Hairul Azreen Idris
WALAUPUN sudah berkecimpung dalam dunia lakonan sejak 2009, bintang filem Hantu Kapcai, Hairul Azreen Idris mengambil masa yang cukup lama untuk popular dan dikenali ramai.
Pun begitu, aktor muda itu tidak mudah berputus asa dalam mencari peluang dan kini penantiannya itu seolah-olah ‘berbayar’ apabila satu-persatu drama lakonannya mula ditayangkan sekali gus memberi impak yang besar buat dirinya.
Kata pelakon muda ini, semakin lama semakin ramai peminat mula mengenali dirinya seterusnya memberikan semangat baharu buat dirinya.
"Perjalanan saya tak semudah yang disangka. Saya pernah melalui saat-saat getir yang orang lain tak pernah tahu. Tapi saya bersyukur sebab perjalanan saya ini semakin lancar.
"Satu saja, saya anggap diri saya ini ibarat bintang. Bila hujan, kita langsung tak nampak. Kadang-kadang bila nampak bintang itu kita nampak satu saja bintang. Bintang itu yang bersinar.
"Jadi, tunggu masa. Mungkin sekarang ini baru nak timbul. Bila dah timbul nanti itu yang orang akan nampak. Saya harap macam itu," katanya ketika ditemui media di Kuala Lumpur, kelmarin.
Jelas bintang Misiku Kuza ini lagi, itu bukanlah satu perkara besar kerana dia lebih selesa untuk dikenali dengan bakat yang ada berbanding kontroversi untuk menaikkan nama.
"Sasaran saya adalah untuk menghiburkan orang. Alhamdulillah, setiap drama dan filem lakonan saya mendapat sambutan yang baik," katanya.
Namun begitu, Hairul mengakui dia agak sukar untuk mengikis imej ‘mat jambu’ yang dilabel kepadanya.
Meskipun begitu, pelakon muda ini tetap berusaha membawa watak yang lebih ‘jantan’.
"Sebelum ini, saya adalah pelakon lagak ngeri atau ‘stuntman’.
"Dek imej yang sebegitu menyebabkan ada pengarah yang tidak mahu memberikan watak lasak pada saya lantaran tidak mempercayai kebolehan saya.
"Tapi, bila saya menang Fear Factor, ramai mula membuka mata mereka,” kata peminat sukan lasak ini.
Bagaimanapun, kata Hairul, atas sebab mahu mencabar dirinya, dia meluaskan lagi kerjaya lakonannya dengan menceburi bidang teater.
"Teater Bidasari menjadi landasan pertama saya untuk mencuba. Sepanjang saya berlakon teater, saya mendapat komen yang positif daripada peminat.
"Setakat ini, kebanyakan komen yang saya terima bertanya mengapa suara saya dalam keadaan serak ketika menjayakan pementasan.
"Ia terjadi kerana terlalu banyak menjerit disebabkan saya tidak sempat untuk mempelajari teknik-teknik tertentu dalam mengawal pergerakan suara kerana tidak cukup masa.
"Saya hanya berlatih untuk tempoh lapan hari sehingga ke hari pementasan," katanya yang mempunyai asas dalam seni tekwando.
Dalam perkembangan lain, Hairul baharu saja tamat penggambaran telemovie Bermulanya Di Sini untuk siaran TV Al Hijrah, April depan.
Sambut hari lahir di Barcelona
Pada masa sama, bintang Setia Hujung Nyawa ini juga bakal menyambut hari lahirnya yang ke-26 bersama-sama peminatnya bermula 22 hingga 30 April depan di Barcelona.
Program ini adalah anjuran Crsytal Travel dan mendapat tajaan daripada Rafflesia dan Air France.
Selain Hairul, empat artis lain yang turut terlibat ialah Fahrain Ahmad, Kamal Adli, Miera Liyana dan Nur Fathia.
"Sebenarnya, Rafflesia ingin meraikan ulang tahun Air France yang jatuh pada 23 April. Kebetulan, tarikh hari lahir saya turut jatuh pada tarikh yang sama.
"Oleh itu, mereka beri keistimewaan kepada saya untuk memilih lokasi sekali gus menyambutnya bersama peminat-peminat saya," akuinya yang cukup teruja dengan pelawaan itu.
Katanya lagi, sambutan hari lahirnya itu akan di sambut di sekitar kawasan Stadium Barcelona selain berpeluang menyaksikan perlawanan bola sepak yang akan berlangsung.
Selain itu, peminat bertuah juga berpeluang ke La Sagrada Familia, La Bar Celoneta, La Plaza De Cataluna dan ke destinasi menarik lain.
"Ini merupakan sambutan yang pertama buat saya bersama-sama peminat. Tambahan pula ia disambut di Barcelona, destinasi impian saya dan paling menarik apabila Pengarah Rafflesia, Winnie Sin turut serta sekali.
"Tapi, penyertaan dibuka kepada siapa yang cepat dia dapat.
"Begitu pun, keutamaan saya adalah pada ahli kelab peminat saya," katanya.
Sehubungan itu, untuk keterangan lanjut dan tempahan, sila hubungi Mohamad atau Zubir di talian 0122707593 atau 0136347164.