Mak Mah kahwin kali keempat



Ruminah Sedik (Mak Mah) dan suaminya, Al Fatah Rahim bersama Adlin Aman Ramlie serta menantunya, pelakon Emilda Rosmila di rumah mereka di Taman Berkat, Pekan Meru, Klang, Selangor, semalam. - MINGGUAN/Mohd. shahrani saibi

KLANG 17 Mei - Usia emas ter­nyata bukan penghalang buat pelakon veteran, Ruminah Sedik, 68, atau lebih dikenali sebagai Mak Mah untuk melangsungkan perkahwinan bagi kali keempat dengan pasangannya, Al Fatah Rahim, 70.

Dengan sekali lafaz akad nikah, Ruminah sah bergelar isteri kepada peneroka Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan itu.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Masjid As-Syarif, Mohd. Jani Salman di rumah abang ipar Ruminah di Taman Berkat, Meru di sini pada kira-kira pukul 9.20 pagi hari ini.






Ruminah menerima mas kahwin sebanyak RM300 serta tujuh dulang hantaran dan membalas tujuh dulang juga kepada pasa­ngannya.

Dia ketika ditemui pemberita selepas selesai akad nikah melahirkan rasa syukur kerana majlis tersebut berjalan lancar.

Ditanya tentang rancangan berbulan madu, Ruminah dan Al Fatah berkata, mereka memilih untuk mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci iaitu lokasi kedua-duanya bertemu buat kali pertama semasa mengerjakan umrah di Mekah pada Mac lalu.

Ruminah sebelum ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali termasuk dengan pelakon Allahyarham A.R. Tompel.

Hasil daripada tiga perkahwinannya itu, Ruminah dikurniakan enam anak termasuk pelakon Adlin Aman Ramlie serta 20 cucu.

Bagi Al Fatah pula, ini merupakan perkahwinannya yang ketiga dan mempunyai 20 anak serta 30 cucu.
Previous Post Next Post