Yuka bukan peniru



YUKA Kharisma, penyanyi yang berasal dari Indonesia ini bukanlah nama baharu dalam industri hiburan.

Sebelum ini dia pernah tampil dengan single berjudul Kita Harus Percaya dan Ku Bersedia ciptaan komposer Pay & Dewiq. Tetapi, percubaan pertama Yuka itu tidak mampu melonjakkan namanya seperti diharapkan.

Tidak pernah kenal erti putus asa, Yuka kini tampil lagi dengan single terkini berjudul Dengan Tiada Luka ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Shah Shamsiri.

Bagi Yuka, dia juga kecewa kerana lagu pertama dendangannya sebelum itu tidak mendapat sambutan apatah lagi jarang dimainkan di stesen radio.

“Memang kecewa kerana itu buah tangan pertama saya untuk menarik pendengar tetapi apakan daya tidak mendapat sambutan. Tidak mengapa, itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berada dalam industri muzik di sini," jelasnya.

Di kala Yuka masih bersemangat untuk meneruskan perjuangannya, ada yang mempertikai kehadirannya dalam industri muzik tempatan.

Mulut-mulut tidak berpuas hati mempertikaikan Yuka yang tidak popular di Indonesia, tetapi sudah berani mahu memasarkan lagu di Malaysia.

Apa lebihnya dia? Apa kurangnya penyanyi Malaysia sendiri sehingga artis seberang juga diberi peluang besar?

Tidak mudah melatah dengan apa yang diperkata orang, jelas Yuka, bakatnya mula disedari ketika menyertai rancangan realiti Indonesian Idol sekitar 2008.

“Masa itu, saya tidak mendapat tempat pertama, sebaliknya hanya berada di tempat kelima.Selepas itu, saya telah dipanggil oleh penyanyi Titi DJ, untuk menyertai syarikat pengurusan kelolaannya.

“Namun, selepas tiga tahun, saya kemudian beralih kepada pengurusan terbaharu iaitu Mentari Management Sdn. Bhd. yang berpengkalan di Malaysia," katanya.

Atas faktor itu, dia mula memasarkan dirinya di pasaran muzik tempatan dan mula mengatur langkah panjang.

“Setiap lagu saya akan dipromosikan di Malaysia dahulu kemudian baharu ke Indonesia. Jadi, saya rasa tidak salah untuk berbuat demikian. Lagipun, industri muzik antara kedua-dua negara ini serumpun. Jadi, apa salahnya saya mencuba untuk berada di industri muzik di sini," katanya tenang.

Apa yang diharapkan Yuka menerusi single kali ini ialah supaya lebih ramai yang mengenali dirinya sebagai penyanyi dan menghargai bakat yang dimilik.

Antara Bunga Citra Lestari dan Anggun

Sebenarnya, bukan tidak ada langsung yang mengenali Yuka sebelum ini. Jika tidak, masakan ada yang berani membuat perbandingan suaranya dengan dua artis popular Indonesia. Perlu anda tahu, bukan sedikit yang memperkatakan bahawa suara Yuka sebenarnya mirip kepada penyanyi, Bunga Citra Lestari dan adakalanya persis Anggun Cipta Sasmi.

“Sebenarnya, saya tidak sedikit pun terkesan dengan perbandingan itu. Sebaliknya, saya meletakkan penilaian itu kepada peminat. Memang sejujurnya, saya tidak pernah meniru gaya penyanyi lain dan sentiasa menjadi diri sendiri.

“Mungkin sebab orang tidak kenal nama saya lagi ketika ini. Itu yang membuatkan orang tersilap dan membandingkan saya dengan dua penyanyi yang sudah hebat itu," jelas Yuka yang sedikit sebanyak rasa beruntung kerana dibandingkan dengan dua penyanyi hebat yang diminatinya itu.




Buat masa ini Yuka masih lagi dalam fasa untuk memperkenalkan dirinya sebagai seorang penyanyi dan dia tidak kisah dibandingkan dengan senior yang lain.

“Saya akan lakukan secara beransur-ansur dan tidak mahu terburu-buru. Biar orang kenal saya dahulu, baharu saya akan tampilkan sisi sebenarnya genre muzik saya," katanya.

Bagi Yuka, elemen jaz adalah kekuatannya dalam bidang muzik dan sedang dalam proses untuk menyiapkan album dengan sentuhan jaz sekitar tahun ini.

“Album yang akan diterbitkan pada tahun ini nanti sedikit sebanyak akan menampilkan sisi diri saya yang sebenar. Dalam album itu, akan dimuatkan antaranya lagu-lagu berirama jaz, R&B, soul dan sedikit irama tradisional," jelasnya.
Previous Post Next Post