Ahmad Idham buka akademi filem


Ahmad Idham

PENGARAH dan penerbit filem terkenal, Ahmad Idham mengorak langkah maju ke depan dengan menubuhkan akademi filem, Ahmad Idham Film Academy (AIFA) di Nusajaya, Johor.

"Pekerja yang terlibat dalam bidang industri perfileman, merupakan satu aset yang cukup berharga. Mereka yang dibelakang tabir ini, merupakan tunjang, dalam penghasilan karya berkualiti, sekaligus mempertingkatkan tahap kualiti penghasilan sesebuah filem.

"AIFA merupakan satu inisiatif yang saya ambil, dalam membantu perkembangan industri perfileman tempatan, dengan menyediakan tenaga kerja berkemahiran dan mendapat pendidikan yang bersesuaian," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, cita-cita untuk membantu industri telah lama diimpikan kerana merasa bertanggungjawab sebagai anak seni.

"Melalui Kementerian Sumber Manusia, dibawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berhasrat melahirkan 50 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2020, saya ingin menyahut seruan ini dengan penubuhan sebuah akademi.

"Kewujudan Pinewood Studios, telah mengubah lanskap dan strategi perkembangan industri perfileman tanahair. Pinewood memberi impak yang cukup besar.




"AIFA telah menjalin kerjasama dengan pihak Pinewood dan merupakan batu loncatan kepada bakat baru bidang ini, untuk berkhidmat di Pinewood juga antarabangsa. Sebab itu, saya memilih Nusajaya sebagai lokasi akademi ini," katanya.

AIFA memulakan pengambilan pertama bermula 19 Mei ini dengan menawarkan kursus Produksi Filem/Video (Pengambaran), Sijil Kemahiran Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Pelajar yang mengikuti kursus ini akan diajar selok belok bidang perfileman yang lebih terperinci oleh tenaga pengajar cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing.

"Kursus yang ditawarkan berkonsep vokasional dan praktikal. Ini memberikan setiap pelajar lebih peluang merasai dan mengalami keadaan dan persekitaran kerja sebenar.

"Ianya merupakan satu kelebihan kerana setiap pelajar yang selesai mengikuti kursus ini, sudah mempunyai pengalaman dan bukan sekadar teori," katanya.
Previous Post Next Post