Himpunan penulis blog


ZARUL bakal menghibur tetamu.

PENYANYI Zarul Umbrella, Memey dan Norman Hakim bakal menceriakan dan menghiburkan peserta pada majlis Sepetang Bersama Blogger dan Yeos 2014 yang akan diadakan pada 8 Mac ini di Saloma Bistro, Ampang.

Zarul yang terkenal dengan lagu Ramalanku Benar Belaka, antara artis yang aktif mengemaskini blog miliknya turut akan berkongsi pengalaman suka duka sebagai penulis dengan para peserta.

Majlis tersebut diadakan untuk kali ketiga berturut-turut dan dianjurkan oleh Denaihati Network yang disertai oleh beberapa blogger popular dan berpengaruh, antaranya Beutifulnara, Ben Ashari, Red Mummy dan Denaihati.com.

Menurut pengasas Denaihati.com, Amir Hasan, majlis tersebut yang menghimpun 350 penulis blog serta penggiat media sosial dari seluruh negara bertujuan memberi peluang kepada peserta berkongsi pengalaman sebagai penulis blog yang aktif bersua muka walaupun datang dari pelbagai latar belakang dan pekerjaan.

“Kepesatan penggunaan media sosial di kalangan generasi kini telah mencorakkan pelbagai jenis maklumat di dalam talian. Sekali gus merancakkan aktiviti penulis blog yang kini hasil karya mereka semakin diterima ramai.

“Ditambah dengan wujudnya aplikasi telefon pintar yang serba canggih, menggalakkan penulis blog mencetuskan pelbagai idea di laman blog masing-masing dan ada di kalangan mereka yang berjaya mencipta nama dan membina rangkaian dan pengaruh sendiri," katanya kepada Hits.




Penganjur yang juga penulis blog terkenal ini, telah memenangi pelbagai anugerah, antaranya Blog Terbaik 2012, Blog Kreatif Terbaik dan Blog Personal Terbaik pada tahun 2013. Kini terdapat 3,759 penulis blog yang bersama-sama membina nama di bawah rangkaian Denaihati network.

Majlis sehari itu akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti, antaranya perkongsian projek-projek yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada penulis blog, berkongsi pengalaman dengan beberapa penulis blog terkenal dan mempunyai pengikut melebihi 100,000 pada sebelah pagi.

Di sebelah petangnya pula diadakan permainan oleh pihak penaja. Tidak ketinggalan forum yang bakal membincangkan hala tuju penulis blog berdasarkan kepada isu-isu semasa hasil seliaan pihak Denaihati.com.

Lebih menarik, turut disediakan gerai-gerai yang kebanyakannya menjual barangan melalui talian dengan tawaran pelbagai jenis produk. Pameran dan jualan terbuka kepada orang ramai.

Peserta juga berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik melalui cabutan bertuah, antaranya gajet terkini serta percutian ke Bandung Indonesia, Kemboja dan juga Karabi Thailand tajaan Air Asia.
Previous Post Next Post