Ratu Hip Hop, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman tidak menyesal membatalkan hasratnya untuk melancarkan album terbaru. Kongsinya, setelah pulang daripada mengerjakan haji, dia ada terfikir untuk tetap terlibat dalam bidang muzik. Namun selepas berfikir dua kali, dia yakin dengan keputusannya.
“Alhamdulillah, tak susah sebenarnya untuk membuat keputusan ini sebab rasa cinta saya buat Allah SWT lebih besar dari cinta saya kepada dunia dan bidang muzik,” kata isteri kepada Noh Salleh ini.
Jelas Mizz Nina, dia puas dengan pencapaiannya dalam bidang muzik dan sudah tiba masanya untuk dia memberi fokus dalam bidang perniagaan dan sesuatu yang dapat menjamin masa depan.
“Dah tiba masanya untuk saya berehat dalam dunia seni. Saya dah buat apa yang saya nak buat dan sekarang saya ingin fokus pada perniagaan atau mungkin terlibat dalam bidang pengacaraan pula. Saya dah tak mahu menyanyi di depan penonton lelaki sebab ia bertentangan dengan kepercayaan saya sekarang,” kata Mizz Nina yang sibuk mengendalikan perniagaan pakaian muslimah, Madeena.
Bercakap tentang perniagaan tersebut, katanya dia ingin mengembangkan perniagaan pakaian muslimah dengan mencuba memasuki pasaran halal.
“Melalui Madeena, banyak benda yang saya boleh buat. Bukan sekadar menjual pakaian muslimah tapi saya bercadang untuk mengembangkannya dengan menjual minyak wangi dan alat solek halal,” katanya.
Dalam pada itu, Mizz Nina khabarnya akan menutup jenama pakaiannya sebelum ini, Mizz Demeanor kerana mahu fokus pada satu perniagaan.
“Selain menjual jubbah dan abaya, Madeena turut mengetengahkan ‘street fashion’ seperti skirt dan jaket, sama seperti apa yang ada dalam Mizz Demeanor. Jadi, lebih baik saya fokus pada Madeena,” kata Mizz Nina menjelaskan nama Madeena itu sungguh bermakna buat dirinya.
“Saya suka nama yang mempunyai huruf M dan D. Saya juga suka Madinah. Selain itu, dalam nama Madeena ada perkataan ‘deen’ yang bermaksud agama,” jelasnya mengakhiri bicara.