Hantu Bukit Cina serang pawagam


Setiap pelakon filem Hantu Bukit Cina mempunyai keunikan tersendiri.

Bermula 6 Mac lalu, filem Hantu Bukit Cina (HBC), arahan TS Jeffrey dan Norliza Ismail mula ditayang di 80 buah pawagam di seluruh negara.

Filem genre seram yang menjalani penggambaran selama 20 hari termasuk di sempadan Malaysia dan Thailand itu menampilkan barisan pelakon seperti Fouziah Gous, Siti Fazurina, Gambit Saifullah, Emelda Jovinia Jusmin, Kamarol Haji Yusof, Tunku Nor Hanis, Amir Raja Lawak, Shahriza Mahmud dan Yank Kassim.

Menurut penerbitnya, Richard Ung, filem yang menelan kos sebanyak RM500,000 itu dihasilkan berdasar penceritaan daripada penduduk kampung.

“Saya percaya cerita seram masih diminati khalayak penonton, namun bergantung kepada kreativiti penerbit dan pengarah untuk mempelbagaikan pendekatan dan garapan sesebuah cerita.

“Filem seram di Hollywood sehingga kini masih diterbitkan, apatah lagi di negara Asia yang masih kuat mempercayai kewujudan alam ghaib yang dikaitkan dengan cerita rakyat," katanya.




Tambahnya, filem dari gabungan dua pengarahan iaitu TS Jeffrey dan Norliza Ismail sudah tentu memiliki keistimewaan tersendiri yang menggabungkan kepercayaan masyarakat Melayu dan Cina di negara ini.

“Kekuatan filem ini boleh dilihat sendiri dari sudut pengarahannya di mana kedua mereka mewakili bangsa masing-masing yang digarap ideanya bersama menjadikan satu produk filem.

“Begitu juga dengan kekuatan pelakon seperti Fouziah Gous, Siti Fazurina dan Gambit Saifullah, memiliki keunikan tersendiri kepada filem kedua terbitan Sheunik Sdn. Bhd," katanya.

Filem ini mengisahkan keadaan di Kampung Bukit Cina. Pada awalnya kampung itu aman dan permai, namun di sebalik kedamaian itu menyimpan misteri yang tidak berani dikupas penduduk kampung. Atas nasihat Pak Tam (Kamarool Yusof), seorang penggiat Mak Yong yang berasal dari Thailand, penduduk kampung menjauhkan diri dari Bukit Cina tempat persemadian kaum Cina yang terletak di pinggir kampung mereka.

Akur pada nasihat Pak Tam yang selama ini banyak menolong penduduk kampung yang suka menderma dan mampu mengubati orang dirasuk, penduduk kampung menghormatinya.

Begitupun Pak Tam bukanlah seorang dukun yang mengubat pesakit dengan cara serius seperti bomoh dan pawang yang lain. Pak Tam berimej seperti orang biasa dan apabila ada yang terkena sampuk, Pak Tam akan beri air jampi sambil menggunakan cara psikologi untuk mententeramkan pesakit itu.

Setiap pesakitnya didapati terkena sampuk hantu Bukit Cina lantas Pak Tam menasihati pesakitnya dan juga orang kampung yang lain agar tidak pergi ke bukit itu. Hakikatnya adalah benar, semua yang terkena sampuk pernah pergi ke Bukit Cina atas tujuan tertentu dan di situ mereka melihat banyak hantu berkeliaran.
Previous Post Next Post