BELUM reda dengan misteri kehilangan MH370, Malaysia sekali lagi menjadi perhatian umum apabila enam individu meninggal dunia ketika menghadiri konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014.
Didakwa mengambil dadah secara berlebihan semasa menghadiri konsert yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil itu, 15 individu lagi dirawat di hospital.
Konsert yang diberikan jolokan pesta muzik elektronik terbesar di Asia Tenggara itu menampilkan nama-nama besar muzik antarabangsa termasuk pemenang anugerah Grammy seperti Pharell Williams, Macklemore & Ryan Lewis dan turut dibarisi lebih 70 band.
Walaupun konsert itu telah dibatalkan, namun insiden berkenaan memberi impak buruk kepada negara, apatah lagi seluruh masyarakat masih belum menerima perkhabaran mengenai kehilangan pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Semakin menambahkan permasalahan yang ada, kejadian ini memberi persepsi negatif kepada negara terutamanya industri muzik.
Malah, ada juga yang berpendapat bahawa pihak berkuasa di negara kita memandang enteng situasi ini yang dilihat boleh memusnahkan golongan belia.
Menjadi persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakan penganjur, pihak berkuasa mahupun pengedar pil-pil khayal yang berleluasa di sana sini?
Adakah pelaku itu perlu bertanggungjawab terhadap diri sendiri sehingga terjerumus ke arah kehidupan yang tidak jauh beza dengan budaya barat?
Walaupun konsert ini melibatkan pembabitan artis luar negara, namun insiden ini pastinya memberi tekanan besar buat orang-orang industri dan memberi pemahaman kabur mengenai konsert yang diadakan di negara kita.
Di kesempatan ini, Zass mendapatkan pandangan dan reaksi daripada Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim berhubung isu konsert berkenaan.
Sebagai orang seni yang juga pucuk pimpinan RIM, apa pandangan anda mengenai kejadian ini?
Sejujurnya, saya amat sedih dengan situasi ini dan kecewa kerana ianya berlaku di negara kita.
Apa yang saya nampak, ada di antara golongan remaja kini semakin hilang arah dan cuba mengambil kesempatan di atas peluang yang diberikan kerajaan dalam membenarkan konsert-konsert luar negara diadakan di negara kita. Malah, perilaku mereka juga turut memberi persepsi negatif orang ramai mengenai konsert dan gambaran buruk kepada negara luar.
Adakah kebanyakan konsert yang membabitkan artis luar negara akan dicemari dengan najis dadah?
Dalam hal ini, kita tidak boleh berfikir secara stereotaip kerana tidak semua konsert akan dicemari dengan dadah. Kalau satu ketika dahulu, orang ramai sering mengaitkan pengambilan dadah dengan konsert-konsert ‘heavy’ rock, namun kini, tumpuan para pengedar dadah ini lebih tertumpu kepada konsert beraliran, Electronic Music Dance (EMD) dan juga di kelab-kelab malam berkonsep ‘techno’. Malah, konsert dan kelab malam sebegini seakan-akan mempunyai kuasa untuk menarik golongan ini.
Namun, janganlah pula kesemua konsert yang diadakan dijadikan ‘kambing hitam’ ekoran kejadian ini.
Individu yang menjadi mangsa dadah itu juga terdiri di kalangan belia Melayu Islam yang seakan-akan dahagakan hiburan secara hedonisme, apa pendapat anda?
Saya kecewa dengan mereka kerana sanggup memilih jalan ini sebagai cara untuk berhibur. Malah, ada di antara mereka yang tidak cukup matang untuk berhibur.
Saya tidak rasa konsert itu boleh memudaratkan walaupun melibatkan artis luar negara kerana tanpa dadah, ia tetap terkawal. Namun, saya juga turut terkilan dengan sikap pengedar dadah yang sengaja mencari peluang untuk memberi ‘hiburan’ yang tidak sepatutnya kepada golongan ini.
Bagaimanakah pengambilan dadah ini boleh didapati secara mudah dalam konsert seperti ini? Adakah ianya menjadi tanggungjawab penganjur?
Saya tidak rasa penganjur adalah pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah di konsert berkenaan kerana ia kebanyakannya didalangi sekumpulan pengedar yang cuba mencari ‘mangsa’ baharu.
Malah, untuk mengawasi konsert sebegini juga menjadi sesuatu perkara yang sukar kerana ianya boleh dibawa dan diletakkan dalam tempat yang tersorok seperti di poket atau di bahagian-bahagian lain kerana saiznya yang kecil. Kemungkinan besar, golongan pengedar itu akan menawarkan dadah berkenaan di luar konsert berkenaan.
Dalam hal ini, siapakah yang patut dipersalahkan?
Diri sendiri sepatutnya lebih bijak dalam membuat keputusan kerana kita tidak perlu menyalahkan orang lain di atas kesalahan kita. Kenapa perlu salahkan penganjur ataupun kerajaan jika diri sendiri tidak dapat membezakan antara kebaikan dan keburukan?
Situasi ini sama seperti kerajaan menyediakan jalan raya untuk pemandu. Namun, sekiranya ada pemandu yang cuai dan terlibat dalam kemalangan, adakah kerajaan yang patut dipersalahkan atau pihak yang menyiapkan jalan raya itu? Tepuk dada, tanya selera!
Adakah konsert sebegini masih relevan untuk diadakan di negara kita?
Sebenarnya, konsert yang membabitkan artis luar negara juga turut mendapat perhatian golongan muda di negara kita.
Saya tidak nampak konsert ini adalah satu perkara yang tidak relevan diadakan di negara kita, namun ia memerlukan pemantauan yang lebih teliti.
Namun, konsert yang menampilkan konsep EMD atau techno ini seharusnya perlu diberi perhatian dan pihak berkuasa harus lebih peka, adakah ianya perlu, dikurangkan atau ditiadakan. Ini kerana, ia adalah ‘sarang’ kepada pengedaran dadah. Penguatkuasaan perlu dilakukan dengan lebih teliti agar perkara sebegini tidak berulang lagi.
Adakah insiden ini memberi impak buruk kepada industri tempatan?
Saya bimbang akan persepsi orang mengenai konsert. Walaupun kita tahu setiap konsert mempunyai konsep yang berbeza, namun saya risau jika masyarakat terus ‘pukul rata’ mengenai konsert yang diadakan.
Ianya secara tidak langsung memberi impak yang tidak sepatutnya terhadap industri. Saya berharap agar insiden ini memberi pengajaran dan iktibar kepada golongan berkenaan agar lebih bijak memilih hiburan yang bersesuaian dan tidak sewenang-wenangnya berani mengambil dadah.
ARTISMELETOP: Adik-Adik tak perlu la ambil dadah tu makan dadih kan lagi elok? Eh...