HANEZ SURAYA (kanan) di samping peguamnya, Wan Nurliyana Abdul Manan pada sidang akhbar menafikan dirinya sebagai punca perceraian Romie Razin Aidilha dengan Nurliyana di Kuala Lumpur, kelmarin.
ISU minggu ini saya ingin menyentuh sedikit mengenai senario yang berlaku terhadap pelakon Hanez Suraya. Saya bukan ingin menangkan sesiapa. Namun, kalau ia untuk peringatan dan mampu membawa kebaikan buat artis dan juga semua orang, jadi apa salahnya saya kupas sedikit mengenainya.
Ketika ini, bukan sedikit malah ramai kaum wanita yang membenci dan menghentam pelakon drama Love You Mr. Arrogant itu. Lihat sahaja di laman Instagram (IG) Hanez, @hanezsuraya, gambar-gambar milik Hanez yang tiada kaitan dengan isu tersebut menerima komen kecaman dan hentaman daripada peminat.
Lagi teruk, apabila lebih ramai yang membenci dan menghentam Hanez selepas dia tampil dengan kenyataan akhbar semalam menyeru isteri kekasihnya, Nur Liyana Abd. Manan membuat permohonan maaf kerana memfitnahnya.
Bagi saya, masing-masing mungkin ada buat silap. Baik Hanez, lelaki itu dan juga Nur Liyana. Orang lain tidak perlu menjadi 'hakim' untuk menjatuhkan hukuman terhadap Hanez semata-mata. Kalau hendak komen sekalipun haruslah berpada-pada sebab cerita sebenar hanya mereka sahaja yang tahu.
Sebagai artis yang menjadi tumpuan dan ikutan peminat pula, anda juga kena pandai menjaga perilaku, percakapan, penulisan di laman sosial mahupun tindakan.
Lebih-lebih lagi, jika anda (artis) membawa nama sebagai duta produk untuk mana-mana syarikat. Kesannya bukan kepada anda tetapi juga produk yang dibawa anda.
Ya, rumah tangga yang tidak berkekalan dan campur tangan orang ketiga atau sebagainya bukan terjadi kepada pasangan ini sahaja. Ramai orang biasa mahupun artis yang telah mengalaminya.
Memang bukan itu yang kita mahukan. Namun, siapalah kita juga untuk menentukan qada' dan qadar Allah. Paling penting, bagaimana caranya untuk kita mengendalinya dengan penuh profesional tetapi tanpa emosional
Justeru, kepada artis dan juga orang ramai, termasuk diri saya sendiri, sentiasa beringat dalam melakukan apa jua tindakan.
Tanganilah setiap perkara dengan cara profesional tanpa perlu membuatkan seseorang itu malu, terseksa atau terluka.