Ukhuwah 500,000 malam Selawat Perdana



PENYANYI Adam (tiga dari kiri) dilihat turut serta mengalunkan selawat dalam Selawat Perdana Malam Cinta Allah & Rasul 1435.

ACARA Selawat Perdana Malam Cinta Allah & Rasul 1435 yang buat julung-julung kalinya dianjurkan pada Jumaat lalu mendapat sambutan cukup menggalakkan.

Berlangsung di Dataran Masjid Putra, Putrajaya, sekitar 500,000 umat Islam hadir mengalunkan selawat dan zikir yang dipimpin oleh Habib Syech Abdul Qodir Asseqaf dan Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.

Lebih menarik, kelihatan juga beberapa orang artis tempatan yang turut meluangkan masa untuk sama-sama memeriahkan acara berkenaan seperti Johan As'ari dan Fizz Fairuz.




Bertemu dengan Johan yang tampil dengan jubah rona putih, pelakon itu menyatakan, dia begitu teruja untuk hadir dalam acara berbentuk keagamaan seperti Selawat Perdana.

“Sebenarnya sepatutnya malam ini saya bertolak ke Australia untuk bercuti bersama keluarga tetapi ia telah ditangguhkan semata-mata kerana keinginan saya hadir pada acara ini.

“Lagipun tidak selalu acara keagamaan sebegini dianjurkan dan sudah tentu ia merupakan satu kerugian jika tidak hadir,” ujarnya yang hanya mengambil penerbangan ke Australia pada keesokan malamnya.

Luah Johan, acara berbentuk kerohanian seperti Selawat Perdana ini sepatutnya diadakan secara lebih kerap kerana ia dilihat sebagai satu langkah untuk mendekatkan diri dengan Allah serta mampu menyatupadukan umat Islam.

“Saya juga gembira melihat kehadiran ramai artis pada acara ini, biarpun diketahui jadual mereka sentiasa padat dengan aktiviti seni. Sebagai ikon, kita seharusnya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada peminat.


TERUJA... Seramai 500,000 umat Islam membanjiri Dataran Masjid Putra, Putrajaya, Jumaat lalu untuk sama-sama memeriahkan Selawat Perdana Malam Cinta Allah & Rasul 1435.

“Jika selama ini kita selalu dapat hadir pada acara hiburan yang dianjurkan, jadi apa salahnya dengan kelapangan masa yang ada digunakan sebaiknya untuk hadir pada acara agama pula,” ujarnya.

Sementara itu, Fizz Fairuz yang turut ditemui berkata, dia sudah berada di Putrajaya sebelum waktu asar dan berpeluang untuk melakukan solat waktu secara berjemaah di Masjid Putra buat kali pertama.

Ujarnya, dia meminta supaya kehadirannya bersama beberapa rakan artis lain tidak dianggap sebagai sengaja menunjuk-nunjuk, sebaliknya mereka hadir dengan niat yang ikhlas.

“Saya memang sangat teruja menyertai acara ini, malah turut terbabit dengan rangka promosi yang dilakukan. Sudah terlalu kerap dengan urusan dunia, apa salahnya saya luangkan sedikit masa untuk bersama umat Islam lain berselawat dan memuji kebesaran Allah dan Rasulullah.

“Secara jujurnya saya ingat acara sebegini kurang mendapat perhatian tetapi setelah menyaksikan sendiri di depan mata, saya berasa sangat kagum kerana ia mendapat sambutan hangat yang sangat luar biasa dan berharap agar ia dapat dijadikan acara tahunan,” jelasnya.

600 sukarelawan

Pengarah Publisiti & Promosi Sekretariat Perdana, Izelan Basar berkata, pihaknya gembira dengan sambutan hangat yang diterima memandangkan ia kali pertama dianjurkan.

Ujarnya, segala urusan penganjuran acara berkenaan berjalan dengan lancar, malah segala kerja yang dilakukan untuk menjayakannya dibuat secara sukarela.

“Seramai 600 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh Malaysia telah membantu pihak Sekretariat Perdana selaku penganjur melancarkan perjalanan acara ini.

“Selain kehadiran yang mencecah sehingga 500,000 umat Islam, ia turut disiarkan secara langsung di tiga saluran televisyen iaitu RTM 1, Oasis (106) dan TV Alhijrah,” jelasnya.

Menurut Izelan, biarpun cuaca hujan pada sebelah petang, pihaknya bersyukur apabila cuaca berada dalam keadaan sangat baik sepanjang acara berlangsung.

Malah, ia langsung tidak menjadi penghalang buat umat Islam membanjiri Dataran Masjid Putra sejak solat asar semata-mata tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir ke acara berkenaan.

“Selapas di Putrajaya, kami merancang untuk menganjurkannya di setiap negeri pula. Berkemungkinan besar ia akan dimulakan di negeri Johor dan Pahang,” jelasnya.
Previous Post Next Post