Adira akui buang gambar Shahrul


ADIRA bakal muncul dengan album sulungnya pada hujung bulan ini.

SEBELUM ini, penyanyi Adira hangat digosipkan bercinta dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin.

Biarpun Adira dan Shahrul tidak pernah berterus terang mengenai status hubungan mereka, tetapi gambar-gambar mesra yang dimuat naik di laman sosial Instagram (IG) kedua-duanya mengukuhkan lagi gosip yang mereka sedang bercinta.

Bagaimanapun, pada 7 Februari lalu, sebuah portal hiburan menulis bahawa Adira kini tidak lagi bersama Shahrul. Ia berikutan gambar-gambar Shahrul yang telah dipadamkan dalam IG Adira.

Portal tersebut juga mendakwa, hubungan mereka dikatakan putus disebabkan orang ketiga iaitu pelakon sensasi, Lana Nordin.

Ikuti temu bual bersama penyanyi berasal dari Ranau, Sabah itu mengenai hubungannya bersama Shahrul.




Ada sebuah portal hiburan yang mendakwa Adira dan Shahrul kini tidak lagi bersama kerana orang ketiga iaitu Lana Nodin. Boleh Adira komen tentang perkara itu?

ADIRA: Berita tersebut tidak betul. Hubungan kami masih baik. Mungkin orang salah sangka.

Jika begitu, kenapakah gambar-gambar Shahrul di IG Adira dipadamkan?

Saya buang gambar dia sebab komen-komen negatif daripada golongan pembenci (haters). Saya mahu mengelak daripada ia menjadi lebih buruk. Disebabkan itu, saya terpaksa memadam gambar tersebut. Bagaimanapun, masih terdapat beberapa gambar Shahrul yang tidak dipadamkan.


ADIRA akui banyak pihak salah sangka tentang hubungannya dengan Shahrul.

Ada sebarang perancangan ke arah perkahwinan?

Insya-Allah, kalau ada rezeki.

Beralih pada soalan lain, bagaimanakah sambutan produk kecantikan Adira Beauty Signature yang merupakan sabun pemutih kulit itu?

Selama hampir dua bulan sabun itu di pasaran, sambutannya Alhamdulillah, baik.

Ada sebarang perancangan untuk menghasilkan produk lain selain sabun?

Ada. Dalam tahun ini juga saya akan mengeluarkan produk penjagaan kulit sendiri.

Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya nyanyian anda pula?

Saya bakal mengeluarkan album pertama hujung bulan Februari ini. Terdapat lima lagu baharu dan lima lagu lama dimuatkan dalam album saya. Antara lagu baharu yang ada dalam album itu merupakan ciptaan komposer terkenal seperti Ajai, AG Coco dan Aubrey Suwito manakala, lagu lama pula terdiri daripada Ombak Rindu dan Ku Ada Kamu.

Berapa lamakah masa yang diambil untuk menghasilkan album pertama Adira?

Saya ambil masa selama setahun untuk kumpulkan lagu manakala proses keseluruhan memakan masa selama dua tahun.
Previous Post Next Post