Handbag ekstra raya Noryn Aziz



PADA usia 38 tahun, Aidilfitri 2015 menjadi momen paling berharga buat Noryn apabila dia akhirnya diberi nikmat berhari raya sebagai seorang ibu kepada Raja Bariq Umar, 10 bulan.

“RAYA tahun ini memang berbeza,” getus Noryn Aziz sambil matanya tidak lepas memerhatikan keletah putera kecilnya, Raja Bariq Umar yang semakin laju merangkak ke sana ke mari.

Baru hendak menambah cerita, Umar sudah sampai ke kaki sofa. Anak kecil itu sedang menguji kemampuan untuk berdiri. Masih terhingguk-hingguk untuk menstabilkan otot kaki yang belum benar-benar kuat sambil mulutnya tidak berhenti membebel kecil dalam ‘bahasa’ yang mungkin hanya difahami oleh ibunya.

Umar satu-satunya permata jiwa Noryn. Lahir selepas lebih empat tahun usia perkahwinannya dengan jurutera Datuk Raja Bahrin Shah, kehadiran seorang anak memberi sejuta erti buat wanita berusia 38 tahun itu.

“Beginilah agaknya raya nanti, bukan sibuk melayan tetamu atau sanak saudara tetapi sibuk dengan anak kecil. Ada masa-masanya dia (Umar) tidak mahu berenggang. Hendak dibiarkan bermain, kena diperhatikan, kalau tidak, benjol sana benjol sini akibat lasak,” cerita penyanyi yang pernah popular dengan lagu Fantasi O Realiti sekitar 1994 itu ceria.


Tahun pertama menyambut raya mengelek status seorang ibu, persiapan Aidilfitri dan bunga-bunga keindahan tahun ini kembang berganda. Perasaan itu muncul saat membelikan Umar sepasang baju Melayu, sekali gus baju Melayu pertama buat insan kecil berusia 10 bulan itu.

“Rasanya perasaan itu dikongsi semua wanita yang pertama kali beraya dengan anak kecil. Mulanya saya cuma membelikan pakaian biasa, risau fabrik baju Melayu nanti membuatkan dia rimas memandangkan kulitnya ada alahan dan ekzema tetapi saya jumpa baju Melayu yang dibuat daripada kain kapas yang lembut. Dapatlah Umar beraya sakan nanti,” ujar Noryn yang menyambut Aidilfitri di samping keluarganya di Shah Alam, Selangor.

Kata orang, ibu bapa yang mempunyai anak kecil akan mempunyai ‘beg tangan tambahan’ atau ‘handbag ekstra’ jika hendak berjalan ke mana-mana. Situasi yang sama berlaku kepada Noryn.

“Walaupun ada ‘beg tangan tambahan’, beg tangan sendiri wajib dibawa (ketawa). Untuk saya, secara peribadinya persiapan raya tahun ini agak meriah. Cuma nak melebih-lebih itu tidaklah, baju dan tudung pun kena sesuai dengan situasi ada anak kecil yang tengah lasak,” katanya.

Bersyukur diberi kemampuan menjaga sendiri dan melihat anak sedang membesar depan mata, hatinya cepat terusik apabila membaca kisah-kisah penderaan dan nasib malang yang menimpa anak kecil di dada media. Kisah Adik Yaya yang didera ibu tiri di Kelantan baru-baru ini, antara yang menusuk kalbunya.

“Kita mungkin tidak tahu masalah sebenar dan tidak berada di tempat kejadian tetapi perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku. Apalah dosa anak yang masih kecil. Semoga Aidilfitri ini memberi sinar yang membahagiakan buat semua,” ujarnya.

Bertemu pemilik nama sebenar Norazmahwati Abd. Aziz itu sekitar pertengahan Ramadan lalu, ada perbezaan ketara membumbui fikiran penulis.

Sedikit imbas kembali, Aidilfitri tahun lepas diraikan Noryn dalam keadaan sarat hamil lapan bulan. Ketika itu, keadaan fizikal bukan satu persoalan. Sudah namanya hamil, fesyen baju raya sudah tentu apa sahaja busana yang boleh muat, soal cantik atau menawan sudah jadi perkara nombor dua.

“Semasa hamil dahulu, berat saya mencecah sehingga 80 kilogram (kg). Musim raya tahun lepas juga, saya dapat lesen besar, boleh makan apa sahaja dan sebanyak mana yang mampu. Malangnya, tahun ini tidak. Tahun ini. saya kena ‘bunuh’ nafsu makan ketupat dan rendang selepas seminggu pertama raya. Untuk dua-tiga hari pertama, rasanya nafsu itu boleh ‘dimaafkan’.

“Saya memang kena kawal selera makan, kalau tidak, buat penat sahaja saya berdiet selama dua bulan kebelakangan ini,” jelas Noryn yang selesa dengan berat badan terkininya, 55kg.

Tambah Noryn, dia menetapkan sasaran untuk mendapatkan berat badan idealnya iaitu 50kg dalam masa terdekat. Tidak mengambil sebarang rutin senaman ekstrim atau menjalani latihan dengan bantuan jurulatih kesihatan, penyanyi yang pernah mengeluarkan single kerohanian berjudul Tinta Putih itu hanya mengawal pemakanan seharian untuk menurunkan berat badan.

“Saya hanya makan sedikit nasi untuk mendapat bekalan karbohidrat, selebihnya banyak makan sayur dan protein. Untungnya kerana saya masih menyusukan Umar, jadi berat senang untuk turun. Tambah lagi kena turun naik tangga dalam rumah dan sedikit senaman kardio di atas treadmill cukup untuk saya,” jelasnya.

Bertanyakan Noryn tentang perkembangan karier nyanyian, penyanyi irama jaz itu merancang untuk tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi. Mencari sedikit kelainan, Noryn berhasrat mahu merakam sebuah lagu duet bergenre balada.

“Saya masih menyanyi dan single itu nanti bukti keseriusan saya dalam bidang nyanyian yang tidak pernah terpadam. Kalau diizinkan Tuhan, saya mahu merakamkan sebuah lagu duet, siapa regu duet, semua masih dalam perhitungan,” tutupnya.

Previous Post Next Post