Adira Bersimpati Dengan Lana Nordin



Pelantun lagu ‘Ku Ada Kamu’, Adira mengakui bersimpati dengan pelakon kontroversi, Lana Nordin apabila dikaitkan sebagai punca keretakan hubungan cintanya dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBB1M), Shahrul Nasrun Kamarudin.

Adira ketika ditemui pada sidang media Minggu Setiausaha, ‘A Golden Moment With Hafiz’, di restoran Serai, Live Centre pada Isnin turut memberitahu hubungannya dengan Sharul masih berjalan seperti biasa dan menafikan mengenai gosip yang timbul sebelum ini.

“Saya bersimpati dengan dia (Lana) kerana tiba-tiba sahaja namanya dikaitkan dengan cerita ini. Perkara ini sekadar khabar angin jadi saya tidak mempercayainya, malah saya juga turut terkejut dengan gosip yang timbul sebelum ini,” ujar Adira kepada GUA.

Gosip keretakan hubungan Adira dan Shahrul mula timbul apabila gadis berusia 24 tahun itu mengambil tindakan untuk memadam beberapa keping gambar yang melibatkan Shahrul di akaun Instagram miliknya.





Adira bagaimanapun menegaskan yang keputusan tersebut diambil bagi menutup mulut pihak yang sering memberi komen negatif. Selain itu, timbul juga dakwaan kononnya Shahrul ada menghantar beberapa pesanan ringkas kepada Lana sekaligus mengundang spekulasi banyak pihak serta menguatkan lagi gosip hubungan Adira dengan Shahrul sudah putus.

“Masih ada lagi gambar-gambar saya bersama Shahrul namun ada sesetengah daripadanya terpaksa saya padam bagi mengelakkan orang daripada bercakap serta memberi komen yang tidak berapa elok. Walau bagaimanapun, hubungan kami masih lagi seperti biasa namun saya menyerahkan segalanya kepada jodoh. Buat masa ini saya tidak ada perancangan untuk berkahwin kerana ingin fokus kepada bidang nyanyian,” tutur penyanyi putih gebu ini.

Dalam perkembangan lain, Adira bakal muncul sebagai artis jemputan pada Minggu Setiausaha bersama Hafiz Suip dengan menyampaikan dua buah lagu solo serta dua buah lagu duet. Selain itu, Adira juga bakal tampil dengan album terbaru berjudul ‘Swan’ dalam jangka masa terdekat ini.
Previous Post Next Post