Pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri 'Dunia Baru', Almy Nadia mendoakan perkara baik-baik sahaja kepada segelintir pihak di luar sana di atas kata-kata nakal mereka yang memandang sinis hubungannya kekasihnya, Fizz Fairuz. Walaupun hubungan mereka dilanda badai beberapa kali, namun Almy dan Fizz kini menghitung hari untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri dalam sedikit masa lagi.
"Saya hanya dapat mendoakan supaya mereka bahagia dengan kata-kata mereka. Saya cuma dapat mendoakan yang baik-baik sahaja, saya tak akan membalas dan mendoakan perkara keji atau buruk semula. Saya tak akan marah dan melenting. Ini semua merupakan ketentuan Allah," ujar Almy mengulas tentang tindakan sesetengah pihak memberikan kata-kata negatif dan sinis agar mereka berdua tidak meneruskan perkahwinan.
Bercakap mengenai persiapan perkahwinan, Almy melakukan persiapan secara berperingkat-peringkat kerana dia kini sedang menjalani penggambaran drama berjudul 'Janji Jasmina' untuk siaran TV3, bergandingan dengan Eira Syazira dan Norman Hakim. Almy juga menjelaskan akan ada beberapa pihak yang akan menaja persiapan perkahwinan mereka. Semua persiapan dan persediaan dilakukan sedikit demi sedikit.
Dalam pada itu, Almy juga sempat mengulas mengenai sesetengah produksi yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya dalam soal bayaran, Almy mendedahkan perkara ini masih terjadi.
"Ya, saya akui perkara ini masih lagi terjadi. Sekarang pun ramai pelakon wanita baru yang muncul. Mereka ada rupa, namun ada antara mereka popular dengan kontroversi, mutu lakonan juga agak 'kayu' dan dibayar dalam kadar murah. Saya bukanlah mahu letak diri saya seperti pelakon senior, saya juga masih belajar, namun perkara ini kurang baik untuk industri hiburan kita. Mahu halang perkara ini pun tak boleh kerana hampir setiap hari, ada sahaja muka-muka baru memeriahkan industri hiburan kita," ujar Almy.
"Bercakap soal dakwaan yang mengatakan saya bersikap 'demand', saya rasakan orang yang tidak biasa bekerja dengan saya akan anggap sedemikian rupa. Sejujurnya, saya melakukan kerja dengan ikhlas, semuanya untuk mencari rezeki demi keluarga saya. Bekerja dalam industri ini sukar, tapi sekarang boleh dilihat, ada sesetengah pendatang baru menggunakan pendekatan kontroversi untuk meraih nama," ujar Almy yang tidak bercadang meninggalkan dunia lakonan selepas bergelar isteri.