Penantian selama empat tahun berakhir kini apabila filem aksi pertama arahan Mamat Khalid, Apokalips X akan ditayangkan pada 3 April ini.
Biarpun lama terperuk, ia tidak mematahkan semangat mahupun keterujaan barisan pelakonnya, Farid Kamil, Peter Davis, Jehan Miskin, Iqram Dinzly, Mira Liyana dan Adam AF. Rata-rata memberi persembahan terbaik mereka dalam filem ini.
Bertemu dua pelakonnya, Farid dan Peter yang berbeza latar dan pengalaman, banyak perkara dikongsi bersama.
Bagi Farid yang memegang watak Paduka X, keterujaan seperti yang dirasai empat tahun lalu tetap sama kerana ini antara naskhah yang sungguh bermakna baginya kerana genre, jalan cerita dan keunikan pembikinan filem.
“Penantian empat tahun adalah durasi yang lama bagi sebuah filem di Malaysia, tetapi keterujaannya tetap sama seperti dulu. Paling mengujakan ialah melihat hasilnya selepas filem ini menjalani 70 peratus imej janaan komputer (CGI).
“Saya harap ia menjadi perkara baru bagi peminat filem tempatan lantas menjadi fenomena kerana walaupun ia menjalani penggambaran lebih empat tahun lalu, ia masih relevan dengan masa kini,” katanya.
Farid akui melihat pendekatan dilakukan Mamat Khalid sangat berbeza dengan filem pertama lakonannya bersama Mamat yakni Estet.
Katanya, untuk Apokalips X, Mamat sangat serius dan susah didekati pelakon berbanding pengarahan dalam genre komedi lain, di mana Mamat dan pelakon lebih mesra.
Pun begitu, tidak bermakna bekerja dengan Mamat adalah cabaran utama bagi Farid dan barisan pelakon lain kerana mereka tahu pengarah itu mahu menghasilkan filem aksi pertama terbaik pernah dihasilkannya.
“Ketika penggambaran, saya tidak menerima arahan terus daripada Mamat, sebaliknya semua melalui monitor dan ‘walkie-talkie’.
“Ini kali pertama saya berlakon menggunakan layar hijau (green screen) dan ia satu proses pembelajaran berguna untuk saya,” katanya.
Mengenai wataknya, Farid akui sedari kecil mengidam beraksi menggunakan pedang samurai (ninja). Apabila karakter Paduka X memerlukan Farid menggunakan pedang samurai, dia menjalani latihan intensif bersama pakar senjata itu.
Selain pengalaman beraksi dengan pedang samurai, Farid juga berdepan risiko kecederaan maksimum kerana setiap lagak aksi bertarung adalah dalam bentuk mentah (raw), malah pedang digunakan juga adalah asli.
“Ketika aksi bertarung dengan Jehan Miskin, kami mengalami kecederaan di beberapa bahagian. Malah, saya berdarah di kepala kerana tetakan pedang itu terkena kepala secara tidak sengaja.
“Silap perhitungan pada koreografi disediakan, ia bukan lagi salah pengarah tetapi pelakon kerana tidak fokus pada arahan diberi,” katanya berkongsi kisah menarik ketika penggambaran.
Peter dicabar bahasa Arab
Bagi pelakon campuran Inggeris dan Sabah, Peter Davis, berlakon dalam filem menggunakan lebih 70 peratus bahasa Malaysia adalah cabaran utama baginya.
Apatah lagi Peter menggunakan bahasa Inggeris slanga British pekat sebagai bahasa utama dalam komunikasinya setiap hari.
“Ketika mendapat tawaran, saya teruja kerana ini peluang untuk mencuba sesuatu yang baru dalam kerjaya seni tempatan. Apabila mendapat skrip, saya terus membuat kajian dan cuba mencari pendekatan terbaik untuk watak Sri Gala.
“Malangnya apabila tiba di set, banyak perubahan dilakukan pengarah dan saya terkejut serta sedikit marah.
“Namun sebagai pelakon, saya kena terima setiap perubahan dilakukan kerana pengarah tahu apa yang dia mahu.
“Momen tidak dapat dilupakan apabila pengarah bertanya, bolehkah saya bercakap bahasa Arab. Saya kata tidak. Masakan saya mampu melakukannya dalam masa sehari, apatah lagi Bahasa Malaysia yang saya perlu tutur pada waktu itu saja cukup mencabar,” katanya ketawa.
Walaupun aktif bertarung di pentas MMA (Seni Pertahanan Diri Campur) dan berlakon sebelum ini, Peter akui Apokalips X adalah filem aksi pertama lakonannya.
Peter rasa bertuah kerana dapat beraksi bersama barisan pelakon yang dikategorikan hebat dan dikenali berbanding dirinya yang boleh dianggap baru dalam dunia lakonan tempatan.
Filem Apokalips X adalah genre filem ‘manga’ yang pertama seumpamanya di Malaysia yang sebelum ini popular di Hollywood dan Jepun.
Kisah berlatar masa 2047 yang diilham berdasarkan populariti komik manga Jepun, Zero Crow mengambil masa sebulan penggambaran dan menelan kos RM1.5 juta.
Petikan Didalam Filem Apokalips X
Filem Apokalips X : Official Trailer Teaser ( 03 April 2014 )