Memori Aidilfitri Amelina, Mas Idayu



Sebaik dua ratu dangdut, Mas Idayu dan Amelina bertemu di Talent Lounge, Damansara Perdana, Selangor untuk sesi fotografi khas sempena keluaran Aidilfitri, suasana yang sunyi bertukar riuh-rendah dan penuh dengan gelak tawa. Ibarat tidak bertemu berpuluh tahun, pelbagai cerita dikongsi antara mereka.

Situasi tersebut menyerlahkan keakraban dua sahabat itu, sedangkan sewaktu zaman kegemilangan mereka pada penghujung 90-an, Mas Idayu dan Amelina pernah mempunyai hubungan yang keruh. Mengakui perkara tersebut, mereka hanya ketawa apabila mengenangkan permusuhan yang tercetus sewaktu muda.

“Kami sama-sama artis Warner Music tetapi tidaklah begitu rapat antara satu sama lain ketika muda kerana Amelina mempunyai rakannya sendiri, manakala saya selalu bersendiri. Mulanya kami baik sahaja tetapi hanya kerana percaya kepada khabar angin, kami bermasam muka antara satu sama lain untuk tempoh yang agak lama tanpa mengetahui cerita sebenar.

“Hubungan kami kembali pulih dua tahun sebelum Amelina berhenti menyanyi. Waktu itu pihak Warner Music mempertemukan kami di dalam bilik mesyuarat untuk menjernihkan keadaan.

“Jelas dalam ingatan saya, masing-masing menyalahkan antara satu sama lain. Selepas meluahkan segala yang dipendam, akhirnya kami sedar perkara sebenar. Hanya kerana khabar angin, kami bermasam muka tanpa sebab. Sejak itu, kami menjadi rakan baik sehingga hari ini,” cerita Mas Idayu mengenang kisah silamnya bersama Amelina.

Cerita itu turut dipersetujui oleh Amelina yang mesra disapa dengan nama Alin. Katanya, sehingga hari ini masih ada pihak yang tidak mengetahui hubungannya dengan Mas Idayu sudah pulih.


“Sampai sekarang ada juga orang yang menyebarkan gosip kurang baik tentang Mas Idayu kepada saya. Mungkin mereka tidak mengetahui yang kami sudah lama berbaik. Dua tahun sebelum membuat keputusan untuk berhenti menyanyi, Kak Ayu (panggilan untuk Mas Idayu) merupakan salah seorang rakan baik saya. Kami selalu keluar bersama dan Kak Ayu akan menjadi pemandu kerana saya tidak boleh memandu dari dulu sehingga sekarang (ketawa),” tutur Amelina.

Sambung Amelina yang merupakan ibu kepada enam orang anak itu, hubungannya dengan Mas Idayu terputus apabila dia berkahwin dan meninggalkan dunia seni untuk memberi fokus kepada keluarga.

Meskipun masih menghubungi beberapa rakan industri seni yang lain sepanjang 15 tahun menyepi tetapi dia cukup takut untuk menghubungi rakan baiknya itu.

Bukan tidak percaya, bagaimanapun Amelina bimbang dia akan ‘dibasuh’ oleh Mas Idayu jika menghubunginya.

“Saya faham benar perangai Kak Ayu yang suka berterus-terang. Jika saya hubunginya dan memberitahu akan berhenti menyanyi, dialah orang yang paling kecewa dan akan berusaha untuk memujuk saya supaya melupakan niat tersebut.

“Dia pasti akan marah. Memikirkan jeritannya membuatkan saya jadi takut dan terus tidak menghubunginya (ketawa). Apabila saya kembali ke dunia nyanyian, dia orang paling gembira dan menjadi guru saya.

“Walaupun banyak penyanyi baharu muncul, Mas Idayu tetap kekal dalam industri. Dia ada keistimewaan tersendiri yang membuatkan saya cukup menghormatinya,” luah Amelina.

Balas kad raya

Bercakap tentang kenangan raya sewaktu muda, cerita Mas Idayu, dia merindui saat memunggah guni yang penuh dengan kad raya daripada peminatnya. Begitu juga dengan penyanyi lain, lambakan kad raya yang diterima waktu itu menyebabkan mereka tidak terdaya untuk membalas kembali kepada peminat. Senario hari ini cukup berbeza kerana peminat lebih senang mengirim ucapan raya di laman sosial sahaja.

“Waktu itu mana ada laman sosial seperti Instagram atau Facebook. Jadi, apabila raya meriahlah pejabat Warner Music dengan kad raya. Bayangkan berapa ramai penyanyi di bawah Warner Music, penuh ruang pejabat dengan berguni-guni kad raya. Waktu itu, penyanyi yang balas sendiri kad raya peminat.

“Tiada pembantu atau pegawai penghubungan awam yang akan buat. Saya faham harapan peminat yang menanti kad raya daripada penyanyi pujaan mereka.

