BAGI mereka yang pernah makan di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur, pasti akan teringat-ingat masakan kampung yang disediakan di restoran milik chef selebriti terkenal, Datuk Chef Ismail Ahmad.
Gulai lemak cili padi rebung dengan udang, masak lemak cili padi ikan keli, gulai telur itik, gulai lemak pucuk ubi, sambal tempoyak, sambal udang petai dan banyak lagi sudah tentunya mengecurkan air liur.
Ramai juga yang mengetahui bahawa chef yang masih bujang pada usia 54 tahun ini sebenarnya mempunyai ramai peminat wanita.
Namun dilihat pada perwatakannya yang ceria, chef ini mungkin tidak pernah teringat langsung untuk mencari teman hidup atau lebih tepat seorang isteri.
Pernah bertanya kepada chef kelahiran Kampung Chengkau Ulu, Rembau, Negeri Sembilan ini, tentang soal kahwin semasa bertemunya tidak lama dahulu, jawapannya tetap sama.
Perkahwinan ini bukanlah perkara senang atau remeh. Ia bukan macam main pondok-pondok. Tidak kira perempuan atau lelaki, banyak yang harus difikirkan dan diberi tumpuan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
Memanglah berkahwin itu mengikut sunnah tetapi jika tiada tanggungjawab, persefahaman, hormat-menghormati, kasih sayang antara kedua pihak, perkahwinan tidak akan menjadi.
Bukanlah hendak memperlecehkan, tetapi bagi saya pada usia 54 tahun ini sudah tidak terfikir lagi hendak berkahwin.
Masa muda dahulu pun soal kahwin jarang saya fikirkan mungkin juga kerana terlalu sibuk sehingga tidak sedar masa berlalu begitu pantas.
Bagaimanapun, saya masih percaya soal jodoh, ajal maut dan rezeki semuanya terletak pada Allah dan Dia juga yang mengetahui mengapa saya tidak mempunyai pasangan hidup di dunia. Mungkin saya mempunyai pasangan di syurga nanti," ujar Chef Ismail yang baru seminggu pulang ke tanah air selepas menunaikan ibadah umrah kali ke sembilan.
Beliau yang juga telah bergelar haji menambah, lebih senang hidup sendiri, memajukan perniagaan restorannya dan mempelajari ilmu agama.
Sebagai seorang manusia, tambahnya, tanggungjawab kepada insan lain seperti adik-beradik, saudara-mara, jiran-jiran dan kawan-kawan tetap dilaksanakan dengan mengambil berat dan membantu yang dalam kesusahan.
Bagaimanapun, Chef Ismail menasihatkan kepada mereka yang ingin berkahwin, eloklah berkahwin pada usia yang muda.
Bagi lelaki, usia yang sesuai untuk berkahwin adalah pada usia 26 atau 27 sementara bagi perempuan pula ialah 21 atau 22 tahun.
Ini kerana tambahnya, usia yang muda membolehkan pasangan membesarkan anak-anak semasa kudrat masih kuat selain mencari rezeki untuk keluarga.
Bukan senang hendak berkeluarga. Banyak masalah yang akan dihadapi. Untuk itu, sebelum berkahwin, fahami betul-betul akan tanggungjawab dan hadapi susah senang bersama-sama, kata Chef Ismail di kediamannya di kondominium yang terletak di Pantai Baru, Kuala Lumpur.
Untuk keselamatan
Walaupun dilahir dan dibesarkan di kampung dengan suasana kampung yang dikelilingi oleh saudara-mara dan pokok-pokok menghijau, beliau memilih untuk tinggal di kondominium.
Bukan tidak mampu untuk membeli sebuah banglo yang besar dan dikelilingi pokok-pokok seperti yang dapat dilihat di Restoran Rebung, tetapi katanya, kondominium lebih selesa kerana ciri-ciri keselamatan yang ada.
Beliau tidak perlu bimbang rumah dicerobohi perompak atau terpaksa melihat keliling sebelum membuka pintu pagar takut yang yang sedang mengintip.
Hendak masuk ke rumah sendiri pun takut, bimbang ada perompak yang sedang bersembunyi.
Sebab itulah saya mampu bertahan 15 tahun tinggal di sini. Konsep tinggal di bandar memang perlu mengutamakan keselamatan.
Saya tidak mahu tinggal di rumah besar tetapi hidup dalam ketakutan. Pintu harus sentiasa dikunci dan hendak keluar ke halaman rumah pun takut.
Saya gemar berdiri di tengah-tengah rumah dan melihat kawasan sekeliling. Ini memberikan ketenangan melihat keindahan alam keliling kita.
Lagipun tidak perlulah saya tinggal di rumah besar kerana semua adik-beradik saya tinggal di Kuala Lumpur kecuali seorang kakak menetap di Singapura. Kalau adik beradik datang pun bukan bermalam dan jika ada kenduri pun semua akan pulang ke kampung.
Kalau ada rumah yang sesuai dengan saiz keluarga, hubungan akan menjadi lebih rapat kerana semua berkumpul di ruang yang sama. Kalau rumah besar sangat, seorang di sana seorang di sini, yang lain dalam bilik, di dapur dan sebagainya, kata anak ketiga daripada lima beradik ini.
Menurut anak kepada Allahyarham Ahmad Abu dan Allahyarhamah Mariam Jabil ini lagi, beliau menyukai rumah yang mempunyai reka bentuk tahun 70-an dan bersiling tinggi.
Semua ciri-ciri yang dikehendaki itu terdapat pada rumah yang didiami sekarang yang bersiling tinggi dan selesa pengudaraannya.
Mempunyai tiga bilik tidur, Chef Ismail yang ditemani seekor kucing peliharaan bernama Taja, memecahkan satu bilik tidur bagi membesarkan bilik tidur utama yang dicat warna biru dan kuning.
Bilik tidur beliau dihias cantik dengan perabot yang sederhana, namun nampak eksklusif dan ada daya tarikan.
Sebuah potret beliau yang diambil oleh seorang kawan semasa berada di sebuah rumah di Palembang menghiasi dinding.
Walaupun tidak terlalu penuh dengan perhiasan, pasti ramai yang tidak menyangka penghuni bilik seorang chef lelaki.