Awie kesal tindakan Rozana bawa lari anak



PENYANYI rock terkenal, Awie melahirkan rasa terkilan dengan tindakan isterinya, Rozana Misbun yang membawa lari dua anak mereka tanpa pengetahuannya ketika Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, berada di sekolah 9 Februari lalu.

Menurut Awie, 47, dia berasa sangat kesal kerana isterinya itu tidak pernah memaklumkan perkara tersebut kepadanya sebelum ini.

"Saya tidak pernah menghalang dia untuk berjumpa anak-anak sama ada di rumah atau pun sekolah.

"Tetapi dia yang enggan melawat anak-anak di rumah dan saya sendiri tidak pasti kenapa," katanya.

Jelas Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, dia juga tidak faham mengapa isterinya itu hanya berani datang dan menyerang rumahnya apabila dia tiada.

"Tidak hanya itu, perbuatannya melarikan anak-anak dengan membawa polis bersenjata juga membuatkan saya ragu-ragu dengan identiti polis terbabit.

"Memang saya ada berpesan kepada pihak sekolah supaya membenarnya nama-nama yang disenaraikan untuk mengambil atau membawa anak keluar dari sekolah.

"Mungkin itu menyebabkan dia bertindak sedemikian," kata Awie ketika di temui di majlis pelancaran album Wings Live Rockestra @ Istana Budaya dan Aplikasi Telefon Pintar ‘Wings Mobile Web’ di Istana Budaya baru-baru ini.

Sementara itu, Awie masih menjaga anaknya, Putra Ahmad Merrah, 8, termasuk dua anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.



Permintaan Awie

Dalam pada itu, Awie turut melahirkan rasa sedihnya apabila Rozana tidak menghantar anak mereka ke sekolah sejak kejadian tersebut.

"Bawa lari satu hal, tidak hantar ke sekolah satu hal. Saya minta dia, tolong hantar anak ke sekolah dan jangan abaikan pelajaran mereka.

"Bayangkan, pelajaran amat penting dan sebab itu saya sanggup membayar belasan ribu untuk memastikan mereka mendapat sekolah dan pelajaran yang terbaik.

"Kalaupun dia nekad membawa lari mereka tetapi jangan sia-sia pelajaran mereka. Saya benar-benar pelik dengan tindakannya itu," ujar Awie.

Ditanya apakah tindakan Awie kini, ujarnya, dia hanya mampu menunggu sehingga keputusan kes berkenaan diketahui Mei nanti.

"Pihak saya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah pada 24 Februari lalu berhubung penjagaan sementara anak-anaknya berikutan hak tersebut diperoleh Rozana.

"Apa pun tindakan saya dan dia selepas ini, tunggu sahaja. Cuma saya minta dia supaya tidak menyekat dan mengganggu kepentingan anak-anak.

"Buat masa sekarang saya telah melaporkan kepada pihak polis, mahkamah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai perkara ini," katanya.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur memberi hak penjagaan sementara tiga anak Rozana dan Awie iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Awie diberikan hak melawat di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana.

Previous Post Next Post