BRONT menaikkan berat badan daripada 62 kilogram kepada 74 kilogram.
DEMI menjayakan watak seorang jurulatih menyelam bernama Harris dalam filem terbaharu lakonannya, Antara, Bront Palarae sanggup mengubah penampilannya terutama potongan gaya rambut.
Kata Bront, 35, dia telah melalui proses tujuh jam semata-mata untuk mengubah gaya rambut terkini.
Usahanya itu dirasakannya berbaloi untuk mencari kelainan untuk Antara yang mula menjalani penggambaran pada 28 Februari lalu.
“Sekarang, saya dapat rasa bagaimana pakai rambut palsu. Bayangkan, saya perlu bersabar selama tujuh jam untuk potong, sambung, kerinting, potong balik dan mewarnakan rambut ini sehinggalah hasilnya seperti sekarang.
“Saya juga perlu tambah berat badan daripada 62 kilogram menjadi 74 kilogram atas arahan pengarah.
“Semoga usaha kali ini memberikan kelainan kepada penonton nanti,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem Antara di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Hampir lemas
Selain itu, Bront mengakui banyak belajar perkara baharu sepanjang proses latihan sebelum penggambaran filem itu termasuk belajar teknik menyelam dengan betul.
“40 peratus babak saya dalam filem ini adalah di dalam air, sama ada menyelam atau melakukan aktiviti seumpamanya.
“Sebagai sebuah filem yang menitikberatkan aspek teknikal seperti penggambaran di dalam air, kami dikehendaki mengikuti kelas menyelam untuk mempertajamkan kemahiran sebelum betul-betul dicampak dalam air nanti,” kata Bront yang ditawarkan peranan itu Oktober tahun lalu.
BARISAN empat pelakon utama filem Antara (dari kiri), Bront Palarae, Izzaty Abdullah, Aisyah Hasnaa dan Remy Ishak.
Filem arahan Jason Chong itu akan menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Tioman, Pahang.
Selain Bront, filem itu menampilkan Remy Ishak, Ezzaty Abdullah dan Aisyah Hasnaa sebagai pelakon utama.
Sementara itu kata Remy yang akan melakonkan watak Kamar, dia mengakui cuak menantikan babak yang memerlukannya hampir lemas dalam air.
“Ada salah satu babak yang perlukan saya berlakon hampir lemas dalam air, sepanjang latihan saya akui memang memenatkan dan memerlukan lebih banyak tenaga. Silap hari bulan saya mungkin betul-betul lemas,” jelasnya.
Banyak draf
Remy pada mulanya menolak tawaran membintangi filem terbitan Grand Brillance Sdn. Bhd. itu kerana terdapat kelonggaran daripada segi pembangunan karakternya namun selepas digarap beberapa kali dia menyahut cabaran tersebut.
“Skrip filem ini melalui banyak suntingan sebelum sampai peringkat sekarang dan jalan cerita pun ada perubahan. Saya akui saya memilih naskhah yang boleh mencabar saya untuk menjadi pelakon yang lebih bagus.
“Saya tidak mahu mengulangi watak serupa yang pernah saya lakonkan sebelum ini dan rasanya saya ada hak untuk berkata tidak untuk perkara itu,” tegasnya.
Filem bergenre drama cinta itu mengisahkan takdir yang mempertemukan Kamar dan Alya yang membesar bersama seperti pasangan adik-beradik.
Perkongsian kasih sayang yang dibentuk berubah menjadi cinta apabila masing-masing dewasa sehingga Alya memilih untuk keluar daripada lingkungan selamat Kamar dan mengenali Harris yang baru ditemuinya dengan lebih serius.