KESUKARAN mendapatkan penajaan bagi pementasan teater bukanlah satu perkara baharu di negara ini. Keadaan itu sebenarnya sudah berlarutan agak lama dan masih lagi dapat dirasakan penerbit teater sehingga ke hari ini.
Malah, baru-baru ini, penerbit teater Di Bawah Lindungan Kaabah, Siti Rohayah Attan meluahkan rasa kesalnya kerana karya terbitannya kurang diberi perhatian oleh pihak penaja.
Tidak cukup dengan itu, Siti Rohayah juga mengakui teaternya yang berkonsepkan Islamik itu juga kurang mendapat promosi. Nasib yang sama juga pernah dilalui oleh Erma Fatima, menerusi teater arahannya, Sirah Junjungan, yang dipentaskan lima tahun lalu.
Ikuti reaksi beberapa penggiat teater dan artis berhubung isu yang sehingga kini bagaikan tidak ada jalan penyelesaiannya.
Secara asasnya, masalah kekurangan penajaan ini berlaku kepada semua jenis konsep teater. Bukan hanya pada teater yang berkonsep Islamik. Tetapi, jika nama seseorang penerbit itu sudah dikenali atau kukuh, maka ia akan menjadi satu perkara yang mudah bagi mereka dalam mendapatkan penaja. Selalunya, orang baharu ini sukar nak dapatkan kepercayaan.
Begitu pun, berlaku salah guna perkataan Islamik itu sendiri sehinggakan menjemukan audiens. Contohnya, berpegangan tangan dan tidak menutup aurat. Namun, bagi saya, ia sebenarnya bergantung pada cara pemasaran produk berkenaan.
- Penerbit dan Konsultan Pemasaran Bebas Bahagian Teater dan Muzik, Syaaban
Setakat ini, saya belum pernah menerima tawaran berlakon teater yang berkonsep Islamik, sementelahan lagi, saya bukanlah seorang Islam. Jadi, saya tiada pengalaman lagi mengenai perkara itu. Tapi, secara peribadinya, saya berpendapat mungkin ada penaja berasakan teater berkonsep demikian kurang nilai komersialnya.
- Tony Eusoff
Salah satunya, mungkin pendekatan yang digunakan kepada khalayak bersifat agak serius. Kita harus mengambil contoh pendekatan yang dibawakan oleh penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dalam mendekati anak-anak muda zaman kini, yang penuh dengan unsur humor. Kita nak dekat dengan khalayak, jadi kita perlu ikut rentak mereka. Tapi bagi saya, setiap teater ada tarikannya tersendiri.
- Penerbit teater Perang Terakhir, Khairunazwan Rodzy
Penerbit jangan terlalu bersikap skeptikal apabila gagal dalam mendapatkan apa-apa yang dihajati. Apa jua bentuk teater, kita mesti berfikiran positif, kreatif dan terbuka. Perkara ini sangat subjektif. Apa yang penting, penerbit jangan berputus asa dalam mendapatkan perhatian.
- Esma Daniel
Masalah penajaan ini adalah satu masalah yang klise. Teater dan penajaan, rungutannya sehingga ke hari ini dan tidak pernah tamat. Secara dasarnya, mereka yang benar-benar bersemangat dan minat akan teruskan perjuangan dalam bidang ini. Menjadi orang kuat teater adalah sangat survival sebenarnya.
- Penerbit teater Maduku Kalut, Mohd Amer Syafiq Khalip
Penggiat teater perlu banyak bersabar dalam hal ini. Satu-satu teater itu biasanya dipersembahkan secara terus dan tiada ulang tayang. Mungkin pengaruh TV juga sangat besar. Malah, minda kita juga telah ditetapkan apabila mahu berhibur, kita pasti mahukan sesuatu yang menyeronokkan.
- Nad Zainal
Konsep apa-apa pun dalam teater, mungkin pendedahan yang diberikan tidak cukup meluas lagi. Perlu ditambahkan lagi dengan suntikan atau elemen yang audiens suka.