Fobia Malam Pertama Bukan Kisah Seks



Kalau dilihat saja pada tajuknya, pasti ramai penonton yang akan memberi tanggapan sinikal terhadap filem arahan Murali Abdullah ini. Diklasifikasikan sebagai 18 serta menampilkan aktres simbol seks dari Indonesia, Julia Perez, sudah cukup untuk membuatkan penonton mengaitkan filem Fobia Malam Pertama (FMP) sebagai sebuah filem berahi, lucah atau seangkatan dengannya.

Namun, FMP merupakan karya yang cukup dengan elemen positif dan paparan berguna. Disampaikan dalam bentuk santai serta diselitkan unsur komedi, mesej yang cuba ditampilkan berjaya dikupas dengan baik oleh pengarah. Walaupun enam babak telah dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), namun ia tidak sedikit pun menjejaskan jalan cerita filem ini.



Gandingan pertama Azad Jasmin, Shafnida Syuhaimi dan Julia Perez juga harus dipuji. Mereka tidak nampak kekok dan berjaya membawa watak masing-masing dengan baik. Biarpun Shafnida baru pertama kali berlakon, namun lakonannya tidak kaku. Sudah pasti bukan mudah untuk melakonkan babak sebagai suami isteri dengan abang ipar sendiri, namun Shafnida tidak kekok dan nampak keserasian antara mereka dalam filem ini.

Namun disebabkan dia mempunyai rupa paras, gaya dan lenggok percakapan yang hampir sama dengan kakaknya, membuatkan GUA kadang-kadang merasakan watak Zaty itu adalah Eira Syazira.Apapun, filem ‘Fobia Malam Pertama’ memang tidak rugi untuk ditonton lebih-lebih lagi dengan skrip serta aksi spontan yang ditampilkan oleh Julia Perez.



SINOPSIS:

FMP mengisahkan tentang seorang gadis bernama Zaty yang sangat fobia untuk bercinta. Ini kerana, apabila bercinta, dia perlu berkahwin dan seterusnya melahirkan anak dan perkara tersebut membuatkannya takut untuk mencintai lelaki. Zaty percaya jika dia melahirkan anak, dia akan mati sama seperti moyang, nenek dan ibunya dek kerana sumpahan saka terhadap keluarganya.

Di kolej tempat Zaty belajar, ada seorang jejaka bernama Asraf yang turut mempunyai kekasih di kolej yang sama bernama Maria. Bapa Asraf mahu anaknya mencari isteri yang masih dara dan Asraf pasti bapanya tidak akan menyukai Maria kerana kehidupannya yang sosial. Kebetulan, Asraf mendapat tahu Zaty masih dara dan cuba memikatnya.



Pada masa sama, Karim turut meminati Zaty dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memikatnya. Ketika menolak cinta Karim, jejaka tersebut secara tidak sengaja dilanggar lalu meninggal dunia sekaligus membuatkan Zaty rasa bersalah. Asraf muncul ketika Zaty dalam kemurungan dan akhirnya Zaty bersetuju untuk berkahwin dengan Asraf walaupun dirinya fobia untuk berkahwin.

Ketika malam pertama, Zaty melarikan diri ke rumah rakannya, Punitha kerana fobia dengan malam pertama. Bagi mengelak untuk mendampingi suaminya, Zaty memberi ubat melemahkan syahwat yang dibekalkan Punitha. Disebabkan tidak mahu menyeksa Zaty, Asraf mahu menceraikan Zaty. Namun, Zaty meminta Asraf untuk memberi peluang kepadanya.

Tidak lama kemudian, Zaty disahkan mengandung dan perkara tersebut membuatkannya fobia. Adakah Zaty berjaya melahirkan anaknya atau perkara yang sama akan berlaku kepadanya akibat sumpahan saka keluarganya. Sama-sama kita menonton filem ‘Fobia Malam Pertama’ yang sudah mula ditayangkan sejak 13 Mac lalu.



FILEM:

Fobia Malam Pertama Bukan Karya Lucah

DIBINTANGI OLEH:

Azad Jasmin, Shafnida Syuhaimi, Julia Perez, Faizal Hussein, Zarina Zainuddin, Razali Hussain, Khairil Anwar dan ramai lagi.

GENRE:

Komedi

RATING:

3/5

INFO:

Filem terbitan Nusantara Seni Karya ini dalam perancangan untuk menembusi pasaran Kemboja dan Indonesia tidak lama lagi.

JOM SAKSIKAN SEDIKIT TRAILER:
Previous Post Next Post