit berbaloi untuk ditonton kerana ia diolah dengan begitu ringkas walaupun di penghujungnya ia memerlukan penonton menggunakan daya pemikiran mereka untuk mentafsirkan apa yang berlaku sebenarnya.