Sentiasa menjaga disiplin dan hubungan baik dengan semua pihak merupakan strategi Zara bertahan dalam Industri.
PELAKON ini pernah memenangi kategori Pasangan Hero dan Heroin Pilihan semasa pertama kali Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) diadakan pada 2014.
Ketika itu dia bergandingan bersama Azlee Khairi menerusi drama Love You Mr. Arrogant. Tidak dinafikan, drama yang ditayangkan di TV3 itu benar-benar melonjakkan nama Zara Zya sehingga meraih pelbagai kemenangan.
Namun bagaikan badi, selepas kemenangan tersebut nama pelakon berusia 31 tahun itu kurang menjadi sebutan. Malah, tawaran lakonan juga semakin berkurangan.
Lebih menyedihkan, perkara itu terjadi akibat dakwaan liar menyatakan selepas memenangi banyak anugerah, Zara lebih memilih untuk menerima tawaran berlakon.
Mengambil langkah berdiam sambil mengatur strategi, ternyata kemunculan kembali dirinya menerusi naskhah Zahira dan Hidayah-Mu Ramadan membuahkan hasil.
Tahun ini, sekali lagi Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin dicalonkan untuk kategori Aktres Pilihan menerusi drama Hidayah-Mu Ramadan dalam DFKL2016 yang akan berlangsung pada 19 Mac nanti.
Enggan perkara lama berulang lagi, Zara yang ditemui di Seri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini bersempena promosi DFKL2016, sempat berkongsi pengalaman yang pernah melandanya dahulu.
ARTISMELETOP!: Tahniah Zara kerana berjaya dicalonkan dalam kategori Aktres Pilihan untuk DFKL tahun ini. Adakah anda meletakkan sasaran untuk menang dalam kategori ini?
ZARA ZYA: Saya tidak pernah meletakkan harapan untuk menang. Tetapi jika rezeki saya menang, ia boleh dianggap sebagai bonus. Bagaimanapun, pada saya jika seseorang itu kalah bukanlah bermakna lakonannya tidak diterima ataupun tidak bagus.
Semasa DFKL2014, anda pernah memenangi kategori Pasangan Hero dan Heroin Pilihan, tetapi untuk tahun 2015 nama anda tidak tersenarai dalam mana-mana kategori, kenapa?
Memang betul dalam DFKL tahun lepas saya tidak dicalonkan untuk mana-mana kategori kerana kurang berlakon ketika itu. Saya tidak menyalahkan sesiapa, tetapi suatu perkara yang dapat dirasakan adalah selepas menerima banyak kemenangan, ramai pihak mula menganggap saya adalah pelakon yang memilih seperti meminta bayaran yang tinggi sehingga penerbit takut untuk memberi tawaran lakonan. Perkara ini membuatkan kerjaya saya menjadi perlahan.
Adakah disebabkan kesan daripada kemenangan itu membuatkan penerbit takut untuk mengambil anda berlakon?
Terus terang, saya tidak boleh cakap 100 peratus kesan dari situ, tetapi memang sedikit sebanyak ia terjadi daripada kemenangan itu. Mereka membuat persepsi sendiri yang kononnya saya merupakan pelakon memilih dan meminta bayaran tinggi.
Risau atau tidak jika badi kemenangan itu berlaku semula?
Kadang-kadang memang saya takut, tetapi siapa yang tidak mahu menang anugerah. Lebih-lebih lagi, anugerah itu akan menjadi bukti untuk ditunjukkan kepada anak cucu. Bagaimanapun, sebagai pelakon yang pernah merasai pengalaman tersebut, saya harus kuat menepis dakwaan dan merubah persepsi negatif itu. Tidak semestinya apabila sudah menang, artis itu akan mula meminta yang bukan-bukan. Alhamdulillah, sekarang ini rezeki terhadap lakonan semakin mencurah-curah disebabkan orang mula percaya kepada bakat saya.
Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?
Selepas saya membuat kemunculan kembali dalam beberapa drama, kini rezeki saya tidak putus-putus. Jadual saya sudah dipenuhi dengan tawaran berlakon. Sekarang ini, saya sedang menjalani penggambaran drama Duda Terlajak Laris bersama Idris Khan. Dalam masa sama juga saya menjadi pengacara untuk rancangan realiti Kilauan Emas Otai dan kemudian akan memulakan penggambaran drama Tuan Anas Mikhael Raya serta telemovie Isteriku Bukan Tukang Masak 2.
Anda dilihat antara pelakon yang sudah lama dalam industri tanah air, biarpun nama tenggelam timbul tetapi berjaya membuktikan anda bukanlah artis semusim sahaja. Mungkin boleh kongsikan strategi untuk bertahan dalam industri?
Perkara utama yang saya lakukan ialah menjaga disiplin diri seperti sampai di lokasi penggambaran tepat pada waktunya. Saya juga tidak suka menerima banyak tawaran berlakon dalam satu masa, kerana takut tidak akan fokus dengan watak yang diberikan. Selain itu, antara perkara yang selalu saya praktikkan ialah menjaga hubungan baik dengan semua.