Fathia Latiff nafi calon isteri Baim Wong


TIDAK menunggu lama, Fathia Latiff segera membuat penjelasan bahawa desas-desus mengaitkan dirinya dengan Baim adalah tidak benar sama sekali.

TIBA-TIBA nama pelakon sinetron popular Indonesia, Baim Wong kembali panas. Semuanya gara-gara khabar dari seberang mendakwa Baim akan berkahwin dengan si cantik manis dari Malaysia, Fathia Latiff.

Katanya Baim sendiri yang letak gambar Fathia dalam Instagram dan minta peminat doakan semoga rancangannya hendak berkahwin sekitar Jun nanti berjalan lancar.

Mulanya Mizz Lahar pun terkejut dengan gosip hubungan kilat Baim dengan Fathia. Yelah, bukankah Baim selama ini digosipkan dengan seorang lagi pelakon remaja Elfira Loy. Jadi bila masa pula nama Fathia terjebak sama. Tetapi, bukankah Fathia dan Baim pernah berlakon sama dalam drama Erma Fatima yang buat penggambaran di New York tak lama dahulu.

Baru sahaja terdetik dalam hati Mizz nak mengusulkan undi tidak percaya terhadap kisah berkenaan, Fathia lagi cepat bertindak.

Sambil menafikan khabar angin yang tersebar, bekas kekasih Aiman Hakim Redza itu siap berpesan. Tulisnya “Lain kali tanya dulu. Tolong. Tak baik sebarkan fitnah. Moga Allah lindungi kita semua daripada fitnah. Amin.”

Daripada membiarkan peminat tertanya-tanya atau mengelak dan tak menjawab pertanyaan wartawan tentang isu yang dibangkitkan, Mizz Lahar suka cara Fathia. Tak payah kawan-kawan Mizz Lahar sibuk-sibuk nak cari dia semata-mata nak dapatkan kesahihan kisah gosip.


MIZZ LAHAR: Bukan artis muda sahaja suka ‘ternak’ penyakit dengki sesama sendiri, artis lama Tushee dan Rohana Jalil pun masih bercakaran. Siap hentam-menghentam di laman sosial lagi. Tua mengejar, sudah-sudahlah.

TERGELAK sinis Mizz Lahar apabila mendengar kisah tentang perangai seorang pelakon wanita cantik yang tak habis-habis buat perangai. Semuanya bermula apabila kawan baik Mizz Lahar, Cik Seputih Hati pergi menonton sebuah teater melibatkan pelakon tersebut baru-baru ini.

Cik Seputih Hati ni memang penggemar teater. Namakan sahaja tajuk teater yang pernah dipentaskan, hampir semua daripadanya telah ditonton. Jadi, tentulah teater lakonan pelakon wanita berdarah kacukan itu termasuk dalam senarai wajib tontonnya!

Sepanjang pementasan, Cik Seputih Hati berpuas hati dengan lakonan pelakon tersebut, cuma, sesekali, pelakon itu dilihat terlalu menggedik sehingga beberapa kali dilihat memeluk pelakon lelaki utama teater tersebut. Amboi!

Kata Cik Seputih Hati, pelakon lelaki tersebut nampak kaget dan nampak kurang selesa apabila ada orang terlebih mesra dengannya.

Mizz Lahar rasa, mungkin pelakon wanita itu memang sedang menjiwai watak sehingga menunjukkan kemesraan yang terlampau di atas pentas.

Lagipun, dia merupakan seorang profesional dan sudah beberapa kali melakonkan adegan mesra dengan pelakon lelaki lain. Selama ini, tidak pernah pun tercetus sebarang isu. Jadi, dia mungkin tak rasa apa-apa, cuma mata yang memandangnya sahaja rasa semacam.

MIZZ LAHAR: Ramai yang mengutuk peserta rancangan Clever Girl Malaysia yang tak bijak sebagaimana tajuknya. Mizz Lahar faham apa itu gugup. Nak jawab soalan, ‘awak kat mana? Awak, awak kat mana’ pun kadang-kadang cuak, inikan pula nak berdepan kamera untuk siaran satu Malaysia. Memang susah sangatlah.

SEJAK kebelakangan ni, Mizz Lahar begitu sibuk dengan kerja, sampai pulang ke rumah pun hampir tengah malam. Maklumlah, masih fasa awal tahun. Kerja tertunggak tahun lepas pun masih banyak yang perlu diselesaikan.

Jadi, bagi merehatkan minda, Mizz Lahar pun bercadang untuk menonton televisyen kawannya nak dijadikan pil tidur. Bila ditekan punat kawalan jauh beberapa kali, mata Mizz Lahar tertumpu pada sebuah drama bersiri baharu yang disiarkan di kaca televisyen iaitu Married Tapi Benci.

Tengok tajuk macam menarik, tapi bila menonton naskhah sebenar, terdiam Mizz Lahar sejenak. Mizz Lahar bukan nak bercakap buruk tentang drama arahan Ahmad Idham tersebut, tapi hakikatnya memang naskhah berkenaan hancur.

Ada satu babak dalam Married Tapi Benci mirip filem Coverina iaitu filem pertama arahan adik Ahmad Idham, Khalid Nadzri. Babak tersebut menampilkan watak utamanya, Kamal lakonan Syafiq Kyle menyamar sebagai penunggang motosikal berkuasa besar wanita semata-mata untuk memenangi hati gadis idamannya.

Kemudian, jalan ceritanya juga dilihat sangat longgar dan menampilkan mesej yang kurang baik untuk tontonan umum. Masakan tidak, watak utama yang dipaksa kahwin kerana ditangkap basah tidak menunjukkan sebarang rasa malu dan ibu bapa mereka juga seperti tidak kisah seolah-olah menyokong perbuatan tersebut.

Sebagai seorang pengarah senior, rasanya Ahmad Idham sepatutnya lebih peka terhadap kandungan dan tema drama yang diarahkan. Bukan sekadar mempertaruhkan tajuk yang macam masuk sahaja dengan trend semasa, tetapi pengisian juga perlu ada tanggungjawab sosial, barulah tidak dilabel drama asal boleh.

Previous Post Next Post