Wan Sharmila & Sari Yanti berkongsi raya


SARI YANTI dan Wan Sharmila merupakan sahabat baik yang mahu menikmati Syawal dalam kesederhanaan.

SEWAKTU mengaturkan sesi fotografi yang menampilkan pelakon Wan Sharmila dan Sari Yanti sebagai penghias muka hadapan sisipan Hab Hib edisi khas hari raya, cerita yang sepatutnya ditulis adalah berkisar tentang persiapan dua sahabat karib itu dalam menyambut kedatangan lebaran.

Ditemani gelak ketawa dan rasa teruja, masing-masing tidak lokek berkongsi tentang perancangan Aidilfitri dan momen-momen bahagia yang segar dalam ingatan setiap kali tibanya Syawal.

Bagi Wan Sharmila, mendulukan ibu, Raidah Abd. Aziz, 64, merupakan keutamaannya dalam menyediakan persiapan sempena hari raya.

Segala kelengkapan seperti kuih raya, pakaian dan perkakasan rumah telah disediakan terlebih dulu memandangkan ibunya masih tinggal di Johor Bahru, Johor.

Besar harapannya, si ibu dapat menyambut kedatangan hari raya dengan selesa dan ceria selain ditemani dengan kehadiran anak-anak di sisi kelak.

Namun, perancangan manusia sememangnya tidak sama dengan apa yang telah ditentukan oleh takdir. Ibu kepada Wan Sharmila telah kembali ke Rahmahtullah, 11 hari sebelum umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitiri.


Jiwa luluh

“Macam dalam drama,” ungkap Wan Sharmila atau nama lengkapnya Wan Sharmila Wan Muhamed ringkas memulakan bicara.

Perit menelan realiti, wanita berusia 34 tahun itu meneruskan perbualan mengenai pemergian ibunya pada 5 Julai lalu.

“Ibu saya memang tidak begitu sihat. Dia ada penyakit asma dan darah tinggi. Sewaktu saya pulang ke kampung pada awal puasa lalu, ibu sudah menunjukkan tanda-tanda kurang sihat.

“Walaupun nampak penat, ibu masih gagah menyiapkan kuih raya kegemaran kami sekeluarga iaitu kuih tart dan semperit. Tidak sangka pula itu merupakan momen terakhir membantu ibu membuat kuih raya,” jelas Wan Sharmila.

Tanggal 4 Julai, pelakon drama Sindarela itu mendapat perkhabaran bahawa ibunya telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru akibat kesukaran bernafas. Ketika itu, dia sedang rancak menjayakan penggambaran drama Janji Hati di Sungai Besar, Kuala Selangor, Selangor.

Sempat menjenguk keadaan ibunya di hospital, Wan Sharmila reda apabila doktor memberitahu bahawa ratu hatinya itu tidak mempunyai peluang untuk meneruskan kehidupan.

“Walaupun keadaan ibu semakin tenat, doktor beri peluang untuk kami sekeluarga bermalam dengannya di wad. Waktu itu, saya banyak bersembang dengannya dan kadangkala, dia mengangguk memberikan respon.

“Tepat pukul 6.30 pagi keesokan harinya, doktor mencabut mesin bantuan pernafasan yang dipasang pada ibu dan kemudian kami diberitahu bahawa dia telah pergi.

“Saat itu, saya berasa seperti tidak berpijak di bumi yang nyata. Namun, saya reda, kerana Allah menjemput ibu dalam keadaan yang tenang,” katanya sambil memberitahu, ibunya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Kebun Teh, Johor Bahru.

Ditanya mengenai lebaran tahun ini, Wan Sharmila mengakui tidak pasti sama ada mahu menyambut kedatangan hari raya atau tidak.

“Perasaan teruja yang dahulunya membuak-buak setiap kali mendengar lagu raya kini telah bertukar hambar.

“Namun, apabila mengingat kembali nasihat yang sering diberikan oleh ibu, saya menjadi semakin kuat. Sejujurnya, saya seperti terasa ibu berada dekat walaupun arwah telah tiada,” jelasnya.

Lala kuat - Sari Yanti

Rasa kehilangan dan kepiluan Wan Sharmila turut dikongsi oleh sahabat karibnya, Sari Yanti.

Walaupun jiwa sahabatnya itu diselubungi rasa sayu, Sari lega kerana Wan Sharmila masih kuat dalam menerima takdir yang telah tersurat oleh-Nya.

“Lala (nama panggilan manja Wan Sharmila) pernah memberitahu saya, jika ditakdirkan ibunya pergi dulu, hidupnya bakal hilang tujuan. Jadi, apabila saya menerima berita tentang kematian ibu Lala, jantung saya tersentak dan tergamam. Saya takut Lala tidak boleh menerima takdir yang telah ditentukan.

“Namun, jangkaan saya meleset sama sekali. Ternyata, Lala begitu kuat menerima khabar sedih tersebut, walaupun jauh di sudut hatinya, saya tahu dia sedang dirundung duka,” ujar Sari sambil menyifatkan Wan Sharmila sebagai seorang yang gemar berkongsi pelbagai perkara dengan dirinya.

Begitupun, Sari mengakui sedikit terkilan kerana tidak dapat memenuhi janjinya untuk bertemu ibu Wan Sharmila pada hari raya tahun ini.

“Sejak rapat dengan Lala, saya tidak pernah berjumpa dengan ibunya. Jadi, saya memang merancang untuk turun ke Johor Bahru dan beraya bersama mereka.

“Nampaknya, hasrat saya tidak kesampaian. Bagaimanapun saya percaya, apa yang berlaku ada hikmahnya,” tutur Sari.

Tambah Sari, dia dan keluarganya sentiasa mengalu-alukan kehadiran Lala jika sahabat baiknya itu mahu beraya bersamanya kali ini.

“Keluarga saya memang rapat dengan Lala dan ayah juga pernah memberitahu, supaya mengajaknya beraya sekali di kampung kami.

“Namun, biarlah Lala membuat keputusan. Apa yang penting, pintu rumah kami sentiasa terbuka untuknya,” ujar Sari lagi.

Rasa kosong

Tahun ini merupakan tahun kedua Sari Yanti atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 30, menyambut kedatangan Syawal sebagai seorang ibu tunggal.

Bercerita tentang sambutan Aidilfitri tanpa kehadiran insan bergelar suami, Sari berkata, memang terdetik rasa kosong beraya sebagai seorang ibu tunggal.

Namun, dia berasa sungguh beruntung kerana masih mempunyai kaum keluarga yang begitu rapat dengannya.

“Tipu jika saya tidak rasa kelainan beraya seorang. Bagaimanapun, saya cukup bertuah kerana kekosongan yang terdetik dalam diri terisi apabila saya pulang ke kampung halaman.

“Bagi saya, jika Allah halang sesuatu perkara itu, kita tidak akan menerima apa-apa. Namun, jika Allah memberi, tiada siapa yang akan halang kita untuk menerima.

“Ada hikmah dalam setiap perkara yang diizinkan Allah,” ujar Sari yang menjadikan kisah penceraiannya sebagai pengajaran buatnya untuk terus matang dan bijak dalam mengatur kehidupan.

Berkongsi tentang sambutan raya, ibu kepada Barr Al-Aliy, 5, dan Basit Al-Haq, 3, itu pulang ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan menyambut lebaran bersama keluarga.

“Sama seperti tahun lepas, saya beraya di kampung bersama anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

“Saya berada di kampung sehari sebelum hari raya dan pulang ke Kuala Lumpur apabila sudah puas beraya,” jelasnya menutup bicara.

Previous Post Next Post