W.A.R mencari keserasian bersama


BIARPUN W.A.R baru ditubuhkan namun pengalaman mereka bersama kumpulan lain sebelum ini memberikan kelebihan buat mereka mencari kelainan dalam penghasilan karya yang lebih bermutu.
BAND We Are Raven (W.A.R) melakar sejarah tersendiri setelah ditubuhkan pada akhir tahun 2012 apabila berjaya mengumpul empat ahli daripada empat band lain di bawah satu kumpulan.

Gabungan itu nyata memberi kelainan dalam penghasilan karya yang lebih bertenaga dan kreatif.

Bergerak tanpa label popular, kumpulan ini yang dianggotai oleh vokalis Beautiful Tragedies, Tia Tourmaline; pemain gitar Bottlecapt, Ewin Lunar; basis Tragic Behind Tragedies, Djent Jia dan keyboardist dari Aswara, Nadrah Zainal Abidin tentunya sudah lama dinantikan oleh kebanyakan peminat tempatan.

Maklumlah jarang kumpulan wanita bersama mendendangkan lagu rock di arena arus perdana maka peluang buat empat gadis ayu ini lebih terbuka.




Walaupun kehadiran mereka boleh dilabelkan sekadar sebuah percubaan atau lebih kepada projek band namun berdasarkan kepada aura dan kebolehan masing-masing kerjasama itu merupakan suatu pilihan yang sangat bijak.

Berbekalkan pengalaman yang ada, setiap kali empat gadis ini bersama ada sahaja idea kreatif tercetus sekaligus bakal memberikan impak positif kepada para peminat.

Kombinasi unik yang dibawa mereka amat menyenangkan dan dengan mudah W.A.R menawan hati peminat indie tanpa mengira peringkat umur.

Menurut Tia selaku vokalis utama, untuk menubuhkan sesebuah kumpulan bukanlah suatu yang mudah lebih-lebih lagi kumpulan yang dianggotai oleh wanita kesemuanya.

"Untuk mengenali di antara satu sama lain memerlukan masa yang agak lama namun setelah serasi sudah tentu ia akan berkekalan," katanya ketika ditemui di FJ Photography Studio, Shah Alam, Selangor.

Ujar Ewin Lunar selaku pemain gitar, setelah hampir setahun bersama keserasian itu datang dengan sendirinya.

"Muzik membuatkan kami lebih erat malah melalui muzik juga kami berkerjasama dalam penghasilan lagu-lagu yang lebih segar," katanya.

Bagi pemain bass, Djent Jia pula, kerjasama mereka mampu melahirkan sebuah kumpulan yang mempunyai sentuhan cukup unik.

"We Are Raven ada bunyi yang tersendiri oleh itu silalah dengar sendiri lagu kami," katanya.

Tambah keyboardistnya, Nadrah Zainal Abidin, memandangkan mereka daripada kumpulan berbeza hal itu membolehkan mereka menyerap pelbagai elemen berbeza dalam lirik dan muzik.

"Gabungan pelbagai elemen dalam muzik W.A.R yang dieksperimentasikan bermula daripada suka-suka namun hasilnya sangat baik dan sebab itu kami nak mencuba nasib untuk bersama," katanya,

Sehingga kini mereka telah berjaya menghasilkan tiga buah single namun hanya satu yang telah dipasarkan iaitu lagu yang bertajuk Kembalilah dan selebihnya bakal diterbitkan tidak lama lagi.

Jika single ini mendapat sambutan kata mereka berempat, W.A.R merancang untuk menghasilkan album penuh pada tahun ini.

Bagaimanapun, sebelum menghasilkan album penuh mereka terlebih dahulu ingin mencari pemain drum bagi mengisi kekosongan yang ada.

Kenali mereka menerusi laman www.facebook.com/WeAreRaven?fref=ts atau muat turun sahaja lagu mereka di laman www.reverbnation.com/weareravenmy.
Previous Post Next Post