ABDUL Zackery sering bertemu dengan isteri dan anak-anaknya walaupun kini tidak tinggal sebumbung.
SEKITAR Disember lalu, Zahnita Wilson dikatakan telah memilih untuk menamatkan hubungan suami isteri yang sudah dibina lebih lapan tahun bersama Abdul Zackery Ghouse Abdul Ghafoor, 36.
Model dan juga pelakon berusia 29 tahun itu berkata, bercerai bukan bermakna berakhir sebuah impian, bagaimanapun itulah permulaan sebuah harapan baharu.
Pilihan itu katanya adalah untuk masa depannya bersama dua orang anak Zahrafeena, 7, dan Zasharayna, 2.
Setelah lebih kurang lima bulan berlalu, kisah penceraian itu kini dikatakan sedang diperbetulkan keadaannya daripada menjadi semakin parah. Ini merupakan kali kedua Zahnita cuba memperbetulkan keadaan rumah tangga apabila dia mengakui bahawa rumah tangganya pernah bergolak lewat 2011.
Ketika ditemui dalam satu majlis pertunjukan fesyen di Bangsar baru-baru ini, Zahnita Wilson atau nama lengkapnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson sempat menjawab khabar angin mengatakan perceraian yang difailkan olehnya pada 18 November lalu tidak menjadi. Ikuti luahan luahan rasa hati Zahnita bersama Hits.
Hits: Adakah benar dakwaan awak tidak jadi bercerai?
Zahnita: Ya. Memang betul, saya dan suami tidak jadi cerai. Mungkin kami masih lagi ditakdirkan untuk hidup bersama. Apa-apa pun yang berlaku, kami mahu kekal sebagai sebuah keluarga.
Apakah yang membuatkan keputusan berbaik semula dibuat?
Pada mulanya, bukan mudah untuk membuat keputusan ini. Kami buat semua ini demi anak-anak. Itulah penguat sebenar untuk kami menjalani proses berbaik semula. Ternyata usaha kami untuk memperbaiki hubungan kali ini berjaya. Saya tidak mahu anak-anak saya terluka dan kami berbaik semula untuk menggembirakan mereka.
Sejak bila perkara itu dibincangkan?
Rasanya setiap hari kami membincangkan untuk berbaik semula. Setelah berbincang bersama, kami fikirkan adalah lebih baik untuk tidak bercerai sebaliknya kekal sebagai suami isteri.
Suami selalu berjumpa dengan awak dan anak-anak?
Walaupun tidak lagi tinggal sebumbung tetapi kami kerap bertemu terutama di hujung minggu. Kalau tidak pun, suami akan datang ke rumah setiap hari. Dia (suami) masih lagi ingat tanggungjawabnya kepada keluarga.
Keluarga dan anak-anak sudah dimaklumkan tentang perkara itu?
Maaf. Saya tidak mahu menceritakan lebih lanjut mengenai perkara ini. Sekarang kami masih lagi dalam proses berbaik semula. Jadi, adalah baik kalau doakan kebahagiaan kami.
Apakah projek terbaharu awak dalam bidang seni?
Saya sedang menyiapkan skrip yang menceritakan tentang cerita seorang penyiasat. Buat masa ini, saya masih belum boleh bercerita lanjut tentang skrip itu kerana ia masih lagi dalam proses untuk disiapkan. Segala perbincangan dengan syarikat produksi juga masih belum dijalankan kerana saya mahu fokus dalam menyiapkan skrip ini dahulu.
Apa harapan awak dalam bidang seni?
Saya memang mahu kekal dalam industri seni. Sebab itu saya buat skrip sebab saya mahu menyumbang dalam industri seni. Bagi saya senang, jangan mudah putus asa. Sekiranya tidak ada orang yang mahu ambil saya berlakon, saya tidak akan putus asa. Saya sendiri perlu buat sesuatu untuk kekal dalam industri seni. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk kekal dalam industri.