Teaterikal Awie, Erra dan Ziana mantap



Gandingan tiga artis ternama, Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain menerusi konsert Teaterikal Suara Kita nyata tidak menghampakan kira-kira 1,500 penonton yang memenuhi Panggung Sari Istana Budaya di sini malam ini apabila mempamerkan persembahan yang mantap dan menghiburkan.

Dimulakan dengan nyanyian lagu popular secara medley oleh ketiga-tiga penyanyi berkenaan, konsert tersebut dilihat berjaya mengembalikan semula nostalgia penonton terhadap lagu-lagu yang pernah popular sekitar era 1990-an.

Bukan itu sahaja, lakonan teater yang dipetik daripada lima buah filem lakonan mereka iaitu Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana dan Merah juga menjadi 'perisa' kepada pementasan itu dek wujudnya adegan-adegan lucu yang mencuit hati.




Lebih menarik, apabila Erma Fatima selaku pengarah persembahan bijak menghubung kaitkan babak-babak 'trademark' kelima-lima filem tersebut menjadi satu karya segar sebagai pembaharuan untuk dihayati oleh penonton.

Bagi penonton yang mengikuti perkembangan Awie dan Erra Fazira kira-kira 20 tahun lalu, teaterikal itu satu bonus buat mereka untuk mengimbas kembali saat-saat indah percintaan pasangan tersebut ketika bergelar merpati sejoli.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan Suara Kita, tiket berharga RM79 sehingga RM499 boleh dibeli di kaunter Istana Budaya selain melayari laman web www.ticket2.biz
Previous Post Next Post