PERNAH bercitacita menjadi doktor namun tidak kesampaian.
KEJAYAANNYA ditabalkan selaku juara sebuah pertandingan pencarian bakat, akhirnya membuka pintu rezeki buat gadis berusia 28 tahun ini untuk terjun ke dunia penyiaran tempatan.
Dilahirkan di Jeli, Kelantan dan dibesarkan di Kuantan, Pahang, pemilik nama Khairu Norliza Khairudin atau Liza tidak menjangka pembabitannya dalam pertandingan itu mampu menerbitkan sinar terhadap kerjaya yang tidak pernah terlintas di benak fikirannya.
Menggenggam kelulusan Diploma Kewartawanan daripada Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) atau dikenali sebagai Akademi TV3, Liza memberitahu, bahawa cita-citanya sedari kecil adalah untuk bergelar doktor perubatan, namun hasrat tersebut terpaksa dilupakan buat selama-lamanya.
Menyelak semula memori zaman persekolahannya, cerita Liza, bidang kedoktoran merupakan bidang pilihan yang acap kali keluar daripada mulutnya jika seseorang bertanyakan mengenai cita-citanya.
Namun, dek kerana perjalanan yag sukar dan mencabar untuk mendapatkan segulung ijazah dalam bidang tersebut, saya terpaksa akur dengan kemampuan sendiri dan mula memikirkan plan B yang tidak pernah wujud sama sekali.
Entah dari mana, timbul idea untuk terjun ke bidang penyiaran walaupun pada dasarnya, saya tidak tahu menahu mengenai dunia tersebut selain hanya mengetahui bahawa ia akan menjadikan diri saya sebagai seorang pemberita atau yang seangkatan dengannya.
Walaupun kecewa kerana gagal meneruskan pendidikan dalam bidang perubatan, tetapi saya tidak pernah putus asa untuk mencorak masa depan yang baik buat diri sendiri. Saya tidak tunggu lama untuk mengatur kembali langkah bagi memastikan pilihan yang disifatkan sebagai bidan terjun ini benar-benar menjadi," jelasnya ketika menjayakan sesi fotografi bersama Hits di Bandar Utama baru-baru ini.
Menurut Liza, percaturannya untuk beralih arah membuahkan hasil lantaran rasa cinta terhadap penyiaran yang timbul hari demi hari lantas mengecapi kejayaan demi kejayaan.
Sibuk tapi seronok
DEK kesibukannya menguruskan tiga karier sekali gus selaku penyampai radio dan pengacara televisyen, selain penulis jemputan untuk sebuah akhbar tempatan, Liza mengakui masanya begitu terhad untuk bersantai bersama rakan-rakannya, termasuk ahli keluarganya sendiri.
Walau bagaimana sekalipun, Liza menegaskan bahawa dia harus bijak membahagikan masa agar masih mampu memberi ruang dan peluang kepada diri sendiri untuk berehat supaya tidak begitu tertekan dengan alam baharu yang ditempuhinya.
Saya baru sahaja memasuki bulan keempat di sini dan buat masa ini, segalanya berjalan dengan lancar. Pada awalnya, saya akui agak kelam kabut menguruskan jadual harian tetapi ia semakin tersusun sedikit demi sedikit.
Buat masa ini, saya lebih fokus terhadap kerjaya berbanding kehidupan sosial sehinggalah ia stabil. Insya-Allah dalam sebulan dua lagi, tiada masalah untuk saya kembali bersosial bersama rakan-rakan.
Saya amat rindukan saat keluar bersama teman. Walaupun saya seorang yang lebih gemar menghabiskan masa di rumah, tetapi sesekali jika ramai rakan-rakan berkumpul, saya tidak akan lepaskan peluang untuk bersama mereka," ujarnya.
Mimpi berpanjangan
MENGULAS mengenai kerjayanya selaku penyampai radio di stesen Hot FM, Liza tidak pernah menjangkakan bahawa dia berpeluang berdampingan dengan barisan penyampai ternama seperti Fara Fauzana, AG, Ikhwan, Kieran, Leya dan Suraya.
Hanya mendengar suara mereka di sebalik corong radio berkenaan sejak sekian lama, kini bertugas di bawah bumbung yang sama adalah satu hakikat yang masih sukar untuk diterimanya.
Hot FM adalah radio pilihan saya ketika memandu kereta. Telatah dan kepetahan mereka berkata-kata amat mengujakan dan kadang-kadang saya mengimpikan untuk berada di tempat mereka.
Kini, apabila sudah berada di sini, saya masih lagi tidak percaya dan seperti berada di awang-awangan. Ibarat mimpi yang berpanjangan. Mungkin saya masih baharu lagi dan perlukan masa untuk menerima kenyataan ini," katanya.
Apatah lagi, pada masa yang sama, Liza turut diberi peluang sebagai pengacara program bual bicara popular, Malaysia Hari Ini (MHI) yang bersiaran sejak awal pagi di TV3 di samping barisan pengacara terkenal yang telah lama memahat nama dalam bidang pengacaraan seperti Ally Iskandar, Ahmad Fedtri Yahya , Izwan Azir Salleh dan Nurul Syuhada Nurul Ain.
Disebabkan itu, Liza begitu mengharapkan agar dia cepat sedar daripada terus dibuai mimpi, supaya dapat fokus terhadap karier terbaharu yang sememangnya memberi kejutan budaya terhadap dirinya.
Banyak lagi yang saya perlu pelajari untuk mengukuhkan karier dan berharap abang-abang dan kakak-kakak senior mampu membantu, selain usaha saya sendiri," pintanya.
Pun begitu, walaupun kehidupannya menghadapi perubahan 360 darjah, Liza sekalipun tidak pernah menyesal dengan Plan B yang dipilihnya.
Malah, minatnya semakin mendalam dan menyimpan tekad untuk bergelar pengacara sebuah program majalah yang begitu sinonim dengan TV3 iaitu Nona.
Liza suka menghabiskan masa di rumah berbanding di luar.
Walaupun mempunyai raut muka yang garang, bagaimanapun Liza seorang yang manja.
Pemilik tali pinggang hitam tae kwan do dan sangat cintakan sukan itu
Orang boleh kata apa sahaja tentang Liza tetapi jangan sentuh keluarga Liza.
Takutkan tempat tinggi.
Pernah berlakon dan suka menyanyi.
Bercita-cita untuk mengacara program Nona satu hari nanti jika diberi peluang, itu sasaran dalam kerjaya.
Tidak ramai kawan, yang ada sekarang itulah yang terbaik kerana susah senang mereka bersama.
Menyimpan hasrat untuk bersara awal di usia muda, sebab itulah Liza bekerja kuat.
Percayakan setiap manusia ada tuah dan rezeki masing-masing, jadi teruskan berusaha.
PERNAH bercita-cita menjadi doktor namun tidak kesampaian.
TUAH Liza tiada siapa yang tahu kerana sekarang dia sibuk melaksanakan tugas sebagai penyampai radio dan pengacara televisyen.
Liza tampak garang namun baik hati.
Entah dari mana, timbul idea untuk terjun ke bidang penyiaran walaupun pada dasarnya, saya tidak tahu menahu mengenai dunia tersebut selain hanya mengetahui bahawa ia akan menjadikan diri saya sebagai seorang pemberita atau yang seangkatan dengannya