RABECCA memakai tudung atas kehendak sendiri.
HIDAYAH untuk berubah daripada mendedahkan aurat kepada bertudung boleh datang di mana-mana sahaja. Ia tidak semestinya sewaktu berada di Madinah atau Mekah, malah ia juga boleh berlaku dalam rumah sendiri.
Itu adalah pengalaman yang dilalui sendiri oleh pelakon seksi Rabecca Nur Islam. Suatu ketika dulu, dia memang terkenal dengan imejnya yang seksi. Namun, perubahan imejnya itu terpancar selepas dia menunaikan umrah baru-baru ini.
Menurut pelakon berusia 28 tahun ini, dia mendapat hidayah untuk bertudung selepas pulang dari Tanah Suci itu. Katanya, setelah melihat wajah di cermin dia mula mendapati seakan-akan ada tidak kena dengan dirinya.
Saya balik dari Mekah pada hari Isnin. Pada pagi hari Selasa saya mahu melawat pelakon Noniswara di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Saya bersiap-siap dan melihat wajah saya di cermin yang nampak macam pelik sedikit.
Rasa hati tidak selesa dan macam ada yang tidak kena dengan cermin itu. Saya kemudiannya tanya kepada orang gaji sama ada dia sudah lama tidak lap cermin tu ke? Dia kata cermin itu sudah dibersihkan dan terang macam biasa sahaja.
Saya tidak puas hati dan masuk pula ke dalam bilik air sampai 45 minit tengok muka saya dengan cermin yang ada di situ. Selepas itu, saya pun cuba-cuba pakai tudung dan baharulah saya rasa ia macam kena dengan muka saya.
Semasa melawat Noniswara yang sedang sakit dia terkejut dengan imej baharu saya itu. Suami saya di rumah juga terkejut dengan perubahan saya itu," katanya kepada Mega semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Jelas pelakon drama televisyen popular Jangan Tegur Lagi ini, dia mengerjakan umrah selama 12 hari pada 29 Januari lalu bersama ahli-ahli keluarganya seramai 38 orang tetapi belum terbuka hati untuk bertudung.
Namun, sehari selepas pulang dari Mekah, dia tanpa paksaan daripada mana-mana pihak telah cuba memakai tudung dan terus memenuhi tuntutan Islam itu sehingga ke hari ini.
Saya pada mulanya cuba untuk bertudung selama tiga hari dan selepas itu saya dapati ia serasi dengan diri saya. Sejak itu saya berazam tidak mahu buka tudung dan kalau boleh saya mahu istiqamah supaya terus bertudung," ujarnya.
Dipermudahkan ibadah
Sama seperti bertudung, Rabecca menerima kunjungan ke Madinah dan Mekah tanpa dirancang. Dia menerima pelawaan itu daripada suaminya, Nor Azam Sulaiman, 46, dan sanak saudara yang turut mendorongnya.
Malah, dia juga mahu mengerjakan ibadah umrah kerana mahu mendekatkan diri selain merasai pengalaman berada di tempat yang menjadi tumpuan jutaan umat Islam dari seluruh dunia itu buat pertama kalinya.
Ibu kepada lima orang anak ini bersyukur kerana sepanjang berada di dua Tanah Suci itu dia dapat melupakan seketika dunianya dalam bidang lakonan dan dapat beribadah dengan tenang serta mudah tanpa dugaan yang besar.
Ini kali pertama saya pergi umrah. Saya memang rasa teruja kerana saya sendiri tidak menduga dalam waktu terdekat boleh sampai ke sana. Bayangkan ketika itu jutaan orang sedang beribadah terutama di sekitar Kaabah.
Saya tidak boleh bayangkan macam manalah agaknya kalau pada musim haji. Saya sangat teruja sampaikan 24 jam pertama semasa sampai di sana saya tidak boleh tidur. Apatah lagi, hotel tempat penginapan saya dekat Kaabah.
Kalau jalan kaki cuma lima minit sahaja. Orang kata susah hendak cium batu Hajarul Aswad tetapi saya dipermudahkan Allah. Orang ramai himpit dan tolak saya sedikit demi sedikit dan akhirnya dapat cium batu itu," katanya.
Selain di Kaabah, Rabecca dan sanak keluarganya turut melawat banyak tempat penting seperti Ar-Raudhah yang menjadi tumpuan ramai umat Islam bersolat dan tempat yang amat mustajab untuk berdoa itu.
Namun, sekali lagi atas dorongan dan kehendak Allah pelakon berasal Kampung Melayu Datuk Sulaiman, Majidee Baru, Johor Bahru, Johor, ini tidak dapat melupakan peristiwa yang menyentuh perasaannya sewaktu berada di situ.
Semasa di Ar-Raudhah itu, saya bernasib baik kerana datang awal pada hari itu dan dapat bersolat sunat di situ. Apabila pintu tempat itu dibuka maka ramailah orang yang berebut-rebut mahu berada di kawasan karpet hijau itu.
Selepas saya habis solat saya ternampak seorang kanak-kanak yang telah terpisah daripada ibunya dan saya kemudiannya mengangkat kanak-kanak itu daripada dipijak oleh orang ramai yang berasak-asak mahu bersolat di situ.
Saya bersyukur kerana dapat menyerahkan semula kanak-kanak itu kepada ibunya selepas dekat 30 minit dia berada dalam jagaan saya. Saya tidak dapat melupakan peristiwa itu kerana ia adalah saat-saat yang mencemaskan.
Apa pun saya puas hati kerana dapat berdoa di situ. Selain berdoa untuk diri sendiri saya juga berdoa untuk keselamatan umat Islam keseluruhannya. Itulah yang termampu saya fikir dan lakukan ketika itu," jelasnya.