Marion Caunter dedah harta


TIADA apa yang didambakan lagi oleh Marion melainkan keluarga yang bahagia.

ALHAMDULLILAH, itu merupakan jawapan yang diberikan wanita cantik ini apabila dia dikatakan mempunyai kehidupan impian ramai wanita. Tidak menolak dia bertuah dari pelbagai aspek, namun itu bukan bermakna kehidupan indah miliknya ini tidak pernah dilanda badai.

Menjelaskan kemewahan yang dimiliki ini hanya bonus, namun dia tidak menafikan nikmat hidupnya kini hadir dari keluarga tercinta yang dibinanya dengan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasaruddin.

Jelas terpancar wajah bangga seorang ibu, menurut Marion Rose Caunter Abdullah, 34, di kala umur anak pertamanya Leia Rose berumur 2 tahun, dia kini sudah dihadiahkan dengan kehadiran anugerah kedua. Lana Rose yang berusia 3 bulan kini merupakan tugasan baharu buat Marion dan mengakui bukan mudah untuk bertindak sebagai seorang ibu dengan jadual yang cukup padat.

Kehadiran suami yang cukup memahami dilihat menjadi jawapan, bagaimana dia menguruskan kehidupannya kini. Tidak menolak untuk menambah seorang lagi anak, harapan Marion jika hasrat ini diperkenankan Allah, dia berharap untuk mempunyai seorang anak lelaki pula.




“ Untuk dua bulan pertama Leia sangat senang dengan kehadiran adiknya Lana, cuma kebelakangan ini dia sudah menunjukkan rasa cemburunya, mungkin perkara biasa.

“Kalau boleh saya dan suami memang mahu kekalkan nama Rose di setiap anak perempuan kami. Buat masa ini kalau boleh saya mahu menambah seorang lagi anak, siapa tahu anak ketiga lelaki pula," katanya ceria.

Bercerita sedikit mengenai cara dia membesarkan anaknya. Marion menambah, buat masa ini dia sedaya upaya memberi sepenuh perhatian buat kedua buah hatinya itu. Mengakui agak sukar, namun kelebihan mempunyai pembantu dilihat sedikit memudahkan urusan hariannya.

“Memang sukar, dengan keadaan Leia yang sedikit cerewet kini saya rasakan masa itu lebih tertumpu buat Leia daripada Lana. Mujur mempunyai pembantu, yang dapat mengurangkan sedikit bebanan itu.

“Ikutkan saya agak berhati-hati dengan diet Leia, memang sehingga kini saya tidak benarkan anak saya makan sebarang makanan segera. Jika saya tidak makan maka anak-anak saya juga tidak boleh makan. Bukan apa bila kita dedahkan mereka seawal ini, takut mereka akan minta lagi," katanya.

Mempunyai suami yang sangat memahami rasa cinta terhadap kerjayanya kini. Marion memberitahu sikap ringan tulang ayah kepada dua anaknya itu, banyak membantu. Tidak menolak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia pengacaraan suatu hari nanti, tetapi menurut Marion waktunya bukan sekarang.

“Suami saya sangat membantu, contohnya kalau saya bekerja dia akan pastikan sampai awal ke rumah bagi menguruskan Leia. Mempunyai dua anak kini memerlukan kami berdua saling memahami.

“Jujurnya memang saya ada terfikir untuk bersara sahaja dari dunia pengacaraan, malah setiap tahun saya fikirkan. Tetapi rasa cinta itu melebihi segala-galanya. Mungkin suatu hari nanti bila hati sudah tidak ke situ lagi, saya akan berhenti," katanya jujur.

Saya memang bertuah

Tidak rasa tergugat untuk sentiasa berkongsi secebis paparan kehidupannya di laman Instagram, bagi Marion buakan niatnya untuk melihatkan kemewahan yang dimilikinya. Percaya ada yang lebih penting dari wang, Marion dengan jelas mengakui dia sangat bertuah.

“Saya memang bertuah, tetapi semua orang juga mempunyai perjalanan hidup yang berbeza.

“Saya anggap kemewahan itu hanya bonus, keberkatan hidup saya lebih kepada kesihatan yang baik, anak-anak yang sihat serta suami yang penyayang," katanya.

Memegang status isteri kepada seorang ahli korporat yang berjaya juga menambahkan lagi kawalan ketat untuk emosinya. Tidak menolak turut didesak dengan pelbagai penipuan di luar kawasan selamat, Marion punyai cara tersendiri.

“Kami saling mempercayai antara satu sama lain, itu yang penting buat kami berdua.

“Tetapi apa yang membuat saya terkesan apabila saya tahu mereka di luar sana membuat cerita bohong. Tetapi itulah yang perlu dibayar kami untuk berada dalam keadaan ini," katanya.

Ralit bercerita soal keluarga, Marion kini juga sedang giat memperkenalkan dirinya dalam dunia perniagaan. Membuka sebuah salun kecantikan, menurut pengacara E! News Asia ini ada sebab mengapa perniagaan ini menjadi pilihannya.

“Saya suka rambut, saya suka fesyen. Sebab itu saya membuka salun ini.

“Sebenarnya salun ini tidak hanya menyasarkan mereka yang kaya sahaja, sesiapa sahaja layak untuk mendapatkan khidmat di salun saya. Soalnya Hairplay memberi perkhidmatan yang baik untuk semua," katanya.
Previous Post Next Post