Julia Ziegler tidak jadi ke Jakarta


JULIA ZIEGLER menyifatkan pengakuannya berhubung kualiti filem Aku Akan Muncul bukan untuk tujuan menghentam. Sebagai pelakon dia juga tidak berhak merasa kecewa apabila kerja lakonannya dirasakan sia-sia.

PENGAKUAN Julia Ziegler yang tidak berpuas hati berhubung mutu filem terbaharu lakonannya, Aku Akan Muncul yang memulakan tayangan pada 27 Februari lalu segera menangkap memori terhadap pengakuan jujur pelawak popular, Nabil Ahmad pada tahun 2010.

Nabil pernah memberikan komen tidak memberangsangkan mengenai filem lakonannya, Lu Fikirlah Sendiri The Movie. Dia berdepan saman sebanyak RM2 juta daripada pihak penerbit filem berkenaan namun, atas dasar budi bicara tuntutan saman itu ditarik balik oleh pihak penerbit.

Mengenepikan seketika soal kontrak, keterbukaan Nabil itu barangkali ada hikmahnya. Berbalik kepada kes Julia Ziegler, kesugulan pada wajah Julia sebaik sahaja habis menyaksikan pratonton Aku Akan Muncul sekitar minggu lalu ternyata tidak dapat disembunyikan.




Julia secara jujur menzahirkan rasa kurang senang yang bergumpal di jiwanya. Dakwa Julia, dia merasa seolah-olah tertipu dengan janji-janji penerbit berhubung soal pemilihan pelakon, skrip serta kualiti penghasilan filem genre seram tersebut.

"Apa yang saya fikirkan sangat berbeza dengan yang dipertontonkan. Terlibat dalam filem sebegini seolah-olah menjejaskan reputasi lakonan saya, saya sedikit tertekan," kata Julia.

Julia Ziegler, 30, melakonkan watak Kesuma, wanita yang pernah hidup pada zaman 1970-an tetapi meninggal dunia akibat termakan sumpah ilmu hitam. Roh Kesuma kembali menghantui masyarakat apabila kubur diganggu sekumpulan pelajar yang sedang membuat kajian arkeologi.

Dalam satu temu bual berasingan, Julia menyifatkan tawaran watak hantu dan antagonis yang sering memihak kepadanya sebagai satu jalan karier yang tidak dapat dielakkan.

"Saya pernah bawa semua watak, baik, gedik, manja dan macam-macam. Sampai ketika ini, saya harus sedar, saya tidak akan mampu memperolehi setiap apa yang saya inginkan. Jadi saya terima jika watak-watak hantu dan antagonis sahaja yang dirasakan sesuai untuk saya. Sebagai pelakon tugas saya ialah menjayakan yang terbaik," jelas Julia.

Tidak terdesak untuk menerima lagi tawaran yang boleh mendatangkan rasa musibat kepada diri sendiri, Julia juga mengundur diri daripada terlibat dengan penggambaran sebuah filem di Jakarta. Dia yang sepatutnya terbang ke Jakarta pada 24 Februari lalu terpaksa membatalkan rancangan berkenaan demi kebaikan kariernya pada masa hadapan.

"Saya masih di Kuala Lumpur, tidak jadi ke Jakarta kerana hati saya merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan pembikinan filem berkenaan. Berhubung kenyataan mengenai filem Aku Akan Muncul, rasanya kenyataan saya bukan berniat untuk menjatuhkan mana-mana pihak. Sebagai pelakon, saya mahukan yang terbaik untuk lakonan dan karier saya, semua orang mahukan yang terbaik begitu juga dengan penonton. Saya harap yang telah menyaksikan filem berkenaan boleh memahami perasaan saya ketika ini," ulas Julia.

Bukan hanya Julia, ada juga segelintir media tidak sanggup menghabiskan tontonan filem berkenaan dan keluar panggung sebelum filem itu habis ditayangkan. Biarpun mendapat kritikan negatif, R. Mohanadas selaku penerbit filem berkenaan masih mempertahankan kualiti filemnya.

Mohanadas dalam reaksi ringkasnya menjelaskan, hasil akhir filem ini boleh dikira bagus.

"Pihak kami juga sudah membuat pratonton dalaman sebanyak lima kali untuk memperbaiki mutu filem itu sebelum ditayangkan kepada umum. Kami tidak tahu mengapa Julia berkata filem ini tidak bagus," jelas Mohanadas sambil menambah bahawa filem itu menjalani proses penambahan kesan khas di India.

Biarpun kecewa berhubung kenyataan Julia, seorang lagi wakil penerbit daripada RM Vision Film Production Sdn. Bhd. menegaskan, pihaknya belum memutuskan untuk memfailkan sebarang tindakan undang-undang atau saman terhadap Julia.
Previous Post Next Post