Kris Dayanti kembali selepas empat tahun menyepi



JOHOR BAHRU – Diva Indonesia, Kris Dayanti (KD) akan kembali menghiburkan peminatnya di Malaysia pada Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada), di sini, 9 April depan.

KD yang ditemui media berkata, setelah empat tahun menyepikan diri dalam dunia hiburan kerana memberi tumpuan kepada keluarga, beliau kini begitu teruja untuk kembali beraksi di pentas nyanyian.

Menurutnya, meskipun berdepan dengan kehadiran ramai penyanyi baharu, namun KD tetap bersyukur kerana masih diterima peminat bukan sahaja di Indonesia, malah menjadi catatan penting dalam sejarah muziknya di Malaysia.

“Saya senang kembali ke Malaysia dengan penerimaan pencinta muzik di sini yang menjadi jambatan penting dalam karier muzik saya sejak 1998 saya hadir mempromosikan album menghitung hari.

“Meskipun agak lama tak buat album, tapi apabila saya kembali saya masih mendapat sokongan luar biasa walaupun banyak pendatang baru yang hits.. Itu adalah hadiah besar buat saya,” katanya pada Sidang Media Sempena Minggu Setiausaha di Hotel Puteri Pacific, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar The Puteri Pacific Johor Bahru, Hasni Hashim.

KD berkata, kehadiran pertama kali ke Johor bakal menampilkan persembahan istimewa terutama dalam mempelajari lagu zapin yang merupakan lagu tradisional rakyat negeri ini.

Menurutnya, persembahan itu terlalu berharga buatnya memandangkan ia konsert pertama selepas pelancaran album baharu bertajuk Ratu Cinta pada Oktober tahun lalu.

“Saya ingin setiap persembahan saya diingati peminat dan penampilan saya di pentas nyanyian sentiasa dirindui peminat saya.




“Saya akan menyampaikan lagu-lagu istimewa saya secara rambang termasuk sedang mempelajari lagu Johor bertajuk Zapin Ya Salam yang insya-ALLAH tidak akan mengecewakan peminat saya di sini,” katanya.

Pada Minggu Setiausaha itu nanti, sebanyak 120 meja disediakan dengan harga tiket dari RM250 hingga RM1,000 yang boleh didapati di Hotel Puteri Pacific Johor Bahru.

KD dalam pada itu berkata, beliau akan turut tidak melepaskan peluang untuk menjalankan tanggungjawabnya memilih pada Pilihan Raya Umum Republik itu, meskipun tarikh berkenaan merupakan tarikh persembahannya di Malaysia.

Menurutnya, pemimpin yang dipilih diharap tidak sekadar pandai menabur janji, sebaliknya bijak melaksanakannya demi masa depan rakyat Indonesia yang selama ini hidup dalam kepayahan.

“Indonesia sudah panjang sekali hidup dalam ‘moment’ menangis, sebagai anak bangsa saya mengharapkan seorang pemimpin yang boleh memperbaiki kehidupan rakyat di Indonesia.

“Walaupun ada tanggapan masyarakat miskin makin mengecil di Indonesia, tapi banyak lagi yang belum sekolah dan kelaparan.

“Saya harap program pemerintah akan dating tidak hanya menjadi sekadar janji-janji manis, sebaliknya dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Previous Post Next Post