KISAH cinta tidak kesampaian, putus dan terlerai di tengah jalan, semua itu berlaku di mana-mana, di lokasi penggambaran mahupun di alam rumah tangga sebenar. Antara Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, hanya Ziana yang terkecuali daripada dibayangi detik keruntuhan mahligai bahagia. Awie dan Erra, masing-masing sudah meredah banyak tragedi luka, sama ada dalam percintaan, pertunangan dan perkahwinan.
Kisah dalam panggung wayang acap tidak seindah alam realiti. Lakonan yang dipuji sebagai realistik adakalanya juga tidak seiring emosi si pemain watak itu sendiri.
Jika tidak satu Malaysia, rasa-rasanya tiga perempat pengikut dunia hiburan sudah maklum bahawa Awie, Erra dan Ziana sedang membikin sebuah sejarah. Mereka turut mengadaptasi dan memutarkan semula detik kegemilangan yang dikecapi saat kejora karier mula bersinar terang di langit industri.
"Dahulu, lakonan kami tidak berjaya, tidak kesampaian. Lakonan kami yang dahulu satu kegagalan. Ia gagal menjadi realiti," ungkit Awie merujuk kepada perhubungan silamnya bersama Erra Fazira saat mula bercerita tentang gelora emosi menjelang malam pembukaan Konsert Teaterikal Suara Kita, esok.
Kata Awie lagi, 'kegagalan' itu antara faktor yang barangkali membawa mereka untuk kekal diingati dan mendewasakan mereka sehingga ke hari ini.
"Saya semakin berani menerima mandat sebagai pelakon. Sebagai pelakon teater contohnya, saya pernah diberi penghargaan dalam bidang teater. Erra juga begitu, selepas filem-filem bersama saya, dia memperoleh kejayaan menggondol banyak anugerah dalam filem-filem lain. Dia pernah mendapat anugerah Pelakon Wanita Terbaik. Maksudnya kami sudah matang. Mungkin penonton juga akan dapat melihat sebuah persembahan, sebuah lakon semula yang lebih baik berbanding filem-filem kami yang dahulu.
"Sejak kami kembali menjadi sahabat dalam industri, keserasian kami sangat baik. Sebagai penerbit, saya rasa gabungan kami bertiga ini akan kembali jadi fenomena," ungkap Awie yang berduet menyanyikan lagu baharu berjudul Cinta Makrifat bersama Erra.
SETELAH perkahwinan keduanya berakhir dengan perceraian, Erra berdepan banyak tohmahan masyarakat apatah lagi dia kini bergelar janda. Mampukah Erra dan Awie 'bercinta' lagi untuk memperbaiki kegagalan silam?
Erra berpeluk dalam edah
Ziana dan Erra tidak hanya termangu di sisinya. Di pentas Panggung Sari nanti, Erra yang semestinya akan menjadi titik perhatian umum. Perceraiannya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 18 Februari lalu bagaikan tiket pemanas. Status Erra sebagai janda yang masih dalam edah itu juga sudah menerbitkan aura sensasi.
Sudah banyak bunyi yang kedengaran, bunyi kurang senang terhadap babak romantis pasangan yang pernah putus tunang itu. Ada yang berasakan konsert itu sebuah manipulasi emosi. Menambah bahang, rakaman adegan romantis Awie dan Erra dikatakan tidak menghormati tempoh edah Erra yang masih berbaki tiga bulan.
Demi kelangsungan percintaan semula selepas berkerat rotan pada penghujung 1998 itu, Erra turut meminta situasinya yang dalam edah itu turut difahami pengarah teaterikal, Erma Fatima.
"Sebelum membuat keputusan tentang babak-babak penting dalam segmen teaterikal nanti, kami telah duduk berbincang terlebih dulu dan mujurlah Erma memahami," kata Erra.
Sebagai penerbit, sudah tentunya Awie sendiri tidak mahu sebarang skeptikal membayangi 'anak sulung' yang lahir daripada Awie Entertainment Sdn. Bhd itu.
"Saya bukan mahu memanipulasi keadaan atau apa yang pernah kami lalui dahulu, tetapi mahu mengajak penonton dan peminat bersama-sama menjelajah semula momen-momen yang saya percaya masih terpahat di jiwa ramai," tegas Awie.
Pasrah dengan skeptikal umum, Erra bagaimanapun tidaklah terlalu lemah untuk berdepan dan menghadam semua tanggapan ramai terhadap dirinya.