“Oleh itu, saya membalas kad raya satu persatu yang mana terdaya. Saya sedar, hanya peminat tegar yang gigih membeli setem dan ke pejabat pos untuk menghantar kad raya. Bagi saya, memori itu antara yang terindah sebagai penyanyi,” cerita Mas Idayu yang kini berusia 46 tahun.

Bercakap tentang sambutan raya, beritahu ibu kepada seorang anak perempuan itu, sudah 10 tahun dia meraikan Aidilfitri sebagai ibu tunggal sejak berpisah dengan bekas suami.

Namun, dengan kehadiran anak tunggalnya, Nur Dayini Asyiqah, 17, sambutan raya di kampung halaman, Kota Tinggi, Johor tetap meriah seperti biasa.

Ceritanya lagi, setiap kali raya, busana yang wajib diperagakan adalah baju kurung. Tidak perlu manik, tidak perlu fesyen yang keterlaluan, bagaimanapun memadai baju kurung kain kapas di pagi raya.

“Wajib untuk saya memakai baju kurung ringkas di hari raya. Cuma untuk anak, saya hanya ikut permintaannya. Jika dia mahu baju penuh manik, saya ikutkan sahaja. Sebab apabila raya, saya hanya duduk di rumah melayan tetamu dan perlu memakai baju yang selesa.

“Jika keluar berjalan, saya akan ke rumah saudara di Singapura atau sekitar Johor sahaja,” tutur Mas Idayu yang menggemari menu rendang, lodeh dan sambal goreng Singapura pada hari raya.

Peminat datang rumah

Sama seperti Mas Idayu, Amelina juga menerima lambakan kad raya daripada peminat sewaktu popular dahulu. Namun, kehadiran peminat di rumah keluarga yang terletak di Labu, Negeri Sembilan antara memori tidak boleh dilupakannya.

Kata wanita berusia 41 tahun itu, dia tidak dapat membezakan antara peminat dan saudara-mara kerana terlalu ramai orang berkunjung ke rumahnya. Paling mengejutkan ada peminat yang datang beraya di rumahnya sehingga pukul 5 pagi.

“Dapat kad raya berguni itu perkara biasa. Namun, perkara luar biasa yang hanya berlaku pada hari raya adalah peminat datang ke rumah sejak pagi sehingga ke tengah malam. Keluarga saya terbuka dan menerima sahaja kunjungan peminat tidak kira waktu. Apa yang mengejutkan ada peminat dari Perak datang beraya pada pukul 3 pagi!

“Saya dengan berkain batik dan berbaju tidur menyangka saudara-mara yang datang. Rupanya peminat dari Perak yang sesat dari pagi sampai ke tengah malam mencari rumah saya. Hendak menolak kasihan pula sebab dari jauh, jadi saya layan mereka yang ikhlas datang beraya. Ada juga yang datang pada pukul 5 pagi (ketawa). Jawabnya saya kurang tidur semasa raya,” terangnya yang bekerja pada hari raya kedua tahun ini.

Apabila ditanya tentang perbezaan rayanya sebelum membuat kemunculan semula sebagai penyanyi, luah Amelina, Aidilfitri hanya disambut bersama anak-anak sahaja. Apa yang membezakan dengan hari lain adalah hidangan di pagi raya dan memakai baju baharu.

Namun, tahun ini, sambutan Aidilfitri pasti berbeza buatnya apabila kembali bergelar penyanyi dan diraikan bersama keluarga serta peminat.

“Dulu raya sendiri sahaja, sekarang sudah boleh diraikan dengan keluarga dan saudara-mara. Lebih meriah dan paling seronok sudah pasti anak-anak. Selama ini mereka tidak dapat merasai kemeriahan raya seperti zaman saya kecil-kecil. Saya harap tahun ini akan memberi kenangan raya paling seronok untuk mereka,” kata ibu kepada Putra Al’Affiq, 13, Putra Al’Asyraff, 12, Putri Nur Asyurah, 10, Putra Al’Arffa, 8, dan Putra Al’Amzar, 6.

Istimewanya Aidilfitri kali ini, Mas Idayu dan Amelina muncul bersama program raya yang diberi judul Rendang Dendang Dangdut di Astro. Ujar Mas Idayu, itulah kali pertama mereka bergandingan dalam sebuah program raya sejak berbaik semula.

“Program ini agak istimewa kerana kali pertama digandingkan bersama sejak kami berbaik. Sebelum ini pernah ada rancangan untuk berduet tetapi tidak pernah terlaksana. Alhamdulillah, ini merupakan program melepas rindu kepada peminat dangdut,” tutur Mas Idayu yang memulakan kerjaya nyanyian dengan irama jazz.

Sambung Amelina, dia juga teruja dengan program tersebut kerana selain menyanyi lagu dangdut mereka juga diberi peluang untuk mendendangkan lagu genre lain seperti pop.

“Saya dikenali hanya dengan lagu dangdut berbeza dengan Mas Idayu yang berkebolehan menyanyi pelbagai genre lagu. Jadi, dalam program itu saya cuba mendendangkan lagu pop. Bagus atau tidak terpulang kepada peminat untuk menilainya,” luah Amelina.

Previous Post Next Post