Ustaz Shahrul: Pernah diserang pengikut sesat



TELEVISYEN (TV) ternyata mampu menjadi saluran dan medium dakwah yang berprestij melalui media elektronik yang berkesan memandangkan hampir setiap rumah di negara ini memiliki kotak TV.

Sehubungan itu, usaha mewujudkan stesen TV Islam pertama di negara ini iaitu TV Al Hijrah adalah titik tolak kepada transformasi itu melalui program-program yang dipaparkan.

Salah satu program yang mendapat rating tertinggi di kalangan peminat TV Al Hijrah adalah Isu Akidah. Buktinya, rancangan ini mampu bertahan sehingga musim ke-12 sejak diperkenalkan pada 2011.

Isu Akidah adalah rancangan yang mengetengahkan isu-isu akidah sebagai teras pengisiannya hasil daripada penjenamaan semula program Misteri Alam Melayu.




Begitu pun, di sebalik pendedahan yang dilakukan, ia sebenarnya memberikan cabaran besar kepada produksi ini lebih-lebih lagi buat pengacaranya, Ustaz Mohd Shahrul Faizie Zaini atau lebih mesra disapa sebagai Ustaz Shahrul.

Mengendalikannya hampir 12 musim, Ustaz Shahrul berkata, terlalu banyak dugaan dan cabaran yang dihadapinya sepanjang mengendalikan program berkenaan.

"Kami pernah 'diserang' oleh pengikut sesat, Ajaran Qadiani, yang bertapak di Selayang. Mereka datang sendiri ke studio ekoran ketidakpuasan hati mereka lantaran kami menyebarkan mengenai penyelewengan agama dalam ajaran mereka.

"Mereka ajak kami berdialog, tetapi bagi saya apa gunanya untuk berdialog dengan mereka? Di akhirnya, mereka tetap akan menegakkan benang yang basah.

"Apa yang saya boleh lakukan adalah nasihat mereka agar merujuk kepada pihak yang berkenaan kerana tugas kami adalah untuk menjadi perantara dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat," katanya.

Tambahnya, biarpun saling diuji dengan pelbagai perkara, namun apa yang penting baginya adalah menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

Jelasnya lagi, segala yang berlaku adalah satu istiqamah juga pembakar semangat untuk meneruskan program ini.

"Kami sangat gembira apabila rancangan ini berupaya meninggalkan kesan yang sangat besar kepada masyarakat. Lagipun bukan perkara buruk saja yang berlaku, sebaliknya ada juga yang manisnya. Paling manis adalah apabila ada pelancong dari Jepun memeluk agama Islam setelah dia menonton Isu Akidah.

"Dia seterusnya menghubungi pihak kami dan berkongsi pengalamannya itu. Sehingga sekarang, secara peribadinya saya masih lagi berhubung dengannya," katanya yang juga terlibat sebagai moderator dalam pelbagai kursus motivasi dan kepimpinan.
Previous Post Next Post