"Soal tarikan atau persepsi umum, perkara itu tidak mampu kami basuh. Kalau boleh kami mahu skeptikal itu jangan diperbesarkan tetapi perkara itu tidak boleh dielak.
"Kepada masyarakat yang berfikir begitu (keintiman bersama Awie), terpulang. Saya tidak boleh hentikannya," ujar Erra yang memohon pengertian.
ZIANA ZAIN teruja berkampung semula bersama Erra dan Awie dalam menjayakan sebuah produksi besar.
Keselesaan Ziana Zain
Berada di tengah-tengah antara Erra dan Awie, penyanyi berkening lentik, Ziana Zain bukanlah watak tambahan. Ketika Erra dan Awie harus menelan banyak andaian daripada khalayak umum, Ziana turut tidak boleh merasa selesa hanya kerana kisah peribadinya tidak dicanang orang.
Kehidupan berkeluarga menjadikan Ziana agak pemilih bahkan agak jarang peminat berpeluang menyaksikan Ziana untuk terlibat dalam mana-mana persembahan mega. Ziana seperti sudah punya banyak masa untuk merelakan jadual menguruskan anak-anak dan suami diketepikan semata-mata untuk kembali berseronok bersama rakan-rakan. Dia kembali bergelumang dengan rejim latihan intensif bukan hanya untuk sebuah konsert tetapi berteater dalam disiplin lakonan yang ketat.
"Mujur juga tawaran ini datang ketika anak-anak sudah boleh ditinggalkan memandangkan mereka sudah besar. Anak yang sulung sudah tinggal di asrama. Saya sudah berkompromi dengan suami tentang jadual latihan dan persembahan nanti," terang Ziana dalam nada ceria.
Menjadi orang pertama yang mendengar suara hati Awie mengenai hasrat mengembalikan nostalgia lima buah filem lakonan mereka bersama, Ziana berpegang kepada janji. Dia sudah awal-awal lagi memberi kata setuju mengenai konsert yang diilham oleh Awie itu.
"Rasanya dua tahun lepas, Awie berjanji kepada saya untuk menganjurkan konsert ini. Mula-mula ingatkan tak jadi, senyap sahaja, tetapi hujung tahun lepas mula nampak keseriusan Awie. Inilah yang dikatakan rezeki, saya percaya Tuhan telah aturkan yang terbaik untuk perjalanan dan usaha kami ini," ujar Ziana yang berbesar hati atas penerimaan umum terhadap perjalanan seninya sejak lebih 20 tahun lepas.
Bermula dengan Madah Berhelah, kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu masih mempunyai nilai eksklusif setiap kali muncul di pentas-pentas hiburan.
"Pada usia 46 tahun, saya bangga menjadi diri saya. Saya lebih berkeyakinan dan selesa dengan kematangan saya sebagai wanita, isteri dan ibu berkarier.
ESOK bermulalah sebuah penjelajahan semula Erra, Awie dan Ziana ke dunia layar Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana 2 dan Merah yang ditinggalkan mereka hampir 20 tahun lalu menerusi Konsert Teaterikal Suara Kita.
"Selama 20 tahun ini juga, kami bertiga tidak pernah menghilang, ada sahaja permintaan bahkan saya merasakan Awie merupakan seorang rakan duet yang sangat serasi dengan saya," kata Ziana yang mempunyai empat orang anak termasuk sepasang anak kembar lelaki dan perempuan yang kini berumur lima tahun.
Kembali berkampung bersama rakan-rakan seangkatan untuk sebuah konsert teaterikal, projek itu seumpama pengubat rindu Ziana untuk kembali menikmati momen bekerja sebagaimana yang pernah dilalui ketika zaman tidak berkeluarga dahulu.
Untuk persembahan bermula 3 hingga 9 Mac itu, Konsert Suara Kita turut menawarkan keseronokan berganda buat peminat tegar Awie, Erra dan Ziana. Setiap pembeli tiket berpeluang menyertai parti kemuncak bersama tiga penghibur berkenaan pada malam 9 Mac dengan bayaran sebanyak RM150.
Konsert Teaterikal Suara Kita turut memberikan potongan 15 peratus untuk semua harga tiket kepada warga emas, pelajar, golongan kurang upaya dan pembelian berkumpulan minimum untuk 15 orang.