Ajai & Soo Wincci Nyanyi Lagu Coca-Cola Untuk Piala Dunia



Tiga penyanyi terkenal tanah air, Soo Wincci, Ajai dan Mista G telah bergabung tenaga merealisasikan lagu tema produk minuman Cola-Cola yang dibuat khas untuk kempen Piala Dunia 2014 di Brazil berjudul The World Is Ours.

Bukan itu sahaja, mereka turut berpadu vokal dengan finalis rancangan realiti X-Factor, David Correy dalam mendendangkan lagu tersebut agar kedengaran lebih variasi yang bertaraf antarabangsa.

The World is Ours memperlihatkan vokal pop David Correy yang bertenaga dan bernada tinggi dengan adunan ritma samba, baile funk, hip-hop dan technobraga dalam suatu irama unik ala Brazil kepada peminat bola sepak serta pencinta muzik di seluruh dunia.

Pengurus Kumpulan Komunikasi Pemasaran Bersepadu Serantau dan Pengaktifan Coca-Cola di Malaysia, Singapura dan Brunei, Lim Yvette dalam kenyataannya berkata, lagu itu digubah terutama bagi menarik perhatian golongan muda untuk menghagai muzik asli kelahiran Brazil.




"Kebanyakan orang di luar Brazil, terutamanya golongan muda, tidak berapa kenal akan muzik asli negara itu oleh sebab ia tidak termasuk dalam aliran utama kontemporari.

“Kini, dengan gandingan suara artis tempatan dalam lagu tema yang bermakna ini, mesej kesatuan pelbagai budaya dapat dimantapkan lagi melalui kejohanan Piala Dunia tahun ini," katanya.

Jelas Lim Yvette lagi, menerusi lagu gabungan sejagat berkenaan, peminat setia Piala Dunia disarankan untuk ‘Makan Bola, Tidur Bola dan Minum Coca-Cola’ sambil menikmati kehebatan lagu The World Is Ours.

David Correy berasal daripada kawasan penempatan di Brazil yang agak mundur. Nasibnya kian berubah cerah apabila dipilih sebagai finalis X-Factor dan seterusnya dilantik untuk menyampaikan lagu tema Coca-Cola dalam kempen Piala Dunia.

Dia cukup teruja dengan pelantikannya sebagai duta lagu tema Coca-Cola dan tawaran untuk bekerjasama dengan Coca-Cola adalah satu penghormatan yang luar biasa dan dapat menjunjung wawasannya.
Previous Post Next Post